NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ismail: Kedai runcit, pasar raya boleh jual semua barangan di premis



Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menegaskan kedai runcit dan pasar raya boleh menjual semua barangan di premis, tanpa perlu menutup bahagian yang dikira sebagai tidak penting.

Kenyataan itu selepas beberapa kedai menutup bahagian dalam premis mereka ekoran peraturan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini.

Antara bahagian yang ditutup adalah alat tulis. Ia menyebabkan ada pihak menyuarakan kritikan memandangkan pelajar masih memerlukan peralatan pembelajaran pada masa ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini telah membatalkan larangan yang dibuat KPDNHEP.


Bagaimanapun masih ada kedai yang mematuhi larangan itu kerana bimbang dikenakan denda.

"MKN sebelum ini telah memutuskan semua jenis barang dagangan di kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya serta pasar mini boleh dijual kepada pelanggan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara ketika ini.

"Ini berikutan terdapat kekeliruan dalam kalangan pemilik premis yang menutup sebahagian seksyen barangan di premis perniagaan mereka dan tidak dijual kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail turut sekali lagi menyatakan mereka yang tinggal di kawasan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dibenarkan untuk keluar bagi temu janji vaksin mereka.

"Begitu juga bagi mereka yang ingin pulang ke kampung untuk membawa ahli keluarga bagi mendapatkan suntikan vaksin sama ada di luar daerah atau negeri adalah dibenarkan.

"Mereka hanya perlu menunjukkan temujanji MySejahtera dan mendapatkan kebenaran daripada polis.

"Bagi tujuan pergerakan mendapatkan vaksin, maksimum tiga orang dibenarkan termasuk pemandu," katanya lagi.

Selain itu, dia juga berkata waktu operasi kedai makan bagi fasa 1 dan 2 PPN adalah daripada jam enam pagi hingga sepuluh malam, manakala jam lapan pagi hingga lapan malam bagi kawasan di Lembah Klang di bawah PKPD.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo