NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN terus sokong dasar, perancangan kerajaan baharu

Suasana Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 22 Disember tahun lepas. Foto : Berita Harian
SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menamakan kerajaan baharu sebagai 'kerajaan Perikatan Nasional' dalam hantaran terbaharu beliau di Facebook pada Ahad.

Menerusi hantaran berkenaan, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan perkembangan berhubung Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan beliau pada pagi Ahad iaitu PN akan terus menyokong dasar dan perancangan kerajaan.

"Parti PN yang didukung oleh 50 Ahli Dewan Rakyat bersama tiga Ahli Dewan Rakyat bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited untuk menyokong dasar dan perancangan kerajaan Perikatan Nasional menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

"Mesyuarat juga telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara dan mendengar serta mengambil maklum semua pandangan dari parti-parti komponen bagi memperkukuhkan kerjasama politik dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," tulis beliau.

Mesyuarat itu katanya, telah dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden parti-parti komponen Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau.

Selain itu, turut hadir adalah pimpinan-pemimpin parti komponen PN lain iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuj Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar dan serta wakil-wakil dari parti komponen.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin ketika mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri merujuk kerajaan baharu itu sebagai kerajaan PN.

Kerajaan baharu dilapor berdepan krisis identiti apabila kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin sebelum ini telah terbubar dengan peletakan jawatan seluruh barisan jemaah menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini pula adalah pemimpin mewakili UMNO.

Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan bagi membincangkan calon jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu, namun Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dilaporkan memaklumkan ia tidak berlaku pada mesyuarat tersebut.

Sebaliknya hal itu akan akan ditentukan menerusi perbincangan antara Ismail Sabri dan Muhyiddin.

Sumber : Sinarharian 

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo