NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Krisis COVID-19 India 'lebih daripada menyayat hati' - WHO


GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan rasa terkejut dengan peningkatan mendadak lagi ketara kes jangkitan dan kematian COVID-19 di India.

Ketua badan dunia itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata keadaan kini 'lebih daripada menyayat hati' dan segala usaha diselaras bagi membantu negara itu.

"WHO akan lakukan segala yang kita berupaya bagi membekalkan peralatan kritikal dan bekalan perubatan.

"Setakat ini, ribuan mesin oksigen, peralatan hospital mudah alih dan bekalan makmal sudah dihantar.

"WHO juga memindahkan lebih 2,600 pakar pelbagai program di lapangan termasuk polio dan batuk kering, untuk membantu pihak berkuasa perubatan India menangani pandemik ini," katanya.

Krisis COVID-19 India kini mencapai tahap kritikal dengan hospital tidak dapat menampung pesakit manakala pusat pembakaran mayat kini beroperasi tanpa henti.


Peningkatan mendadak kes sejak kebelakangan ini menyaksikan keluarga pesakit menggunakan media sosial merayu meminta bekalan oksigen dan katil kosong di hospital.

Ibu negara, New Delhi, bertindak melanjutkan lagi perintah berkurung selama seminggu.

Negara dengan 1.3 bilion penduduk itu kini menjadi tompok panas terbaru wabak yang sudah menjangkiti lebih 148 juta mangsa dan mengorbankan lebih 3.1 juta nyawa di seluruh dunia.

Amerika Syarikat (AS) dan Britain menghantar ventilator dan bahan vaksin kepada India manakala beberapa negara lain turut menghulurkan pelbagai bantuan bagi menangani krisis yang semakin memuncak.

Kata Tedros, kes global coronavirus itu meningkat ketara sejak sembilan minggu lalu dan jumlah kes minggu lalu saja sudah melebihi jumlah keseluruhan kes pada lima bulan pertama ketika pandemik bermula.

AS kekal sebagai negara paling terjejas di dunia dengan lebih 32 juta jangkitan dan 586,000 kematian diikuti Brazil dan Mexico.

Namun, India di tempat keempat, sejak kebelakangan ini menjadi penyumbang utama kepada peningkatan statistik COVID-19 global.

Negara mencatatkan lebih 195,000 kematian, mendaftarkan 2,812 kematian dan 352,991 jangkitan baru semalam, yang tertinggi sejak permulaan pandemik. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/04/811095/krisis-covid-19-india-lebih-daripada-menyayat-hati-who

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo