NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kalimah ‘Allah’: Mengapa.. bukan-Muslim DAP gesa dibenarkan guna?

Apa motif rai kebenaran guna kalimah ‘Allah’? -Pemuda PAS

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi mengisytiharkan larangan penggunaan kalimah ‘Allah‘ serta tiga perkataan lain untuk digunakan oleh penganut Kristian sebagai tidak berperlembagaan, hakikatnya seperti menikam jantung umat Islam negara ini.

Kes kalimah ‘Allah’ ini beberapa tahun dahulu telahpun diberi keputusan yang amat menjaga sensitiviti agama, ketenteraman awam dan keharmonian kaum. Tetapi keputusan kes hari ini telah memberikan dapatan yang berbeza.

Telah saya tegaskan sebelum ini, Kalimah Allah yang digunakan untuk mengelirukan umat Islam, menggoncang aqidah umat Islam dan digunakan dengan tidak merujuk kepada makna yang sebenar bahkan memberikan kalimah ‘Allah’ pada selain daripada Allah adalah dilarang sama sekali.

Menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak boleh dibenarkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

Mengapa terdapat pihak yang begitu bersungguh-sungguh menuntut hak menggunakan kalimah tersebut, sedangkan majoriti penganut dan tokoh agamawan Kristian sedunia tidak beriktikad demikian? Hanya masyarakat Kristian di Arab sahaja yang menggunakan kalimah Allah kerana uruf kebiasaan mereka di sana.

Begitu juga pemimpin politik bukan-Muslim khususnya dari DAP yang lantang bersuara menggesa ia dibenarkan guna. Malah, ada yang menunjukkan keraian teruja dengan keputusan itu seolah sinikal kepada Muslim.

Inilah yang mengundang rasa curiga dan syak wasangka bahawa tuntutan tersebut mempunyai motif dan tujuan menyeleweng dari pegangan atau amalan keagamaan sebenar. Ia dilihat terbuka untuk menyebabkan salah guna, bukan sahaja oleh mereka yang mahu mencapai matlamat sulit seperti gerakan Evangelis, tetapi juga menimbulkan provokatif dan hasutan di mana berpotensi menjadi punca tindak balas ekstrem.

Sehubungan itu kami menggesa Kerajaan supaya mengambil satu langkah proaktif dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah serta akidah umat Islam.

Kerajaan mestilah bertanggungjawab melalui kerangka Siyasah Syar’iyyah dan autoriti yang ada, untuk mengenalpasti serta mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba memanipulasi penggunaan kalimah Allah dan berniat untuk mengelirukan umat Islam demi kepentingan dakyah mereka.

Seandainya mereka mempunyai sebarang dakyah tersembunyi di sebaliknya, ingatlah amaran kami bahawa ia hanya akan menjemput bahaya. Pemuda PAS menegaskan bahawa kami sendiri akan menggerakkan solidariti bantahan secara terbuka sekiranya wujud rancangan balik tabir yang jahat dan mencipta permusuhan, untuk menggunakan isu ini untuk membawa kerosakan kepada perpaduan bangsa di Malaysia.

Pemuda PAS juga menuntut agar kerajaan membuat rayuan bagi kes tersebut dan tidak sama sekali menarik balik Pekeliling KDN KKDN/S59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan eksklusif untuk orang Islam iaitu kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat, untuk dilarang penggunaannya kepada bukan Islam.

Sekalipun Mahkamah Tinggi memutuskan ianya tidak berperlembagaan, Kerajaan boleh memohon penangguhan pelaksanaan (stay of execution) bagi memastikan larangan dalam Pekeliling tersebut dikekalkan. Ini bagi memastikan ianya tidak diambil kesempatan oleh para Evangelis untuk menggerakkan dakyah mereka.

Pemuda PAS mengajak seluruh masyarakat Islam di Malaysia supaya bersatu hati, tanpa mengira bangsa, aliran pemikiran mahupun fahaman politik, untuk sama-sama mempertahankan kesucian Islam, serta menolak cubaan bagi menggugat akidah umat Islam di Malaysia.

Sebarang cubaan untuk merosakkan pemikiran umat Islam adalah suatu perbuatan mencetus ketidakharmonian, dan harus ditentang sehabisnya.

YB SENATOR IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo