Responsive Ad Slot

Isu ugutan pada Sinar Harian: Pemimpin BN kini juara kebebasan bersuara dan berpolitik!



Oleh : Mr Iskandar Zulqarnaen

PENULIS sebelum ini tidak mengikuti media sosial Pengerusi Kumpulan Karangkraf (Sinar Harian), Dato' Hussamuddin Yaacub. Namun bila timbul isu ugutan yang dikatakan dibuat oleh pegawai lantikan politik seorang menteri Kerajaan Pusat kepada Sinar Harian yang dibangkitkan beliau baru-baru ini, penulis terus cari Facebook beliau dan mengikutinya.

Katanya, ada pegawai lantikan politik di kementerian yang mengugut untuk membatalkan kontrak iklan Sinar Harian jika media itu terus memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang di media-media milik syarikat itu.

Ia adalah satu isu yang sangat menarik. Sebagai aktivis pembangkang yang telah berpuluh-puluh tahun merasai peritnya ditindas parti kerajaan membuatkan penulis merasakan ia sesuatu yang patut disokong.

Sekarang kita sudah berada pada zaman millenia pasca moden walau pun kereta terbang masih belum lagi wujud. Jadi budaya memaksa mana-mana orang atau organisasi untuk menyokong parti kerajaan untuk membolehkan mereka mendapat bantuan atau untuk berniaga dengan kerajaan sudah berlalu. Itu adalah budaya kerajaan lama.

Pemimpin Umno sokong kenyataan Hussamuddin

Tapi yang sedikit membuatkan penulis terharu ialah apabila beberapa orang pemimpin UMNO yang turut menyokong luahan Hussamuddin ini. Ia membuatkan penulis sedikit bingung namun tetap melahirkan rasa syukur.

Antara yang meluahkannya ialah Isham Jalil dalam satu hantaran di Facebooknya pada 10 Februari lepas. Kata Isham Jalil :

Apalah nak jadi dengan orang-orang dalam kerajaan PN ini sampai perlu ugut media dan wartawan dengan pembatalan iklan jika media beri ruang kepada orang-orang politik tertentu.

Takkan semua media nak disuruh puji kerajaan sahaja. Dan sesiapa yang bersuara mengkritik kerajaan pula diugut dan ditekan.

Biarkanlah media bebas bersuara untuk semak imbang kerajaan. Ini penting untuk rakyat dan untuk masa depan negara.

Kerajaan perlu terima hakikat yang kerajaan bukan semuanya dan bukan selalunya betul, oleh itu perlu disemak imbang untuk mencegah kesilapan atau salah guna kuasa. Jangan ganggu kebebasan media," kata Isham Jalil yang kini merupakan Ketua Penerangan BN Selangor dalam media sosialnya itu.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang turut memberikan komen ialah Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki. Kata Asyraf:

Kerajaan PN harus bersedia untuk dikritik (tajuk).

Saya simpati dengan kenyataan Pengerusi Kumpulan Karangkraf (Sinar Harian) yang menerima ugutan pembatalan kontrak iklan daripada seorang Pegawai Media Menteri Kerajaan PN atas pendirian bebas akhbar berkenaan

Beliau mendakwa bahawa fenomena cubaan mengekang kebebasan media semacam lebih berleluasa di zaman Kerajaan PN. Bahkan beliau mengakui media lebih bebas di zaman Kerajaan BN ataupun PH.

Saya harap Kerajaan PN dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) agar menerima kritikan daripada pengamal media veteran ini secara berlapang dada dan segera melakukan koreksi dalam aspek kebebasan media. Saya percaya tiada niat jahat dan tiada keperluan untuk diambil sebarang tindakan hanya kerana kritikan terhadap PN yang sifatnya bukanlah melampau," kata Asyraf.

Penulis sujud syukur dan menitiskan air mata kegembiraan apabila membaca pendirian kedua-dua orang pemimpin Umno ini. Syukur kerana mereka semua sudah berubah.

Kebebasan berpolitik di zaman BN
Walau pun dalam kenyataan Hussamuddin ada menyebut zaman BN dahulu kebebasan media lebih baik, penulis sangat tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Mungkin Hussamuddin marah sangat dengan apa yang berlaku lalu dia 'up' sikit BN supaya pemimpin PN trigger. Itu psikologi. Biasalah...

Hakikatnya, sesiapa yang pernah merasa menjadi pembangkang di zaman BN dahulu tahulah bagaimana azabnya menjadi pembangkang.

Seorang rakan Almarhum ayahanda penulis, seorang kontraktor yang sangat berkredibiliti dan berkemampuan disekat perniagaannya kerana menyokong pembangkang.

Tidak cukup dengan itu, untuk terus berniaga selepas disekat, dia menggunakan lesen rakannya untuk mendapatkan sebutharga dan tender kerana lesennya disenaraihitam kerana menyokong pembangkang. Itu pun ia berjaya dikorek dan dihidu oleh kerajaan BN pada masa itu dan lesen rakannya juga disenaraihitam.

Ada seorang lagi di kampung penulis mengusahakan ternakan ayam daging. Dia seorang pemuda yang kuat berusaha dan berdikari. Penulis tidak ingat fakta kisah ini dengan tepat kerana ia berlaku dalam tahun 1980 an.

Kalau tak silap penulis, asalnya sebuah agensi kerajaan sepatutnya membekalkan makanan ayam untuk ladang ternakannya sebagai salah satu bantuan dan sokongan kerajaan. Namun apabila ada aduan daripada pihak parti pemerintah cawangan kampung kami ketika itu bahawa beliau menyokong pembangkang, terus agensi itu membatalkan bekalan yang diberi. Kerana tidak cukup modal dia telah menjual segera mana-mana ayam yang ada sebelum menutup ladang ternakannya itu.

Penulis dengar sendiri ceritanya semasa mengikuti ayah penulis ke situ membeli ayam-ayam ternakannya untuk membantu mengurangkan beban yang ditanggungnya. Lalu runtuhlah perniagaan seorang anak muda Melayu berjiwa besar hanya kerana dia menyokong pembangkang.

Zaman BN kakitangan kerajaan tidak boleh sokong pembangkang
Itu belum lagi kakitangan kerajaan kumpulan sokongan yang sebenarnya tidak terikat dengan larangan berpolitik turut menjadi mangsa. Abang ipar penulis ditukarkan 24 jam ke satu lokasi lain sejauh 120 kilometer kerana menyokong pembangkang.

Hampir sebulan beliau bertolak ke tempat kerja sebelum subuh dan pulang malam menjelma dengan menaiki motorsikal 'cub'. Kemudian barulah dia berjaya mendapatkan kuarters untuk membawa keluarganya dan anak-anaknya yang masih kecil berpindah. Celakalah mereka yang menganiaya abang ipar penulis itu! Allah akan membalasnya. Hanya kerana menyokong parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan ketika itu.

Malah golongan cerdik pandai pun berjaya dibodohkan dengan polisi ini sekian lama. Seorang rakan penulis bercerita, isterinya seorang pensyarah UiTM berkata bahawa sebagai kakitangan kerajaan mereka wajib menyokong 'parti kerajaan'. Kalau menyokong 'kerajaan' itu adatlah, tapi istilah 'parti kerajaan' itu menunjukkan pada masa itu cerdik pandai pun dibodohkan dengan prosedur dan undang-undang. Begitulah tenatnya pemikiran rakyat ketika itu dalam soal kebebasan berpolitik.

Yang sebenarnya kakitangan kerajaan kumpulan A ke atas tidak boleh memegang jawatan dalam politik tetapi bebas untuk menyokong mana-mana parti politik. Tapi undang-undang sedia ada yang dikenali sebagai Perintah Am ini hanya digunakan pada pegawai kumpulan A yang menyokong pembangkang. Sepatutnya larangan ini untuk semua parti politik tidak kira kerajaan atau pembangkang.

Itu dalam soal kakitangan kerajaan. Belum lagi longkang baharu yang dibina terputus di hadapan rumah penyokong pembangkang. Dan belum lagi penyokong-penyokong kerajaan yang berlagak betul apabila jalan tar dibina sehingga depan tangga rumah mereka. Penyokong pembangkang hanya mampu bermimpi sajalah untuk merasakannya.

Perjuangan kebebasan media oleh Tengku Razaleigh Hamzah
Penulis ingat lagi sekitar penghujung tahun 80an dan awal tahun 90an. Pada masa itu ada sebuah parti Melayu yang telah berkubur bernama Parti Melayu Semangat 46. Parti ini ditubuhkan dan dipimpin oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah dari mula ditubuhkan sehinggalah ia dibubarkan.

Semangat 46 ini yang ditubuhkan oleh kumpulan serpihan Umno yang tewas kepada Tun Dr Mahathir pada masa itu telah mengadakan pakatan dengan PAS.

Satu hari penulis melihat satu berita di televisyen memaparkan sedikit kenyataan Tengku Razaleigh. Pada masa itu ada juga suara pemimpin pembangkang sekali-sekala keluar di televisyen, mana-mana yang boleh menguntungkan parti kerajaan, diambil sekerat-sekerat.

Dalam kenyataan itu Tengku Razaleigh meluahkan tentang sekatan terhadap kebebasan akhbar yang menyebabkan Semangat 46 dan gabungan pembangkang gagal mendapatkan keputusan yang baik dalam pilihan raya.

Yang ini penulis dengar dengan telinga penulis sendiri kenyataan Tengku Razaleigh ini. Namun selepas Tengku Razaleigh masuk Umno semula tidak pula dia memperjuangkan kebebasan akhbar untuk pembangkang.

Lagi menarik jawapan Tun Mahathir kepada isu kebebasan akhbar semasa itu, jawab Mahathir, "Siapa kata akhbar tiada kebebasan? Mereka ada kebebasan memilih untuk menyokong siapa yang mereka suka samada pembangkang atau kerajaan. Dan mereka memilih untuk menyokong kerajaan".

Wah, mantap jawapan Presiden Umno zaman tu! Tiba-tiba semua akhbar yang bebas memilih tadi semuanya memilih untuk menyokong BN dan membantai pembangkang. So lucky!

Kebebasan akhbar di zaman BN
Harakah sebagai akhbar pembangkang tidak pernah terlepas daripada terkena tempiasnya. Berapa kali Harakah dirampas oleh penguatkuasa daripada pasaran. Selain itu Suara Keadilan akhbar PKR pula tidak diberi lesen langsung dan terpaksa menukar-nukar namanya untuk disesuaikan dengan kehendak undang-undang.

Sebenarnya semua orang faham bahawa pada masa itu menyokong pembangkang akan hilang banyak keistimewaan. Jangan harap nak berceramah di masjid-masjid, apatah lagi di kaca televisyen. Tender kerajaan sementelah lagi.

Jangan pula kata semua ini hanya berlaku zaman Mahathir sahaja. Tidak! Semua sekatan dan halangan ini berlaku sehinggalah hari terakhir BN memerintah Malaysia pada Mei 2018.

PH sia-siakan peluang yang diberi
Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah pakatan pertama yang berjaya menjatuhkan BN dahulu telah mempersia-siakan peluang yang diberi dengan mentadbir kerajaan hampir sama sahaja dengan BN dari sudut kebebasan bersuara. Baru sahaja jadi kerajaan sudah ada senarai hitam penceramah agama yang tidak boleh dijemput oleh organisasi kerajaan!

Walau pun PH baik sikit daripada kerajaan lama BN kerana memberi sedikit peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang namun jumlahnya sangat sedikit dan serupa macam tak bagi. Sepatutnya kerajaan PH menunjukkan satu perbezaan yang luar biasa dengan memberi peruntukan yang sama kepada wakil rakyat pembangkang sama dengan apa yang diterima oleh wakil rakyat parti kerajaan. Barulah nampak perbezaannya.

Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak dapat merasakan wujud walau satu kerajaan pun yang tidak mendiskriminasi pembangkang

Walau pun penulis telah hidup merasakan puluhan tahun sebagai pembangkang yang tertindas namun penulis sangat menyokong prinsip bahawa sesiapa pun rakyat tidak boleh didiskriminasi jika menyokong pembangkang.

Kebebasan berpolitik, jangan hanya retorik
Seorang rakan penulis yang merupakan orang kuat Umno dan juga pegawai kerajaan kumpulan A dulu-dulu sering dilihat di ceramah-ceramah pembangkang. Ada yang kata dia perisik Umno. Entahlah.

Semasa 22 bulan Umno jadi pembangkang penulis ada mengajaknya ke ceramah-ceramah Umno dan PAS. Tapi kali ini dia tidak berani pergi dekat. Hanya duduk di belakang-belakang pokok. Baru dia tahu susah dan takutnya jadi pegawai kerajaan yang menyokong pembangkang. Dulu yang mereka tahu nak korek dan ambil tindakan pada pegawai kerajaan yang sokong pembangkang!

Bukan niat penulis untuk mengungkit kisah yang tidak berapa lama ini. Cuma penulis sangat berharap agar semua yang memperjuangkan kebebasan rakyat untuk berpolitik ini bukanlah hanya kerana sudah tiada kuasa. Kalau betul semua orang politik yang dulu menindas hak rakyat dengan kuasa mereka sudah pun insaf, baguslah. Sangat dialu-alukan.

Buat betul-betul. Bukan sekadar cakap saja. Umno jangan pula jadi 'baik lurus' masa tidak berkuasa penuh seperti sekarang, semasa Perdana Menteri bukan daripada Umno. Takut nanti dah ada kuasa besar macam dulu-dulu, lupa semua yang disuarakan hari ini.

Buat kerajaan Perikatan Nasional (PN), jika anda ada rezeki untuk memerintah lagi selepas PRU15, wujudkanlah satu budaya baharu. Yang paling penting hapuskan rasuah. Yang kedua tiada lagi diskriminasi kepada mereka yang menyokong pembangkang. Bagi peruntukan yang sama kepada wakil rakyat pembangkang. Hormati keputusan rakyat. Jangan ulangi cara pemerintahan BN dan PH dahulu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat dalam kejadian yang disebutkan oleh Dato' Hussamuddin tadi. Seluruh pegawai-pegawai lantikan politik kerajaan PN harus diberitahu bahawa sekarang ini zaman baharu, tiada lagi penindasan kerana perbezaan fahaman politik dengan kerajaan. Kadang-kadang pegawai-pegawai ini berasal daripada DNA yang sama sehingga terbawa-bawa perangai lama. Cuba ubah sikit-sikit, insya-Allah boleh!

**Penulis adalah seorang wartawan dan aktivis politik-masyarakat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo