NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Salah guna kuasa punca negara mundur – Nik Zawawi



8 APRIL : Kartel projek tender kerajaan yang ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperlihatkan penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan menjadi punca negara mundur dan tidak mampu berdaya saing.

Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia satu perkara yang tidak seharusnya berlaku, apatah lagi dalam sesebuah negara yang mengamalkan Islam.

“Jenayah tersebut berkemungkinan berlaku akibat daripada budaya sedemikian yang telah wujud dalam sistem pemberian tender sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Ini berdasarkan penilaian kepada jumlah keuntungan yang dikaut mereka. Saya berharap tidak berlaku double standard dalam pendedahan kartel itu untuk menjaga individu-individu tertentu,” katanya, hari ini.

Terdahulu, PN BBC Portal melaporkan satu sindiket kartel projek tender kerajaan berjaya dilumpuhkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menahan tujuh orang termasuk ketuanya berusia 47 tahun lewat tengah malam semalam.

Kartel projek berkenaan yang beroperasi sejak tahun 2014 hingga kini telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.8 billion.

Apa yang mengejutkan, ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebutharga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi berpandangan jenayah berkenaan boleh menjadi faktor banyak projek-projek terbengkalai atau gagal menepati piawaian, syarat serta aspek-aspek yang ditetapkan.

Justeru, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat memberitahu tidak hairan sekiranya negara ini sukar untuk bersaing dengan negara-negara maju dan jauh tertinggal di belakang.

“Pegawai-pegawai kerajaan dan mana-mana pihak yang terlibat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin serta tidak mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan melalui penyalahgunaan kuasa,”katanya.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi turut merakamkan penghargaan kepada SPRM dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil pendekatan tegas dalam isu kartel tender tersebut.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Puteh menegaskan tindakan yang diambil seumpama itu amat wajar bagi memberi pengajaran kepada pihak lain agar jangan ambil mudah dan memandang remeh utk sewenangnya mengambil harta benda kerajaan.

“Ataupun dalam waktu sama harta kerajaan ini adalah harta rakyat hasil dariapda cukai yang diberi rakyat.

“Hasil daripada banyak perkara yang sebabkan wang disatukan ini, kalau digunakan sebaik mungkin tentunya ia akan memberi manfaat semaksima mungkin kepada negara kita.

“Saya mengucapkan syabas kepada SPRM dan kerajaan PN yang mengambil pendekatan yang tegas untuk kita memastikan perjalanan khasnya melalui agensi kerajaan, tender-tender yang dibuka ini betul-betul berkesan dan memberi manfaat semaksimum mungkin kepada seluruh rakyat yang ada di negara kita,”katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo