KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, mengesahkan sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, yang kini berada di Gaza, Palestin.
Ashari berkata, dia menghubungi Muhammad Nadir, hari ini, bagi membolehkannya memberi keterangan untuk membantu siasatan laporan dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew.
"Saya mengesahkan sudah menghubungi Muhammad Nadir, kita juga sedia maklum dia berada di Gaza dan kami akan mengirimkan semua soalan perlu dijawab olehnya melalui e-mel dalam masa terdekat.
"Ia bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada BH, hari ini.
Ashari berkata, pada masa ini pihaknya tidak dapat menetapkan sebarang tempoh masa terhadap Muhammad Nadir untuk menjawab segala soalan berhubung siasatan berkenaan, namun mengesahkan Muhammad Nadir akan memberi kerjasama sepenuhnya berdasarkan perbualan mereka hari ini.
Pada 21 Julai lalu, Ebit Lew membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sebelum siasatan kes berkenaan diambil alih pihak IPD Wangsa Maju.
Keesokan harinya, Ebit Lew hadir ke IPD Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, pendakwah terkenal itu menafikan dakwaan Muhammad Nadir, yang dibuat melalui perkongsian di media sosial, yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza, selain menyifatkan dakwaan itu fitnah melampau.
Baca lagi...
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment