Responsive Ad Slot

Kedah pula buat TFC kecewa


KUALA TERENGGANU: Kedah Darul Aman FC (KDAFC) membalas dendam kekalahan lalu apabila berjaya menumpaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Bagaimanapun skuad Penyu masih kekal menghuni tangga kedua liga dengan 37 mata selepas 19 perlawanan manakala KDAFC di tangga keempat dengan 32 mata selepas 16 perlawanan.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu yang menurunkan empat tonggak import bermula garang dengan percubaan pertama menerusi rembatan minit keempat Makan Konate yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Sepanjang babak pertama, permainan jelas dikuasai skuad kendalian Nafuzi Zain apabila memperolehi peluang keemasan kedua pada minit ke-25 menerusi rembatan pemain sayap, Faiz Nasir, namun gagal menjelmakan gol.

Seminit berselang, bekas pemain kebangsaan itu sekali lagi berpeluang untuk mencetak nama sebagai penjaring, tapi rembatan lemahnya dalam kotak penalti terus ke dakapan Ifwat biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol itu.

Sepanjang 45 minit pertama, gandingan penyerang skuad Lang Merah, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman gagal melakukan percubaan tepat kerana berjaya dihalang pertahanan yang diketuai Muhamad Mohd Fauzi.

Bagaimanapun pada masa kecederaan babak pertama, skuad pelawat akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila pemain kelahiran Lubnan, Rabih Ataya meledak gol peribadi pertamanya musim ini hasil hantaran Mohd Syazwan Zainon.

Bersambung babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila hantaran bekas pemain import TFC, Tchetche dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah berjaya disudahkan Syazwan pada minit ke-50.

Penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva hampir merapatkan jurang menerusi tandukan tajam pada minit ke-57 tetapi sedikit tersasar.

Usaha berterusan skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan percuma dari jarak 25 meter yang diambil Da Silva terkena pertahanan pelawat sebelum menerjah jaring pada minit ke-69.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Darul Aman, skuad Penyu berjaya merakam kemenangan 2-1.

Sementara itu Selangor FC menang 3-0 ke atas pasukan kedua tercorot liga, Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.

Skuad Gergasi Merah membuka tirai jaringan pada akhir babak pertama, masing-masing menerusi pemain import dari Switzerland Oliver Buff pada minit ke-42 dan Ifedayo Olusegun lima minit kemudian.

Penyerang import dari Nigeria, Ifedayo terus menambah derita buat Perak FC, apabila meledak satu lagi gol pada minit ke-59, sekali gus mendahului senarai penjaring terbaik Liga Super musim ini dengan 22 gol, kelebihan dua gol berbanding Bergson.

Sumber | Bharian

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo