NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beza antara 'Hilang Kepercayaan' dan 'Dapat Kepercayaan'


BEZA ANTARA ‘HILANG KEPERCAYAAN’ DAN ‘DAPAT KEPERCAYAAN’

‘Hilang kepercayaan’ adalah sebab seseorang Perdana Menteri perlu letak jawatan dan ‘dapat kepercayaan’ adalah kriteria yang diperlukan untuk seseorang dilantik menjadi Perdana Menteri.

Apa perbezaan antara ‘hilang kepercayaan’ dan ‘mendapat kepercayaan’ di bawah Perlembagaan?

Seseorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat secara umumnya dianggap hilang kelayakan untuk terus jadi Perdana Menteri. Peruntukan Perlembagaan yang dirujuk ialah Perkara 43(4) iaitu:

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.” 

Manakala, seseorang yang ingin dilantik sebagai Perdana Menteri dia perlulah memenuhi syarat kepercayaan anggota Dewan Rakyat seperti yang disebut dalam Perkara 43(2)(a) iaitu:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”

Kedua-dua situasi di atas dikaitkan dengan ‘kepercayaan’ atau ‘confidence’ anggota Dewan Rakyat. 

Namun bagaimana nak buktikan kepercayaan dalam dua situasi di atas adalah berbeza.

Dalam urusan melantik Perdana Menteri terdapat frasa ‘pada hematnya’, yang membawa maksud penilaian kepercayaan itu dinilai mengikut hemat atau pendapat Yang di-Pertuan Agong. Perkataan ‘mungkin’ dalam peruntukan itu memberikan kuasa budi bicara yang sangat luas kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berkaitan tahap kepercayaan seseorang calon berdasarkan penilaian Baginda. Tambahan pula Perkara 40(2) menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri

Dalam situasi hilang kepercayaan pula, tidak disebut frasa ‘pada hemat Yang di-Pertuan Agong’. Ketiadaan frasa ini tidak bermakna Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam penilaian hilang keyakinan ini, sebab tidak ada pihak lain yang layak membuat penilaian melainkan Yang di-Pertuan Agong.

Cuma tahap penilaiannya berbeza.

Bagi pelantikan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong berhak melantik seseorang yang Baginda rasakan mempunyai kepercayaan, walau pun tanpa petunjuk yang jelas. Keputusan Yang di-Pertuan Agong ini muktamad, dan tidak boleh dipertikai melalui mahkamah. Namun, Perdana Menteri yang dilantik itu tetap tertakluk kepada ujian keyakinan di Dewan Rakyat bila berlaku persidangan.

Dalam menilai tahap kehilangan sokongan pula, terdapat dua kaedah, iaitu: Pertamanya, kaedah yang nyata iaitu melalui undi di Dewan Rakyat. Bagi kaedah pertama, Yang di-Pertuan Agong sewajarnya bertindak berdasarkan undi yang diputuskan di Dewan Rakyat.

Kedua, kaedah yang tidak nyata iaitu melalui cara-cara lain termasuklah sumpah berkanun (SD-statutory declaration), kenyataan media atau pengakuan terbuka melalui sidang akhbar atau sidang video. Bagi kaedah yang kedua ini, penilaiannya terletak kepada budibicara Yang di-Pertuan Agong yang perlu mengambil segala cara yang perlu untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. Antara cara yang boleh digunakan untuk menentukan ketepatan sesuatu maklumat ialah dengan mengadakan pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen yang terlibat. Selagi tiada maklumat yang sahih dan tepat, maka Yang di-Pertuan Agong berhak untuk berpegang kepada maklumat asal dan status quo yang sedia ada.

Selain itu, penilaian yang dibuat perlulah menyeluruh, bukan sahaja tertumpu kepada Ahli-ahli Parlimen yang membuat pengisytiharan. Kaedah ini perlu kerana terdapat kemungkinan perubahan sokongan seseorang atau sekumpulan Ahli Parlimen mendorong kepada peralihan sokongan individu atau kumpulan Ahli Parlimen yang lain. Oleh itu, sebarang ketetapan berkaitan kehilangan sokongan terhadap seseorang Perdana Menteri yang dizahirkan di luar Parlimen, tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Perlu diingat bahawa pernyataan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri sedia ada tidak perlu dibuat bersama-sama pernyataan memberikan sokongan kepada calon baharu untuk menjadi Perdana Menteri pengganti. Jadi, terdapat kemungkinan seseorang Perdana Menteri hilang sokongan kepercayaan, tetapi tidak ada calon lain yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menggantikannya.

Kita berharap agar pergolakan politik yang berlaku kini dapat segera reda agar jentera kerajaan dapat memberikan tumpuan untuk menangani isu negara dan rakyat dalam menghadapi cabaran wabak COVID-19.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo