Responsive Ad Slot

PICK dipercepat, sasar 100 peratus divaksin Oktober ini


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sasaran Pogram Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan dipercepatkan lagi susulan penemuan varian baharu yang lebih ganas dan peningkatan mendadak kes positif sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan kini menyasarkan 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos ini menerusi 'Operasi Lonjakan Kapasiti'.

"Mengikut jadual asal, beliau berkata, 80 peratus rakyat Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022. Sasaran ini kemudian dipercepatkan ke Disember 2021. Sekarang, sasaran dipercepatkan lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir Ogos ini, diikuti peningkatan kepada 70 peratus menjelang September.

"Justeru, kita unjurkan 100 peratus populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada Oktober manakala peningkatan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak dilaksanakan pada 23 Februari lalu, PICK menggariskan dasar pemberian vaksin secara sukarela dan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia, termasuk bukan warganegara.

Had umur penerima tiga jenis vaksin dalam portfolio PICK, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca ketika itu ialah 18 tahun ke atas, namun kerajaan memberi jaminan ia akan diteliti dari semasa ke semasa.

Malaysia menerapkan pendekatan ke arah memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus COVID-19.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menyifatkan vaksin sebagai kunci utama kejayaan Malaysia dalam mengharungi peperangan menentang pandemik COVID-19.

"Jadi, apa yang kerajaan buat? Kita menempah lebih 76.1 juta dos vaksin, merangkumi 70 peratus Pfizer, 23.4 peratus Sinovac, 10 peratus Astrazaneca, 10.9 peratus CanSino dan 10 peratus daripada fasiliti pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX.

"Sebanyak 40 juta dos pada Ogos, 53 juta dos pada September dan 58 juta dos pada Oktober. Baki selebihnya akan diterima antara November ini hingga Januari 2022.

"Insya-Allah. Kita terus istiqamah," katanya mengakhiri kenyataan itu dengan tanda pagar, #MalaysiaPrihatin, #MenangBersama, #LindungDiriLindungSemua.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo