NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tabung Haji: Perkukuh keyakinan, tambah baik pengurusan – Syahir Sulaiman

Tabung Haji merupakan sebuah institusi ekonomi terulung kepada umat Islam di Malaysia.

Tujuan penubuhannya adalah sangat mulia, semata-mata untuk memastikan simpanan umat Islam terjamin dan bebas riba’ bagi membolehkan mereka menunaikan ibadat Haji dengan sempurna.

Selain pengurusan jemaah Haji yang terbaik dan simpanan yang selamat, TH turut menjalankan aktiviti pelaburan untuk mengembangkan ekonomi umat Islam dan menjana pulangan yang kompetitif kepada pendeposit yang setia.

Dalam hal ini, segala langkah pemulihan dan pembaharuan TH wajar disokong, namun setiap cadangan yang bakal merubah hala tuju dan fungsi strategik TH wajar diperhalusi sebaiknya.

Pertama, komitmen TH terhadap usaha penambahbaikan operasi dan pengurusan secara menyeluruh. Aspek integriti, tadbir urus, kualiti, dan reputasi TH adalah sangat penting bagi memelihara kepentingan pendeposit dan jemaah haji Malaysia.

Kedua, komitmen Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi meneliti isu-isu kewangan, pelaburan dan tadbir urus TH berdasarkan dapatan pengauditan untuk tempoh 2014 hingga 2018, serta penilaian langkah penstrukturan TH sehingga 2020.

Dengan mandat yang sangat berat, Suruhanjaya ini perlu dianggotai tokoh profesional yang disegani untuk meneliti dapatan pengauditan serta mengemukakan laporan hasil semakan dan syor tindakan susulan, bagi memulihkan reputasi serta keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan TH.

Ketiga, model perniagaan baharu TH perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Cadangan Kabinet untuk penyenaraian TH sebagai sebuah ‘Institusi Kewangan Islam Yang Ditetapkan’ di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia dilihat mempunyai ‘semangat’ tatakelola yang baik, namun perlu berpandukan falsafah dan ‘roh’ penubuhan TH yang berdiri di atas kerangka perundangan tersendiri, iaitu Akta Tabung Haji 1995.

Justeru ‘merit’ kepada cadangan penyenaraian TH di bawah IFSA 2013 perlu dinilai daripada DUA kepentingan strategik, iaitu:

Pertama, melindungi kepentingan TH sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai ekosistem simpanan, pengurusan haji dan pelaburan tersendiri (Seksyen 4, Akta Tabung Haji 1995).

Kedua, melindungi kestabilan pasaran kewangan daripada 'risiko sistemik' yang berkemungkinan timbul daripada sifat, saiz, skala, dan penumpuan aktiviti pengantaraan kewangan Islam yang dijalankan (Seksyen 223, IFSA 2013).

Dalam hal ini, penelitian yang dijalankan secara bersama oleh JPM, MOF, BNM, dan TH perlu memberi perhatian kepada LIMA penegasan berikut:

1. TH perlu kekal di bawah kuasa penuh Menteri JPM (Agama), khususnya bagi tujuan operasi dan pengurusan jemaah Haji yang terbaik;

2. Simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin oleh Kerajaan, sebagaimana termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995;

3. Bidang kuasa yang jelas kepada TH untuk menentukan kadar hibah, subsidi dan kos berkaitan pengurusan jemaah Haji;

4. Pengawalseliaan IFSA 2013 tidak menyebabkan TH terletak di bawah pentadbiran BNM ataupun MOF, dan terhad kepada pengawasan tatakelola, tadbir urus dan penilaian risiko yang memenuhi piawaian amalan terbaik, demi kepentingan pendeposit dan pasaran kewangan Islam;

5. Penentuan atau pengecualian aktiviti boleh diberikan melalui Perintah Menteri di bawah IFSA 2013, membolehkan TH terus menjalankan perniagaan dan pelaburan strategik bagi memberikan pulangan kompetitif serta mengembangkan ekonomi umat Islam di Malaysia.

Secara ringkas inilah beberapa maklum balas terhadap halatuju, tanggungjawab, dasar dan fungsi strategik TH sebagai institusi ekonomi umat Islam yang terulung dalam negara.

Perkukuh keyakinan, tambah baik pengurusan.

Semoga TH akan terus berdiri kukuh di atas tunjangnya sendiri, disokong oleh kekayaan ekosistem yang dinamik, umpama pohon hijau yang menjulang tinggi.

Syahir Sulaiman, 18 Julai 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo