NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Elak Politik Toksik, Tonjolkan Calon Pelapis – Kadir Jasin




CYBERJAYA: Bekas pimpinan Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk A.Kadir Jasin menggesa calon-calon pelapis perlu ditonjolkan pada Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

Menurutnya, ini bagi mengelak politik toksin berterusan dan mencadangkan pemimpin-pemimpin lama menjadi mentor kepada calon-calon pelapis pada PRU15 nanti.

“Kalau kita benar-benar mahu menjadi negara yang ada masa hadapan – country with a future – ada beberapa perkara yang wajib kita lakukan dan beberapa ciri wajib kita amalkan.

“Pertama kita wajib akui hak generasi muda dan memberikan ruang serta tanggungjawab yang lebih luas kepada mereka dalam pemerintahan negara.

“Ini wajib kita lakukan segera, bermula dengan pilihan raya umum akan datang. Saya akan mengira proses demokrasi dan pewarisan kita sebagai gagal jika kita tidak menambah perwakilan pemuda, wanita dan minoriti dalam Dewan Perundangan kita di peringkat pusat dan negeri pada PRU ke-15 ini,” katanya melalui catatan Facebook beliau.

Soal beliau, kalau pada awal kemerdekaan kita boleh memberi peluang dan kepercayaan kepada generasi muda mengapakah sekarang kita berdolak-dalik seperti yang dimanifestasikan oleh keengganan memberi hak mengundi bermula usia 18 tahun?

Dengan mengambil bebrapa contoh pemimpin lama, A. Kadir Jasin yang juga Tokoh Wartawan Negara menjelaskan lagi, “Mungkin banyak orang tidak tahu yang Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Almarhum Abdul Razak Hussein pada usia 48 tahun, Almarhum Hussein Onn 54 tahun, Dr Mahathir Mohamad 56 tahun – sama dengan usia Mohd Najib Abdul Razak ketika dilantik sebagai Perdana Menteri – dan Abdullah Ahmad Badawi, 64 tahun.

“Mengapakah kita masih bertelingkah mengenai Dr Mahathir yang sudah berusia 93 tahun, Mahiaddin Md. Yasin @ Muhyiddin 73 tahun, Anwar Ibrahim 73 tahun, Lim Kit Siang 80 tahun, Abdul Hadi Awang 73 tahun dan watak-watak lain yang seangkatan dengan mereka? soalnya.

Memang betul sesetengah daripada mereka masih popular, sihat dan berminat untuk terus berkhidmat. Mereka boleh meneruskan khidmat bakti mereka sebagai ahli politik senior dan mentor. Selain itu, berkenaan ciri-ciri pula, kita wajib mengamalkan nilai-nilai murni seperti perkhidmatan (service), amanah, sopan-santun, kasihkan ibu bapa (filial piety), berprinsip, berperikemanusiaan dan rendah diri, ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan nama-nama seperti Mohamad Hasan (64 tahun), Nurul Izzah (40), Anthony Loke (43), Khairy Jamaluddin (45), Dr Maszlee Malik (46), Shahril Sufian Hamdan (35), Rafizi Ramli (43), Mukhriz Mahathir (56), Liew Chin Tong (43), Hannah Yeoh (43), Yeo Bee Yin (37), Darell Leiking (49), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (28) dan pemimpin-pemimpin seangkatan dengan mereka diangkat pada PRU15 akan datang bagi ‘Permudakan Kepemimpinan Malaysia’.

” Kalau Perdana-perdana Menteri kita yang lampau boleh menerajui negara pada usia muda mengapakah sekarang kita mencurigai kebolehan pemimpin muda? Ya, memang betul ada Perdana Menteri yang dilantik pada usia muda menghampakan kita, tetapi ini bukanlah alasan untuk menyekat kemaraan pemimpin pelapis.

“Tolak atau ketepikan pemimpin dari kluster-kluster mahkamah, katak, video lucah, lemah otak, tik tok, kereta mewah dan ingkar SOP,” tegasnya. -SuaraTV

https://suara.tv/27/04/2021/pru15-elak-politik-toksik-tonjolkan-calon-pelapis-kadir-jasin/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo