Responsive Ad Slot

Peniaga Kantoi Berlakon Letak Tanda Harga Semasa Operasi

Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Tindakan segelintir peniaga di Pasar Awam Taman Seri Gombak dekat ibu negara yang hanya meletakkan tanda harga ketika ada penguat kuasa akhirnya terbongkar hasil penyamaran 15 anggota Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari ibu pejabat Putrajaya hari ini.

Menurut Pengarahnya, Azman Adam, pasukan itu melaksanakan Op Samar susulan aduan diterima mengenai sikap peniaga ‘berlakon’ apabila ada tinjauan penguat kuasa beruniform.

“Mereka cuma letak tanda harga ketika pegawai kementerian berpakaian seragam hadir untuk pemeriksaan tetapi apabila beredar, ia tidak dipamerkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Operasi pemantauan itu diketuai sendiri beliau bagi memastikan pematuhan penandaan harga sepanjang masa dan bukan hanya dibuat ketika penguat kuasa datang pada waktu tertentu.

Pasar moden itu yang terletak di Jalan SG 3/7, Taman Seri Gombak, Daerah Gombak, Selangor dan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Selayang dengan mempunyai 87 unit premis niaga.

“Hasil pemantauan dilakukan setakat ini, boleh dikatakan kadar pematuhan penandaan harga adalah 70 peratus manakala bakinya, masih ada peniaga gagal berbuat demikian,” jelasnya yang turut memberitahu Op Samar dijalankan di beberapa pasar awam di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sejak beberapa hari lepas.

Amaran keras tambahnya, telah diberikan terhadap para peniaga terbabit dan tindakan susulan lebih tegas akan dikenakan jika mereka tetap lagi berdegil ingkar meletakkan tanda harga.

Pematuhan peraturan itu kata Azman, amat penting bagi mengelak manipulasi oleh peniaga tidak bertanggungjawab dengan menawarkan harga yang berbeza terhadap pengguna tertentu.

Pengguna juga tidak terkeliru dan dapat melaksanakan hak mereka apabila harga dipamerkan jelas di samping pelanggan mudah melakukan perbandingan sebelum melakukan pembelian sekali gus memastikan pengguna tidak rasa diperdaya peniaga selain tempoh masa berada dalam premis dikurangkan bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19.

Op Samar katanya, akan terus dilakukan sebagai antara pendekatan lebih efisien dan efektif bagi memastikan pematuhan peraturan dan perundangan lain yang diwartakan kementerian.

“Peniaga ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dengan kadar kompaun sehingga RM50,000 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengguna jelasnya, boleh menyalurkan maklumat salahlaku peniaga menerusi laman portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo