Responsive Ad Slot

UMNO Bera sokong Ismail Sabri kekal dalam kerajaan



KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Bera merangkumi sayap Pemuda, Puteri dan Wanita sebulat suara menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kekal dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri agar usaha menangani pandemik COVID-19 dapat diteruskan.

UMNO Bahagian Bera dalam satu kenyataan berkata, keputusan secara kolektif itu dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor antaranya usul untuk membahas Ordinan Darurat hendaklah dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan pada September ini.

Menurut kenyataan itu, ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin masih absah hingga persidangan Parlimen seterusnya akan menentukan mengenai perkara itu.

"Pada masa yang sama, adalah tidak rasional untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan agar Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan terus berfungsi melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara.

"Perletakan jawatan adalah satu bentuk penderhakaan yang jelas terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana membelakangi titah serta mensia-siakan segala usaha menangani COVID-19," menurut kenyataan itu, hari ini.

Jelasnya lagi, Yang Dipertuan Agong juga sudah memperkenankan usul undi percaya di bawa ke Parlimen untuk menentukan sama ada Muhyiddin ada majoriti untuk mengetuai kerajaan.

"Justeru menarik diri dari kerajaan sekarang bermakna mensabotaj titah Tuanku dan ini dianggap sebagai menderhaka kepada Tuanku.

"Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sengaja mencetuskan ketidakstabilan politik dilihat sebagai mementingkan diri dan kami menolak sebarang usaha demi kepentingan politik sesetengah pihak," menurut kenyataan itu.




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo