Responsive Ad Slot

Apa pula ‘permainan’ selepas audio ‘Zahid-Anwar’?


DUA presiden, Ahmad Zahid Hamidi (UMNO) dan Anwar Ibrahim (PKR) sudah menafikan keterlibatan mereka berhubung audio perbualan antara ‘mereka berdua’ yang tular sejak malam semalam.

Zahid menafikannya melalui satu kenyataan media pada sebelah pagi manakala Anwar ketika melancar Bilik Gerakan Utama PKR Selangor, di Shah Alam malam tadi.

Kata Zahid, audio berkenaan sebagai usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik. Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” kata Zahid.

Rakan sejawatan, Anwar juga menafikan sambil menyifatkannya usaha untuk memfitnah beliau dengan kaedah yang lebih canggih.

“Ini nak gunakan kita, nak lawan politik dalam UMNO, nak guna kononnya perbualan saya dengan Zahid untuk politik Bersatu nak menikam pimpinan UMNO. Ini bukan kerja saya,” kata Anwar.

Itu penafian mereka. Dalam erti kata lain audio itu bagi Zahid dan Anwar adalah fitnah, palsu dan rekaan semata. Malahan kedua-duanya mengarahkan pegawai masing-masing membuat laporan polis.

Tidak pasti sejauh mana laporan polis telah dibuat. Jika sudah, baguslah. Penafian dan laporan polis sudah lumrah. Dan ada yang akan berakhir begitu sahaja.

Dan sementara menunggu hasil siasatan polis, apakah siri seterusnya? Ini bukan kali pertama dunia politik Malaysia berdepan dengan pendedahan audio atau video yang berkait dengan orang politik.

Audio ini tidak begitu memudaratkan Anwar. Beliau sudah biasa melayani perkara seumpama ini. Bukan sahaja audio malahan video. Sebaliknya yang menanggung kesan besar adalah Zahid kerana isu ini berkait rapat dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO iaitu No DAP, No Anwar, No Bersatu.

Dan lebih meresahkan apabila Zahid percaya lebih banyak permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.

“Sesiapa sahaja yang mendengar audio itu dapat ‘menangkap’ itu ‘suara Zahid’ bukannya suara Doraemon atau Upin. Begitu juga dengan ‘suara Anwar’ bukannya suara Nobita atau Ipin”

Sama ada palsu atau tulen, biarlah pihak berkuasa siasat, asal jangan sampai pilihan raya umum siasatan belum ada hasil. Siasatlah siapa sebenarnya yang mahu memusnah atau mengkhianati UMNO. Cari siapa dalangnya.

Berdasarkan audio itu, dan mengambil kira ‘pengakuan’ Zahid dan Anwar, ‘pereka’ audio ini memang begitu licik ‘merekodkan’ perbualan itu , menggunakan skrip yang hebat dan tersusun untuk mempengaruhi sesiapa juga yang mendengarnya.

Sesiapa sahaja yang mendengar audio itu dapat ‘menangkap’ itu ‘suara Zahid’ bukannya suara Doraemon atau Upin. Begitu juga dengan ‘suara Anwar’ bukannya suara Nobita atau Ipin.

Maka jangan resah gelisah atau gundah gulana apabila ada yang percaya dan ada yang tidak. Biar pihak berkuasa tentukan.

Persoalannya sampai bila ‘sandiwara’ seumpama ini akan berterusan? Apa jadi kepada UMNO ketika sedang mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum (PRU) siri serangan sebegini berterusan?

Adakah UMNO betul-betul dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pelbagai isu yang ‘diciptanya’ sendiri khususnya berkait No Anwar, No DAP, No Bersatu, anggota Kabinet UMNO letak jawatan, sokongan kepada PN sehingga Parlimen dibubarkan dan pelbagai lagi termasuk kerjasama dengan parti politik lain.

Ketika UMNO bertempik menolak DAP, ada pula suara yang menyatakan tidak mustahil kerjasama bersyarat. Masing-masing memberi pandangan dan menunjukkan kebijakan padahal sesetengahnya seperti tikus membaiki labu.

Setakat ini siri serangan terhadap UMNO lebih tertumpu kepada orang No. 1 parti. Beberapa isu sebelum ini mengheret Zahid ke tengah gelanggang. Nampaknya sasaran terhadap Zahid tidak akan terhenti. Strategi lemahkan ketua.

Seperti kata Ahli Parlimen Bagan Datok itu, lebih banyak permainan keji akan dilakukan. Jika begitu apa yang harus dilakukan UMNO khususnya Zahid?
Suatu tindakan atau keputusan yang tegas harus dilakukan, bukan sekadar menepis serangan terhadap individu tetapi juga kepada parti.





“Justeru, nasib UMNO dalam tangan pemimpin dan anggota partinya. Tak kiralah apa juga ‘peranan mereka’ sama ada sebagai Hang Tuah atau Hang Jebat, musang berbulu ayam, musuh dalam selimut, atau gunting dalam lipatan”

Musuh UMNO akan berusaha menimbulkan suasana tidak tenteram, mewujudkan perbalahan sesama sendiri, tuduh menuduh dan pelbagai lagi hanya kerana ‘perbahasan’ isu-isu sama ada yang ‘dilontar’ oleh mereka atau pihak lawan.

Lihat sahaja kesan audio itu kepada Zahid. Sudah ada yang mahu beliau berundur.
Tidak mustahil, selagi Zahid di situ, pihak yang tidak senang dengan Presiden UMNO itu akan terus memainkan peranan untuk ‘memporak perandakan’ UMNO.

Justeru, nasib UMNO dalam tangan pemimpin dan anggota partinya. Tak kiralah apa juga ‘peranan mereka’ sama ada sebagai Hang Tuah atau Hang Jebat, musang berbulu ayam, musuh dalam selimut, atau gunting dalam lipatan.

Masing-masing perlu melindungi diri dan parti umpama menyuntik vaksin Covid-19 bukannya menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Perlu diingat, orang luar atau musuh UMNO sama ada akan terus bertepuk tangan, memerhati atau mengambil kesempatan ‘mencurahkan minyak ke dalam api’.
Justeru carilah jalan keluar supaya UMNO tidak mudah diserang!

-BebasNews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo