Responsive Ad Slot

Teks penuh ucapan sulung PM ke-9


Berikut merupakan teks ucapan penuh Perdana Menteri selepas diangkat secara rasmi sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu:


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat ALLAH SWT yang telah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepada kita bagi memulakan langkah mencari jalan keluar daripada segala kekalutan pandemik, kegawatan ekonomi, dan kekusutan politik yang membelenggu negara sejak beberapa bulan lalu.

1. Izinkan saya menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bersama seluruh perkenan Raja-Raja Melayu, atas pelantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam keadaan negara yang sangat mencabar ketika ini.


2. Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah berusaha sepenuh tenaga dalam menghadapi kemelut yang melanda negara bersamasama Ahli-ahli Jemaah Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sekali lagi dengan ikhlas, saya berterima kasih.

3. Dengan penuh rasa insaf dan bersyukur, ingin saya menzahirkan rasa terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat yang setia menyokong saya daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS di bawah panji Barisan Nasional (BN).

4. Penghargaan turut dizahirkan kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat daripada PPBM, PAS, GPS, STAR, PBS, SAPP, juga Ahli-ahli Dewan Rakyat Bebas yang memungkinkan terbentuknya kerajaan pada hari ini.

5. Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara. Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.

6. Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Seluruh keluarga Malaysia yang dikasihi,

7. Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

8. Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua. Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja. 9. Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah. Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini.

Seluruh keluarga Malaysia yang dikasihi,

10. Pandemik Covid-19 adalah musuh kita semua. Mengambil kira situasi getir pandemik Covid-19 dunia, umum mengetahui bahawa varian wabak ini sentiasa berevolusi. Bermula daripada varian alpha kepada beta, dan yang terkini ialah varian lambda. Oleh itu, strategi yang telah dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar Kesihatan Awam negara.

11. Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif. Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

12. Melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia. Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500 ribu dos sehari.

13. Bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

14. Demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan ini akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat.

15. Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin. Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia. Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian.

16. Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan frontliners yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu.

17. Oleh sebab itu, kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara. Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah.

18. Gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19. Ini kerana fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos 2021 membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturutturut.

19. Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19. Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang.

20. Sehubungan itu, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, suka saya umumkan pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini.

Seluruh keluarga Malaysia yang dikasihi,

21. Krisis pandemik telah memberikan kesan yang sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik negara kita. Pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, sangat terkesan. Ada yang masih bergelut dan ada yang gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat serta negara.

22. Bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan, kerajaan ini akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama.

23. Objektif pertama, mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna. Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

24. Sehubungan itu, fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

25. Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh.

26. Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

27. Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar. Seluruhnya bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

28. Seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan. Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.

29. Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara.

Seluruh keluarga Malaysia yang dikasihi,

30. Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri. Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

31. Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini.

32. Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

33. Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

34. Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Seluruh keluarga Malaysia yang dikasihi,

35. Tegasnya, bersama dengan kerajaan ini saya akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi. Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan.

36. Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

37. Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.

38. Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!

Sekian, terima kasih.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo