NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM perkenal konsep Keluarga Malaysia



KUALA LUMPUR – Setiap Perdana Menteri sudah pasti mempunyai identitinya tersendiri termasuk Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.

Menerusi ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini dikatakan bersifat lebih inklusif.

“Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” katanya dalam ucapannya.

Beliau berkata, sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum, ia diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

“Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua.

“Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah, jelasnya.

Oleh sebab itu, Perdana Menteri berkata, beliau sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini.

Ismail Sabri turut menyeru seluruh Ahli Dewan Rakyat, tidak mengira dalam atau luar kerajaan, supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.

“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2021/08/22/pm-perkenal-konsep-keluarga-malaysia/

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo