Responsive Ad Slot

‘Caprice, Nadir, Ebit Lew perlu didamaikan'

IKUT hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka boleh jadi duka. Tiada siapa yang untung kalau cabar mencabar dan ego menguasai diri yang pada akhirnya memudaratkan diri.

Disaat negara sedang berdepan situasi sukar dengan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing, timbul pula kontroversi yang ‘mengganggu’ emosi rakyat Malaysia.

Perbalahan Caprice, Ustaz Ebit Lew dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menghantui masyarakat kita sehingga menjadi kanser yang memecah-belahkan keharmonian masyarakat negara ini.

Segalanya bermula dengan misi kemanusiaan di Gaza, Pa­lestin oleh Ebit pada Mei lalu.

Caprice atau nama sebenar­nya, Ariz Ramli, 33, pada masa yang sama juga berangkat de­ngan misi yang sama ke Palestin.

Caprice dikatakan mula bermain api apabila memuat naik gambar Ebit yang menghadiahkan alat permainan kepada kanak-kanak Palestin.

Dia tidak berpuas hati apabila hasratnya untuk memasuki Gaza bersama dengan Ebit terhalang akibat ‘tangan luar’.

Pekung permasalahan ini berlarutan sehingga kedua-dua pihak mengadakan penstriman langsung di laman Instagram masing-masing.

Muhammad Nadir turut terpalit dengan kemelut mereka sehingga mengheretnya membuat justifikasi menerusi Telegram.

Ketika isu hendak mula sejuk, muncul pula seorang ustaz yang bagaikan mencurahkan minyak ke dalam api.

Isnin lalu, Caprice sekali lagi mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik gambar ‘iblis’ terjelir lidah dengan memaklumkan kebenaran akan terungkai tidak lama lagi.

Eh! Tidak habis-habis. Jika begini sampai bilakah masalah boleh diselesaikan dengan baik?

Berdamailah Ebit Lew, Caprice dan Nadir Al-Nuri.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berpendapat ketiga-tiga figura itu perlu berdamai.

“Siapkan diri untuk berdamai kerana ia merangkumi kemaafan daripada semua pihak,” katanya.

Siti Fatimah berkata, perkara pertama yang harus dilakukan ialah berdamai dengan diri sendiri terlebih dahulu.

Tambahnya, individu terlibat perlu menilai apa yang akan berlaku seterusnya.

“Langkah seterusnya adalah individu terbabit kena tentukan ekspektasi realistik dengan memikirkan apa sebenarnya keperluan atau niat ketika menjawab tohmahan secara langsung.

“Apa yang kita nampak mereka sekarang ini macam mempertahankan ego,” katanya.

Siti Fatimah berkata, langkah ketiga ialah menurunkan ego.

Katanya, individu yang terkait perlu menilai balik dengan mengambil kira apa motif perjuangan mereka selama ini.

Keempat, mereka perlu menilai balik hubungan yang rosak itu dengan melihat kembali kemanisan hubungan sesama mereka sebelum ini.

“Jika sudah dicapai, mereka perlu mempersiapkan diri untuk proses berdamai,” katanya.

Pihak terlibat harus menerima ataupun mengakui mungkin ada silap dan salah dengan kaedah komunikasi bersemuka dan sebagainya.

Mereka juga perlu mendapatkan pandangan orang lain yang lebih pakar sebagai contohnya membuat rujukan kepada pakar ilmu psikologi, kaunseling dan keagamaan.

Siti Fatimah berkata, proses akhir dalam mencari damai adalah terapi tingkah laku iaitu memberi fokus kepada perkara yang berlaku hari ini dan sekarang berbanding apa yang telah pun berlaku.

“Mereka akan lebih melihat ke depan dalam mencari penyelesai dan akhirnya individu tersebut mengambil tindakan yang berorientasikan kewarasan bukannya emosi,”katanya.


Sumber - Kosmo

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo