NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Vaksin: Sejahterakan MySejahtera


NIAT awal yang baik akhirnya dikecam walaupun ‘matlamatnya’ sama ada yang tersurat atau tersirat sudah tercapai. Tidak semena-mena menteri muda kita Khairy Jamaluddin (KJ) terkena tempias kecaman sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui media sosial atau secara berdepan.

Hilang sudah rasa hormat apabila ada yang marah-marahkan KJ yang masih turun padang melihat situasi vaksinasi. Itu tanggungjawab beliau apabila diamanahkan sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Bukan mudah menguruskan manusia.

Mungkin semalam menjadi puncak ‘kemarahan’ apabila berlaku gangguan teknikal
ketika pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca (AZ) secara sukarela dibuka. Pengguna sukar mengakses beberapa ciri di laman sesawangnya ketika permohonan dibuka kepada individu berusia 18 tahun.

Menyelak kembali program ini, pada peringkat permulaannya pada awal bulan ini, ia berjalan amat baik walaupun ada ‘kesesakan’. Dalam tempoh 90 minit, 100,000 memohon. Ini bermakna masih ramai yang ‘menolak’ pelbagai keraguan yang ditimbulkan terhadap AZ.

Secara tidak langsung, sambutan itu juga membuktikan ramai yang lebih peduli untuk ‘mempertahankan diri’ daripada terpedaya dengan pelbagai propaganda golongan yang menceritakan ‘keburukan’ vaksin termasuk celoteh Mak Teh.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika menawarkan AZ secara sukarela berkata tawaran itu susulan mempertimbangkan kegusaran rakyat mengenai keselamatan vaksin itu. Tidak pasti berapa peratus yang gusar.

“Pemberian vaksin ini tidak dihadkan kepada mereka yang layak untuk menerima vaksin dalam fasa dua PICK, ia dibuka kepada semua. Siapa cepat, dia yang dapat vaksin AstraZeneca,” katanya pada satu sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Di situlah segalanya bermula. Mereka yang sudah mendaftar melalui MySejahtera, menggunakan kaedah siapa cepat dapat tetapi mengikut kategori akan ditinggalkan di belakang, kecuali mereka mendaftar semula untuk mendapat AZ secara sukarela.

Sepatutnya apabila melihat ‘kejayaan’ pertama tawaran sukarela AZ, PICK mungkin boleh menilai semula sambutan yang diberi daripada kalangan mereka yang sudah mendaftar melalui MySejahtera tetapi mendaftar semula untuk AZ.

Benar sudah dinyatakan ‘terbuka untuk mereka yang mendaftar dengan MySejahtera’ tetapi adalah lebih elok PICK menawarkan terlebih dahulu kepada mereka yang sudah mendaftar, mengikut usia atau keperluan, bukan secara terbuka.

Perancangan awal melalui MySejahtera perlu diikuti supaya sasaran vaksinasi kepada golongan barisan hadapan diikuti warga emas dan seterusnya tidak terbabas dan dapat diselesaikan terlebih dahulu. Ringkasnya ikut keutamaan.

Mustahil PICK tidak boleh mencari kaedah, formula atau sistem yang boleh bertanyakan soalan kepada mereka yang sudah mendaftar. Contohnya : “Adakah anda sedia menerima vaksin AZ? Jawab Ya / Tidak”.

Apa pun penawaran AZ sekali lagi menolak pelbagai propaganda yang ditularkan melalui media sosial. Sudah ada kesedaran untuk mendapatkan vaksin dan mungkin ramai yang menempah awal melalui MySejahtera sudah berjaya mendapat AZ.

Menurut sahabat yang mendaftar melalui MySejahtera pada Februari lalu, dia berjaya mendapat AZ semalam. Dan tarikh suntikan pada bulan Julai. Masih jauh perjalanan itu. Diharapkan kehadiran lebih banyak dos Jun ini dapat membantu vaksinasi mengikut perancangan.

Kemungkinan jika dibuka sekali lagi sambutannya pasti hebat kerana masing-masing tidak sanggup lagi ‘beratur panjang’ sehingga sampai giliran.

Diharapkan apa yang berlaku menjadi panduan dan pengajaran kepada kedua-dua belah pihak – kerajaan atau Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan juga orang ramai. Perbaiki kelemahan yang ada supaya lebih sejahtera dan mesra.

Kepada orang awam, tampillah untuk mendaftar walaupun tidak pasti bila masanya akan diperoleh.

Mengikut rekod masih banyak negeri yang pendaftarannya di bawah 50 peratus iaitu Johor, Melaka dan Perak manakala Perlis, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kelantan mencatatkan pendaftaran bawah 40 peratus. Terendah, Sabah 17.76 peratus.

Kepada yang sudah mendapat suntikan, tahniah tetapi jangan lupa diri sehingga tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Ingat vaksinasi belum menjadikan seseorang itu kebal untuk semuanya. Justeru patuhi SOP.

Dan jika anda sudah disuntik, jangan pula bangga diri dengan bertanyakan orang lain dengan soalan berikut : “ Saya dah dua kali vaksin, anda bila lagi” atau “Saya sudah, anda bila lagi?”.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo