NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah berpotensi jadi negeri maju 2035


PERSOALAN yang sentiasa berlegar di kalangan rakyat Negeri Kedah adalah sama ada Kedah mampu untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2035. Berdasarkan kekuatan semasa, Kedah mempunyai sumber yang bersesuaian untuk bergerak maju ke hadapan bagi mengubah landskap ekonomi menjadi negeri maju.

Pelan Pembangunan Kedah 2035 telah dirangka bagi menggalakkan usaha untuk mempelbagaikan ekonomi serta mencapai matlamat negeri ‘Sejahtera dan Berdaya Huni’ dalam tempoh 14 tahun lagi. Matlamat ini menggariskan enam teras utama yang melibatkan ekonomi, infra dan utiliti, sosial, alam sekitar, modal insan, dan tadbir urus. Dalam menyahut seruan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) pelbagai inisiatif pentadbiran dan pembangunan diperkenalkan antaranya logistik, pelancongan dan industri aeroangkasa.

Pembinaan Projek Kota Perdana di Special Border Economic Zone (SBEZ), Bukit Kayu Hitam dijangka dapat memangkin pertumbuhan kawasan sempadan dan bakal mewujudkan 4,460 peluang pekerjaan. Dalam memastikan pembangunan ekonomi Kedah kekal mapan, kerajaan negeri meneruskan pembangunan Kedah Rubber City yang kini berada pada fasa pertama pembinaan. Pembangunan ini dijangka akan memberi impak kepada sektor perkhidmatan, industri, dan produk berkaitan getah.

Bagi merancakkan sektor logistik pula, Kedah telah mendapat kelulusan khas ke atas projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Lebuhraya Koridor Utara dari Bandar Baharu ke Sungai Petani. Segala projek pembangunan ini dilihat mampu memacu pembangunan ekonomi Kedah di samping menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan prestasi pelaburan di Kedah. Selain itu projek pelaburan di Langkawi oleh Widad @Langkasuka bernilai RM40 bilion dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang daripada syarikat milik penuh Bumiputera iaitu Widad Business Group (WBG) adalah bagi pembinaan komponen pelancongan antaranya hotel, rumah kediaman, kompleks komersial, hospital dan universiti.

HartaLega Holdings Bhd. (HartaLega) dijangka melabur RM7 bilion dan dapat mewujudkan lebih 12,000 peluang pekerjaan bagi membangunkan 16 fasiliti termoden pengeluaran sarung tangan dalam tempoh 20 tahun di SBEZ Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah. Projek pembinaan litar kereta yang dikenali sebagai OPen Road International Circuit (ORIC) adalah hasil kerjasama antara pemilik tanah iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan sebuah syarikat swasta, OPen Road Asia Sdn Bhd (OPen Road). Nilai kasar pembangunan projek ini melebihi RM1.3 bilion dijangka bakal memberikan lonjakan ekonomi berimpak tinggi serta-merta apabila siap dalam tempoh lima tahun akan datang.

Seterusnya, Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Yan sebagai Pelabuhan Persekutuan yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membabitkan perairan seluas 600 kilometer (km) persegi dengan mengambil kira jarak sejauh kira-kira 20 batu nautika dari pantai. Pembangunan pelabuhan itu dijangka meningkatkan minat pelaburan syarikat utama tempatan dan bakal mewujudkan peluang pekerjaan serta pembangunkan daerah sekitarnya.

Kedah menerima satu lagi perkhabaran gembira mengenai pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan mencecah nilai RM8.5 bilion dari syarikat Austria Technologie & Systemtechnic AG (AT&S). Gergasi teknologi dunia yang merupakan peneraju pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) global itu bakal membina fasiliti di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Manakala Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengumumkan Malaysia meraih pelaburan diluluskan bernilai RM80.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, meningkat 95.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu sebanyak RM41.2 bilion. Lima negeri tertinggi nilai pelaburan diluluskan adalah Kedah sebanyak RM43 bilion, Selangor (RM8.6 bilion), Sarawak (RM6.9 bilion), Sabah (RM5 bilion dan Kuala Lumpur (RM4.9 bilion). Kedah mendapat suntikan semangat berdasarkan laporan MIDA bagi suku pertama tahun 2021 dan Negeri Kedah berada di landasan sebenar untuk meneruskan lagi usaha gigih bagi mencapai status negari maju pada tahun 2035.

Negeri Kedah perlu terus meningkatkan kekuatan sedia ada di dalam bidang pertanian khususnya industri padi dan beras sebagai tanggungjawab sosial terbesar yang perlu dihargai oleh pihak Kerajaan Malaysia, bagi jaminan keselamatan bekalan makanan negara. Selain mengorak langkah meneroka kepelbagaian sektor ekonomi yang mampan untuk memberikan impak keterangkuman ekonomi lebih besar kepada negara dan rakyat Negeri Kedah. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan membawa masuk lebih banyak pelaburan teknologi baharu seperti pemain-pemain industri Big Data, Teknologi Blockchain, Internet Kebendaan (IOT), dan Revolusi Industri 4.0. Segala usaha yang sangat tekun dan berdedikasi oleh Kerajaan Negeri Kedah yang saling bekerjasama rapat termasuk dalam kalangan pegawai Kerajaan Negeri (KCS), Kerajaan Persekutuan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga Pihak Berkuasa Tempatan telah menatijahkan hasil yang sangat luar biasa. Tahniah Kerajaan Negeri Kedah.

ANAK KELAHIRAN KEDAH (AKK)
12 Jun 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo