Responsive Ad Slot

Timun tidak terjual, dua beradik rugi RM2,000 sehari

PASIR MAS - Dua beradik kerugian RM2,000 sehari sejak dua minggu lalu kerana gagal memasarkan timun yang diusahakan mereka secara fertigasi di Kampung Pulai, Chicha Tinggi, di sini.

Nik Azrin Nik Yaakub, 29 dan abangnya, Nik Azani, 46, mendakwa situasi pandemik Covid-19 ketika ini mempengaruhi pemasaran hasil tanaman mereka.

Nik Azrin tanpa berselindung mengakui sepanjang tempoh itu dia dan abangnya kerugian sekitar RM28,000 apabila hasil timun yang diusahakan gagal dipasarkan.

"Sepanjang Ramadan lalu pula, kami sudah kerugian teruk selepas gagal memasarkan lada solok akibat masalah Covid-19," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, semasa Covid-19 menyerang negara pada Mac tahun lalu, mereka tidak berdepan sebarang masalah untuk memasarkan hasil tanaman tersebut kerana ia dijual terus kepada pemborong di pasar borong dekat Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu.

Nik Azrin berkata, sejak dua minggu lalu lambakan hasil sayur-sayuran berlaku apabila pemborong di RTC buntu untuk memasarkan bahan mentah.

"Ia susulan beberapa sektor ekonomi masih lagi ditutup susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

"Jadi,saya berharap pihak kerajaan dapat campur tangan membantu golongan petani untuk memasarkan hasil tanaman ini dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan kerugian berganda," katanya.

Sumber  : sinarharian


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo