NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Tapak Warisan Di Sungai Batu Merbok, Kedah: 4 Fitnah, 5 Fakta, 5 Rumusan.

___________
FITNAH 1:
Kerajaan Negeri menghalau sekumpulan penyelidik yang berada di atas tapak warisan yang menjadi kajian arkeologi Sg Batu.
FITNAH 2:
Kerajaan Negeri tidak mahu usir sekumpulan penduduk yang mendiami tanah secara tidak sah di sebelah tapak warisan.
FITNAH 3:
Kerajaan Negeri mahu bina jalan di atas tapak warisan.
FITNAH 4:
Kerajaan Negeri tidak peka dengan tapak warisan dan mahu menghapuskan sejarah.
____________
FAKTA 1:
a. Tapak warisan arkeologi di Sg Batu Merbok adalah milik Jabatan Warisan Negara, selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005. Akta ini melindungi tapak-tapak warisan arkeologi negara melalui penyelidikan, pemuliharaan dan pemeliharaan.
b. Tapak ini bukan milik mana-mana kumpulan penyelidik. Walau bagaimanapun, difahamkan Jabatan Warisan Negara memberi kebenaran kepada mana-mana kumpulan penyelidik untuk menjalankan kajian di atas tapak tersebut mengikut syarat-syarat tertentu.
FAKTA 2:
a. Di sebelah tapak warisan ini, ada tanah kerajaan yang didiami sebilangan keluarga secara tidak sah. Ada juga sebuah maa'had tahfiz, juga dibina secara tidak sah.
b. Tanah ini milik Kerajaan Negeri, bukan milik penduduk berkenaan, bukan milik Jabatan Warisan, bukan milik pengkaji berkenaan.
FAKTA 3:
a. Oleh kerana sebahagian besar keluarga ini hidup dalam keadaan susah dan kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memindahkan mereka ke tempat lain. Tanah Kerajaan Negeri sangat terhad.
b. YAB MB mengarahkan supaya Pejabat Daerah Kuala Muda mengambil tindakan untuk plotkan tanah berkenaan mengikut ukuran yang munasabah supaya dapat didiami oleh keluarga yang tiada tapak rumah dan benar-benar memerlukan.
c. Dalam masa yang sama, satu kawasan tanah hendaklah dikhususkan sebagai kawasan penampan, yang menjarakkan antara tapak warisan dan tapak rumah penduduk yang akan dibina. Tujuannya supaya tapak warisan berkenaan tidak terganggu atau tercemar apabila ada penempatan penduduk di tapak yang baru kelak.
d. Membela orang miskin yang tidak ada tapak rumah untuk didiami juga adalah satu keutamaan sama seperti memelihara tapak warisan.
FAKTA 4:
a. Terdapat sebatang jalan yang ada bagi menghubungkan kawasan penduduk berkenaan dengan jalan raya utama.
b. Difahamkan, jalan ini juga dibina secara tidak sah. Jalan ini didapati lalu di atas tapak warisan arkeologi berkenaan.
c. Keadaan ini tidak boleh terus dibiarkan kerana akan mengganggu dan mencemarkan tapak warisan arkeologi berkenaan.
d. Demi memelihara tapak warisan dan memberi kemudahan kepada penduduk berhampiran, Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk mengalihkan jalan berkenaan dari tapak warisan kepada tapak baru yang terletak di atas tanah kerajaan. Tapak jalan yang baru ini lokasinya bersebelahan dengan tapak warisan.
FAKTA 5:
a. Kontena yang digunakan oleh pengkaji untuk menempatkan peralatan kajian didapati berada di atas tapak jalan baru yang dicadangkan dibina bagi kemudahan penduduk. Tanah itu tuannya Kerajaan Negeri.
b. Jalan belum dibina. Baru dicadangkan sahaja. Kontena pengkaji dan pengkaji itupun tidak dialihkan atau dihalau. Semuanya masih elok berada di situ sehingga hari ini.
c. Untuk selesaikan masalah ini, pihak Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah Kuala Muda dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) telah berunding dengan kumpulan pengkaji, tuan punya kontena berkenaan.
d. Setelah rundingan, ada 2 cadangan penyelesaian:
SATU: Kontena pengkaji dipindahkan masuk ke dalam tapak warisan arkeologi. Tuan punya tapak warisan, Jabatan Warisan Negara telah beri keizinan. Difahamkan begitu.
DUA: Jika kontena itu tidak mahu dialihkan, maka Kerajaan Negeri bersedia melencongkan jalan supaya tidak mengganggu kontena pengkaji.
e. Tidak dapat dipastikan cadangan mana yang menjadi pilihan kumpulan pengkaji. Yang pasti, Kerajaan Negeri bersedia memberi keutamaan kepada kehendak kumpulan pengkaji, sebagai satu langkah menyokong mereka meneruskan kajian di atas tapak warisan.
____________
RUMUSAN
1. Tiada langsung tindakan menghalau kumpulan penyelidik di atas tapak warisan Sungai Batu. Bahkan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah bagi memastikan tapak warisan arkeologi Sg Batu terus terpelihara.
2. Penduduk yang ada di atas tanah berhampiran tapak warisan tidak akan dipindahkan. Mereka akan diberikan lot tanah yang sesuai untuk didiami mengikut undang-undang tanah dan syarat ditentukan oleh Kerajaan Negeri.
3. Tiada jalan yang akan dibina Kerajaan Negeri di atas tapak warisan. Jalan yang sedia ada secara tidak sah akan dialihkan ke kawasan di luar tapak warisan.
4. Kerajaan Negeri akan terus memelihara tapak warisan Sungai Batu sebagai bahan sejarah yang membentuk tamadun dunia.
5. Tamadun membentuk peradaban manusia. Manusia yang memahami tamadun merupakan manusia yang menjunjung adab dan tatasusila. Tindakan menyebarkan fitnah melulu penuh emosi tanpa usul periksa adalah tindakan tidak bertamadun dan boleh memusnahkan peradaban.
(Sumber: Sidang Media YAB Menteri Besar Kedah pada 9 Mac 2021 di Wisma Darul Aman)

Afnan Hamimi
Wisma Darul Aman

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo