NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Umno tolak gabungan BN-PN?


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa menggunakan kuasa vetonya selaku Presiden UMNO untuk menghalang Barisan Nasional (BN) daripada bergabung dengan Perikatan Nasional (PN).

Ia dilakukan walaupun majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu memutuskan sebaliknya, menurut sumber MT UMNO yang hadir pada mesyuarat di Janda Baik, Pahang, pada Jumaat lalu.

Katanya, Ahmad Zahid ternyata 'melanggar' keputusan majoriti untuk menggunakan formula Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Ahli-ahli MT bersetuju untuk bergabung dengan PN atas nama BN. Maknanya, kita buat seperti yang dilakukan semasa PRN Sabah.

"iaitu, BN dan PN dalam suatu gabungan yang sama, untuk menghadapi PRU15. Jadi, tidak ada pertembungan tiga penjuru nanti," katanya hari ini.

Pada PRN Sabah lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibarisi PN dan BN bersama PBS, mendapat keseluruhan 38 kerusi dan Warisan PLUS memenangi 32 kerusi, manakala tiga calon Bebas menguasai DUN Kuamut, Kemabong serta Pitas.

Pada Jumaat, mesyuarat MT digambarkan penting dalam mencorak hala tuju parti Melayu itu menjelang PRU15.

Mesyuarat itu difahamkan turut menyentuh mengenai persetujuan melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada UMNO dalam usaha mengukuhkan parti itu.

Bagaimanapun, selepas lebih tiga jam mereka bermesyuarat di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU) di Janda Baik itu, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh mana-mana ahli MT.

Dalam pada itu, sumber berkenaan memaklumkan, Ahmad Zahid turut menggunakan kuasa vetonya semasa membincangkan isu tawaran jawatan TPM dari UMNO dalam PN.

"Beliau (Ahmad Zahid) menggunakan kuasa veto presiden untuk menghalang parti menerima jawatan tersebut meskipun dipersetujui oleh sebahagian ahli MT yang hadir.

"MT juga telah bersetuju untuk menerima jawatan itu tetapi malangnya presiden menolak semua cadangan berkenaan daripada ahli-ahli MT," jelasnya.

Pada Disember 2018, Ahmad Zahid bersetuju ‘bercuti rehat’ dan menyerahkan tugas Presiden UMNO kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Penganalisis Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri sebelum ini menegaskan, kepercayaan ahli UMNO akan pudar kepada Ahmad Zahid seandainya benar beliau menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang baharu.

Kata felo penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN) itu, ia sekali gus akan memberi kesan besar dan isyarat tidak baik kepada parti itu sendiri.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman sebelum ini berkata, UMNO perlu mengutamakan survival politik Melayu Islam.

Ujarnya, UMNO dikhuatiri bakal tumbang malah mungkin tidak mampu lagi untuk bangkit sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru membabitkan rakan sekutu dan pembangkang dalam PRU15 nanti.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/gabung-bnpn-ahmad-zahid-langgar-keputusan-mt-sumber-283936

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo