NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kontroversi 'Kerajaan Allah': "Apa masalah Lim Kit Siang?" - Hamzah Zainuddin


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas sikap Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan 'Kerajaan Allah' baru-baru ini.

Menurut Hamzah, perkara paling mustahak sekarang ialah melihat negara dalam keadaan aman dan sejahtera.

Tegasnya, sekiranya ada pihak cuba menghasut dan memecah-belahkan rakyat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasti akan mengambil tindakan tegas.

Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan seluruh rakyat Malaysia agar tidak membangkitkan isu yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat akibat hasutan daripada sesetengah pihak.

"Saya mohon kalau beliau (Kit Siang) buat, kita siasat dan ambil tindakan. Kalau tak buat, mereka yang lakukan ini juga harus kita cari sampai dapat.

"Ini kerana apa (yang) dilakukan boleh menyebabkan Lim Kit Siang terjebak dalam masalah yang boleh memecah-belahkan rakyat dalam negara ini," ujarnya.

"Ini nampaknya, kalau betul dia lakukan, apa masalah beliau (Kit Siang) dengan Allah? Walaupun dia tak kenal Allah, saya nak maklumkan dia Allah adalah Tuhan kepada orang Islam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Op Bantu di sini pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Baru-baru ini, veteran DAP itu memuat naik satu kenyataan dalam bahasa Inggeris di akaun Facebooknya yang mempersoalkan mengapa Malaysia masih berada pada landasan tercorot dalam indeks normal dalam menangani pandemik COVID-19.

Ekoran itu, banyak pihak membidas tulisan Kit Siang yang disifatkan sebagai tidak sensitif dan boleh mencetus kekeliruan orang ramai terhadap Islam.

Kenyataan Kit Siang itu adalah respons kepada kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pandemik adalah ujian Allah kepada manusia.

Abdul Hadi dalam hantaran di Facebooknya mengulangi pandangan bahawa pandemik COVID-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna’ boleh menghapuskan virus itu.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kontroversi-kerajaan-allah-apa-masalah-lim-kit-siang-hamzah-zainuddin-306943

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo