Responsive Ad Slot

RUU355 – Kenapa Polemik?


1. Sepatutnya pemimpin bukan Islam menunjukkan contoh yang baik apabila mengulas berkaitan dengan RUU355. Ini kerana masyarakat bukan Islam di Malaysia setelah sekian lama menikmati pelbagai kebebasan beragama yang sebahagiannya tidak dimiliki pun di negara lain.

2. Masyarakat Islam di Malaysia sangat tinggi tolak ansurnya dengan kehidupan beragama masyarakat bukan Islam. Di Kelantan sahaja terdapat 3 buah patung gergasi Buddha di daerah Tumpat dalam posisi berdiri, duduk dan berbaring. Di Selangor, masyarakat Hindu mempunyai patung gergasi mereka iaitu patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter yang menggunakan 300 liter cat emas di Batu Caves. Di Zon Antarabangsa Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masyarakat Kristian negara ini boleh berbangga dengan kewujudan Calvary Convention Centre, Calvary Church di atas tanah seluas 4.9 ekar. Di Pulau Pinang, sebegitu banyak rumah ibadat agama Buddha, malah setiap kali saya berkuliah di Masjid Paya Terubong saya akan dapat melihat dari jauh betapa tinggi dan megahnya “Kek Lok Si”.

3. Maka sukar bagi saya untuk faham kenapa beberapa kerat (bukan majoriti pun) pemimpin bukan Islam masih cuba berpolemik dengan suatu RUU yang bidangkuasanya hanya melibatkan orang Islam sahaja. Saya tidak pernah melihat mana-mana Mahkamah Syariah dalam negara ini yang ada bidangkuasa terhadap orang bukan Islam.

4. Satu-satunya negeri di Malaysia yang memiliki majoriti rakyat beragama Kristian adalah Sarawak. Lebih 60% rakyat Sarawak adalah beragama Kristian. Sarawak juga menyumbang peratusan tertinggi jumlah keseluruhan penganut Kristian di Malaysia. Seorang dua tokoh dari Sarawak bercakap dengan konotasi negatif terhadap RUU355 termasuk menyeru ahli parlimen agar tidak menyokong RUU355. Cuba bayangkan apa akan jadi kepada negara ini jika majoriti rakyat beragama Islam menyuarakan bantahan terhadap kewujudan segala patung besar lagi megah milik pelbagai agama di tempat mereka? Sudah tentu kedamaian dan keharmonian hidup beragama yang selama ini kita kecapi akan tergugat.

RUU355 ADALAH HUDUD?

5. RUU355 adalah hudud? Ini antara perkara yang cuba ditonjolkan untuk menakutkan orang ramai. Walaupun RUU355 bukan hudud tetapi ia memberi laluan kepada separuh daripada kesalahan hudud yang telah pun sedia ada di dalam bidangkuasa mahkamah syariah. Jenayah hudud tersebut adalah minum arak, zina dan menuduh orang lain berzina (qazf). Selama ini, 3 kesalahan ini kalau boleh dirotan sekalipun hanyalah setakat 6 kali rotan. Sedangkan jumlah sebatan rotan yang ditetapkan bagi kesalahan tersebut adalah 40 hingga 80 (arak), 80 (qazf) dan 100 (zina, sebahagian ulama memasukkan liwat dalam kategori zina). Kenapa perlu dipertikaikan jumlah rotan ini? Apa kaitan dengan agama Kristian sehingga seorang dua pemimpin mereka sibuk untuk menghasut orang lain supaya tidak menyokong RUU355?

6. Malah jika dilihat kandungan Bible terdapat banyak ayat yang menunjukkan persamaan antara agama Islam dan Kristian iaitu hukuman mati terhadap penzina yang telah berkahwin. Contohnya Deuteronomy 22:22; “If a man is found sleeping with another man's wife, both the man who slept with her and the woman must die”. Begitu juga dalam Proverbs 6:32 “But a man who commits adultery lacks judgment; whoever does so destroys himself”. Namun begitu, RUU355 tidak menyediakan hukuman mati. Sekadar rotan 100 kali iaitu hukuman zina bagi sesiapa yang belum berkahwin.

RUU355 KEJAM?

7. RUU355 kejam? Sebahagian lawan mengkritik dengan mengatakan bahawa jumlah rotan sebanyak 100 kali adalah kejam. Sebenarnya mereka tidak tahu atau berpura-pura tidak tahu bahawa sebatan secara Syariah sebanyak 100 kali (maksimum) tidak akan mendatangkan kecederaan sebagaimana 10 kali (sebagai contoh) atau 24 kali (maksimum) rotan dijatuhkan oleh mahkamah sivil. Laporan Amnesty International menunjukkan bagaimana 2 kali rotan mengikut cara konvensional boleh menyebabkan kecederaan yang mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh.

8. Amalan rotan secara konvensional sebagaimana hukuman yang sering dijatuhkan oleh mahkamah sivil sebenarnya mendatangkan kecederaan teruk yang tidak berlaku dalam amalan merotan di mahkamah syariah yang lebih berperikemanusiaan. Manakan sama, hukuman rotan yang dikenakan berdasarkan undang-undang sivil ini sebenarnya adalah amalan yg diperkenalkan oleh penjajah British pada Abad Ke-19. Malah, England, Scotland dan Wales telah meninggalkan hukuman rotan ini selepas diperkenalkan Criminal Justice Act di negara mereka pada tahun 1948.

9. Amalan rotan peninggalan penjajah ini sangat dahsyat. Rotan sepanjang satu meter diangkat dengan pusingan badan dan tangan diangkat setinggi yang mungkin kemudian dipukul sekuat-kuatnya menyebabkan ada banduan jatuh tidak sedarkan diri. Pelbagai bentuk kecederaan yang boleh berlaku kepada banduan bergantung kepada jumlah rotan yang diterima. Dua kali rotan sudah mampu membuatkan kulit punggung pecah sehinggalah kepada maksimum 24 kali boleh menyebabkan pelbagai kecederaan teruk termasuk bermasalah ke tandas, kulit punggung tanggal, daging punggung terdedah serta menjejaskan “kelelakian” banduan. Amalan rotan undang-undang sivil ini dilakukan dalam keadaan banduan ditelanjangkan dan dipakaikan sejenis “apron” yang mendedahkan punggung untuk dirotan. Berbeza dengan amalan rotan mengikut Syariat Islam, pesalah berpakaian menutup aurat dan pukulan pula sederhana dan tidak memudaratkan seperti amalan rotan konvensional.

10. Saya masih ingat sewaktu saya menjadi peguam kes jenayah di Mahkamah Sivil yang mana hukumannya adalah sebatan. Anak guam saya ingin mengaku salah. Saya menjelaskan kepadanya bahawa akibat dirotan akan berlaku kesakitan dan kecederaan tertentu. Dia menjawab bahawa rotan tidak sakit. Saya bertanya bagaimana dia tahu rotan tidak sakit? Dia jawab kakitangan penjara bagitahu. Dia lebih percaya kepada kakitangan penjara berbanding saya selaku peguamnya. Ringkas cerita, dia nekad mengaku salah dan sanggup dirotan. Selepas dia dirotan, saya bertanya kepada ahli keluarganya, bagaimana keadaan dia? Betul ke, tak sakit? Abang dia jawab; …. Kena usung. (Jangan ketawa, walaupun saya sendiri terasa nak ketawa).

11. Saya hairan dengan sikap seorang dua pemimpin bukan Islam dari Sarawak yang gagal mempamerkan toleransi yang tinggi sebagaimana pemimpin Kristian lain yang saya kenali. Sejak kecil Gereja Katholik di Kota Bharu dan Gereja Presbyterian Wakaf Bharu, Kelantan adalah tempat saya bermain “hide and seek” dengan kawan-kawan. Sehingga kini, selepas puluhan tahun, mereka sangat harmoni dengan masyarakat sekitar dan tidak menimbulkan sebarang kontroversi. Inilah contoh yang baik dalam hubungan antara agama.

SEKATAN “356” SAMPAI BILA?

12. Sehingga hari ini, Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman maksimum denda RM5K, penjara 3 tahun dan 6 kali sebatan. Kenapa dibataskan sebegini rupa? Sampai bila akan diteruskan begini? Siapa sebenarnya yang beruntung jika Mahkamah Syariah dibiarkan berada di takuk lama? Tahukah anda bahawa betapa lapuknya sekatan “356” ini, ia sudah pun menghampiri usia 40 tahun!

13. Saya pernah mengendalikan kes melibatkan GRO yang terdiri daripada wanita Melayu Islam. Apabila mereka ditangkap atas kesalahan jenayah Syariah tertentu mereka dibawa ke Mahkamah Syariah. Wang ikat jamin termasuk denda mereka diuruskan oleh “taukeh”. Tidak perlu saya nyatakan siapa taukeh ini. Para pembaca sedia maklum siapa mereka. Ada taukeh yang berani meletakkan kereta mereka dalam kawasan mahkamah dan berada dalam bangunan mahkamah. Ada juga taukeh yang lebih berhati-hati, mereka hanya menunggu di luar pagar mahkamah. Mereka bawa wang untuk selesaikan kes yang melibatkan GRO yang bekerja untuk mereka. Walaupun mahkamah syariah tidak boleh mengenakan hukuman kepada taukeh-taukeh ini, sekurang-kurangnya Mahkamah Syariah perlu diberi kuasa yang lebih untuk mengenakan hukuman yang lebih tegas dan lebih banyak pilihan berkaitan dengan jenayah-jenayah tertentu.

14. Selain itu, terdapat kebimbangan bahawa jika Mahkamah Syariah memiliki hukuman terlalu tinggi, nanti para penceramah akan menjadi mangsa kerana berceramah tanpa tauliah. Sebenarnya, RUU355 hanyalah boleh menghilangkan atau melonggarkan sekatan hukuman “356” itu sahaja. Terpulang kepada setiap negeri melalui DUN masing-masing untuk membuat undang-undang termasuk bentuk dan kadar hukuman berkaitan. 

15. Setakat ini kita belum pasti apa yang akan dilakukan oleh setiap DUN jika RUU355 kali ini diluluskan. Tetapi apa yang boleh dijangka adalah Kelantan dan Terengganu yang sering disebut-sebut akan mengambil peluang ini untuk menjadikan hukuman bagi kesalahan minum arak, zina dan qazf supaya lebih hampir dengan Al-Quran, As-Sunnah dan perakuan fuqaha.

16. Terdapat juga kerisauan bahawa akan berlaku salah guna kuasa atau ketidakadilan apabila Mahkamah Syariah “terlalu berkuasa”. Pada pandangan saya, selagi nama manusia, di mana sahaja kita berada, masalah sentiasa wujud. Kita tidak boleh melarikan diri darinya. Lihatlah mahkamah sivil, ada banyak masalah. Bermula dengan hakim, pendakwa, peguam dan sebagainya. Kenapa kita tidak kenakan sekatan yang sama? Sepatutnya dengan pelbagai masalah termasuk jenayah dan salah laku yang berlaku di mahkamah sivil, kita berikan mahkamah sivil sekatan “356”. Baru adil dan saksama. Mahkamah sivil dan syariah, kedua-duanya hanya boleh kenakan hukuman setakat “356”. Tetapi tidak pula berlaku sedemikian. Kenapa hanya mahkamah syariah yang dikenakan sekatan “356” tetapi tidak kepada mahkamah sivil?

17. Di hospital banyak juga masalah yang dilakukan oleh doktor perubatan dan kakitangan hospital seperti kecuaian perubatan (medical negligence). Malah ada doktor yang bukan sahaja setakat dikenakan tindakan tatatertib tetapi dihukum penjara kerana jenayah yang dilakukan terhadap pesakit. Walaupun hospital ada banyak masalah, kita tetap perlu kepada hospital. Bukan setakat masih ramai, malah lebih ramai doktor dan kakitangan hospital yang bagus dan cemerlang. Setiap masalah yang timbul kita perlu “deal accordingly” on case by case basis. Bukan kita menyalahkan keseluruhan institusi.

18. Begitu juga mahkamah syariah, bukan kita ingin menafikan masalah yang wujud di mahkamah syariah. Masalah memang banyak di mana-mana pun. Tetapi berlaku adillah. Berbanding masalah atau mudarat yang ada, saya percaya pemerkasaan mahkamah dan undang-undang syariah jauh lebih banyak maslahah malah mengatasi mafsadah yang ada.

AHLI POLITIK TIDAK IKHLAS?

19. Ahli politik tidak ikhlas? Hanya politik semata-mata? Kenapa kita menuduh secara pukal bahawa semua ahli politik tidak ikhlas? Kalau benar sekalipun ada ahli politik yang tidak ikhlas, adakah SEMUA ahli politik tidak ikhlas? Jika benar RUU355 adalah permainan politik, adakah semua orang yang terlibat dengan usaha pemerkasaan Undang-Undang Syariah boleh dituduh bermain politik juga? Kita perlu sedar bahawa suara-suara yang meminta supaya sekatan “356” dipinda bukan sahaja datang daripada ahli politik, malah ia juga suara yang datang daripada ahli akademik, tokoh agama, para pengamal undang-undang, NGO dan ramai lagi. Janganlah kita nafikan bahawa banyak pihak yang ingin melihat agar Undang-Undang Syariah dalam negara kita ini mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Undang-Undang Sivil kalau tidak mengatasinya pun.

20. Hakikatnya, Undang-Undang Syariah disebabkan ia berteraskan wahyu lebih mudah untuk diterima oleh manusia berbanding Undang-Undang Sivil (man made law) jika diberi peluang yang adil. Sebagaimana Malaysia mampu menjadi antara pelopor dan pemimpin dunia dalam bidang perbankan dan kewangan Islam begitu juga kita sepatutnya meletakkan harapan dan keyakinan yang sama dalam usaha pemerkasaan Undang-Undang Syariah di Malaysia.

21. Saya optimis, sebagaimana masyarakat bukan Islam semakin ramai berminat dengan kelebihan produk perbankan dan kewangan Islam itulah juga nanti yang boleh berlaku kepada Undang-Undang Syariah di Malaysia.

Ahmad Jailani Abdul Ghani 
Pulau Pinang
23/9/2021


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo