NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin perlu kemuka usul percaya di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengemukakan usul percaya melalui Parlimen bagi membuktikan dirinya masih mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri susulan keputusan UMNO menarik sokongan kepadanya dan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis perundangan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata jika usul yang menjadi asas sistem demokrasi berparlimen tidak dikemukakan, Yang di-Pertuan Agong, mempunyai budi bicara menentukan kaedah memuaskan hati baginda menentukan Perdana Menteri dan keabsahan kerajaan.

Katanya, kaedah itu pernah dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang memanggil semua Ahli Parlimen untuk menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh sebelum ini.

"Apabila timbul isu kepercayaan, Perdana Menteri sewajarnya membawa usul kepercayaan melalui sidang Parlimen bagi membuktikan beliau masih mempunyai sokongan majoriti.

"Kes hampir sama mana pernah dilakukan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu sebelum ini apabila beliau berdepan krisis sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan supaya diadakan sidang Parlimen dan baginda juga mempunyai budi bicara untuk memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini," katanya kepada BH, hari ini.

UMNO hari ini mendakwa mempunyai surat akuan mencukupi daripada Ahli Parlimen parti itu untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata surat akuan itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ia sekali gus menunjukkan kepemimpinan beliau (Muhyiddin) sudah hilang majoriti dan keabsahan beliau sebagai ketua kerajaan dengan ini terbatal," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Wan Ahmad Fauzi berkata, amat penting untuk seorang Perdana Menteri mengekalkan kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Ketika ditanya jika Perdana Menteri meletakkan jawatan, beliau berkata, berdasarkan Perkara 40 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh memilih mana-mana Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.

"Namun kita perlu tengok juga perkembangan selanjutnya sama ada wujud sokongan baharu dari Ahli Dewan Rakyat pembangkang kepada PN. Masih terlalu awal untuk menjangkakan dengan pasti bagaimana episod ini berakhir " katanya.

Seorang lagi penganalisis, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletakkan jawatan melainkan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Parlimen perlu dibubarkan.

Beliau berkata, seseorang yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapat kepercayaan anggota Dewan Rakyat seperti termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

Katanya, dalam urusan melantik Perdana Menteri terdapat frasa 'pada hematnya', yang membawa maksud penilaian kepercayaan itu dinilai mengikut hemat atau pendapat Yang di-Pertuan Agong.

Perkataan 'mungkin' dalam peruntukan itu memberikan kuasa budi bicara yang sangat luas kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berkaitan tahap kepercayaan seseorang calon berdasarkan penilaian baginda.

"Tambahan pula Perkara 40(2) Perlemmbahaan menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri," katanya.

- BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo