Responsive Ad Slot

Penduduk bimbang kes COVID-19 semakin meningkat

TAWAU: Masyarakat semakin bimbang terhadap keselamatan mereka berikutan kes positif COVID-19 di negeri ini dilihat semakin meningkat setiap hari.

Tinjaun terhadap penduduk di daerah ini menunjukkan rata-rata mereka mula bimbang terhadap tren kenaikan kes jangkitan baru-baru ini.

Peniaga Restoran, Sabrina Mohd Sahh, 29, berkata dia sangat bimbang dengan kenaikan jumlah kes positif yang berlaku sekarang akan menyebabkan perniagaannya dihentikan sekali lagi.

“Sejak berlakunya pandemik COVID-19 di negara kita, pengusaha restoran antara golongan yang paling terjejas.

“Pendapatan kami merosot hampir 100 peratus kerana tidak boleh beroperasi seperti biasa dan orang ramai tidak boleh makan di restoran,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu lebih agresif menjalankan program vaksinasi di daerah ini.

“KKM perlu libatkan hospital swasta dan program outreach supaya program vaksinasi lebih lancar sekali gus mempercepatkan imuniti kelompok di negeri kita,” katanya.

Bagi Wedi A. Rahman, 66, pula berkata semua agensi keselamatan perlu mengadakan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat lagi.

“Seluruh masyarakat termasuk mereka yang sudah mendapatkan suntikan vaksin perlu sentiasa berwaspada dan menjaga SOP yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Hal ini kerana, tanpa kesedaran semua masyarakat terhadap pematuhan SOP akan lebih menyulitkan untuk kita menang menentang wabak ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun pihak berkuasa melaksanakan semua SOP yang ketat termasuk mengenakan kompaun terhadap masyarakat yang ingkar tetapi ianya tidak memadai tanpa kesedaran sendiri.

“Saya berharap setiap masyarakat perlu saling mengingati agar penularan wabak yang tidak dilihat ini dapat diputuskan,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar Norman Mohd Shah,17, berkata peningkatan kes positif yang berlaku ini sudah pasti akan menjejaskan pembukaan sekolah secara bersemuka pada September akan datang.

Katanya, kerajaan pasti akan menangguhkan lagi pembelajaran secara bersemuka sekiranya kes positif semakin meningkat.

“Sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, sangat memerlukan pembelajaran secara bersemuka supaya boleh menghabiskan silibus pembelajaran dengan lebih baik.

“Saya berharap semua pihak perlu bersama-sama membantu kerajaan memutuskan penularan wabak berbahaya ini,” katanya.

Sumber : utusanborneo
 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo