NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kuantan bakal setanding dengan Bandar Raya lain dalam negara




21 FEB : Pengisytiharan Kuantan sebagai sebuah bandar raya hari ini akan memberikan kesan positif dalam pelbagai sudut terutama kepada rakyat di negeri tersebut, demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan di facebook rasmi milik beliau.

Muhyiddin melontarkan keyakinan bahawa Datuk Bandar Kuantan yang pertama, Dato’ Hamdan Hussin akan terus bekerja keras menjadikan Kuantan sebagai sebuah bandar raya yang setanding dengan bandar raya lain di negara ini.

“Walaupun majlis tersebut berlangsung dalam skala sederhana bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung wabak COVID-19, saya yakin majlis bersejarah ini akan diingati dan dibanggakan oleh segenap lapisan rakyat Pahang.

“Perubahan status bandar Kuantan tentunya akan membawa banyak kesan positif kepada penduduk dalam pelbagai segmen seperti kemudahan infrastruktur memandangkan ia merupakan sebahagian daripada keperluan untuk menjadi bandar raya.

“Kepada Datuk Bandar, bekerjalah dengan penuh tekun demi memacu kemajuan Kuantan agar berada sebaris dengan bandar raya lain di negara ini, sekali gus memberi impak positif kepada negeri dan rakyat Pahang dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya dan perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan, Pahang.

Turut mencemar duli ke majlis bersejarah itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama YAB Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Majlis turut menyaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Hamdan Hussin dilantik dan mengangkat sumpah selaku Datuk Bandar Kuantan yang pertama.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo