NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Program cakna PKP masjid bantu mereka memerlukan


MELAKA, 4 Julai -- Bagi memperluas peranan masjid, Jawatankuasa Masjid Nurul Hidayah Batu Berendam di sini menubuhkan hab sumbangan COVID-19 untuk membantu mereka yang terjejas dengan mata pencarian dan memerlukan bantuan.

Pengerusi Masjid Mansor Kassim berkata menerusi program Cakna PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) orang ramai juga boleh hadir ke masjid tersebut untuk mengambil bantuan mengikut keperluan masing-masing.

Katanya selain sumbangan daripada individu, masjid tersebut turut memperuntukkan RM10,000 untuk membeli barangan keperluan seperti beras, tepung, gula, telur, teh dan sebagainya sebelum diagihkan kepada golongan sasaran.

"Hab ini dibuka pada setiap Sabtu, Isnin, Rabu dan Jumaat dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dan pihak masjid ada menyediakan satu ruang untuk sesiapa yang mahu turut serta menyumbang.

"Kami akan meneruskan program sumbangan ini sehingga keadaan COVID-19 ini pulih kerana mahu membantu mereka yang benar-benar perlu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mansor berkata bagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan, pihak masjid akan merekodkan data mereka secara terperinci dan cuba membantu sebaiknya.

"Mungkin ada segelintir daripada mereka yang segan untuk meminta sumbangan tetapi kami di sini akan merahsiakan sesiapa sahaja penerimanya kerana tujuan utama kami adalah membantu mereka.

"Kami tidak mahu melihat masyarakat tertekan tidak dapat membeli makanan terutama mereka yang mempunyai anak kecil dan terpaksa menahan kelaparan," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo