Responsive Ad Slot

Umno tempah maut sebelum berkubur?

Oleh Sarfarizmal Md. Saad

TARIKH 5 Januari 2021 ternyata memeranjatkan dunia politik tanah air. Ketika rakyat dilanda kerungsingan dan ketakutan akibat banjir dan Covid-19, politikus pula ghairah membuat percaturan politik demi kelangsungan hidup mereka.

Nasib siapa sebenarnya yang mahu dibela.

Berita pemecatan Tan Sri Annuar Musa dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) bakal meruntuhkan kerajaan berdasarkan binaan permuafakatan politik yang ada.

Sebelum ini, Annuar begitu ‘outspoken’ mempertahankan gabungan muafakat politik antara Umno, Pas dan Bersatu dalam dua payung utama iaitu MN dan PN.

Annuar melihat Umno berada dalam keadaan yang lebih dari segi kelangsungan hidupnya melalui gabungan berkenaan, namun penentangnya pula merasakan Umno sudah cukup berkuasa dan boleh mendapat sokongan rakyat yang sebenarnya belum pasti menjadi realiti di peti undi.

Pemecatan yang tidak dibuat secara teratur mengikut peraturan jelas menimbulkan pelbagai tanda tanya. Apa sudah jadi dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi?

Annuar sebenarnya mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau selalu mengeluarkan kenyataan kearah penyatuan Umno, Pas dan Bersatu. Katanya beliau berpegang kepada pendirian rasmi Umno iaitu bekerjasama dengan Pas dan Bersatu melalui MN dan PN, serta prinsip “No Anwar, No DAP”.

Walau apapun alasan yang dijawab oleh Umno atau sesiapa pun yang terlibat, tindakan untuk menolaknya merupakan suatu langkah yang cukup merugikan.

Mungkin ada yang sedar mahupun tak sedar, permuafakatan politik yang dibentuk pasca kejatuhan Kerajaan PH ini adalah hasil penyatuan politik orang Melayu di Malaysia.
Umno, Pas dan Bersatu masing-masing merupakan parti berasaskan bangsa Melayu dan agama Islam yang pertama kali dalam sejarah bergabung membentuk sebuah pakatan besar, dibentuk dengan penuh onak dan duri.

Apabila penggerak utama permuafakatan iaitu Setiausaha Agung BN dan MN ini ditukar, ia akan melemahkan permuafakatan politik bangsa Melayu sebenarnya. Silap haribulan, ia mampu meruntuhkan apa yang telah dibina bersama.

Ramai penganalisis, pemerhati, pengundi dan orang lama berpengalaman dalam politik berpendapat, sekiranya permuafakatan politik Melayu Islam ini digerakkan dengan padu, maka ia akan memberi kelebihan dalam PRU15 akan datang.

Malah PH juga sebenarnya cukup takut jika MN dan PN bersatu hati kerana kekuatan asas politik di Malaysia ini diakui lahir dari corak politik orang Melayu Islam sendiri.

Kerugian besar juga berlaku sekiranya Umno ‘membuang’ Bersatu dalam permuafakatannya, secara tidak langsung ia juga akan menghilangkan Pas dalam kekawanan ini.

Dari segi strategi, sudah pasti Pas memilih untuk lebih bekerjasama dengan Bersatu, bukan dengan Umno. Ia lebih memudahkan Pas untuk bertanding di lebih banyak kerusi dalam PRU15, berbanding bersama Umno.

Jika ini berlaku, semasa PRU15 akan datang bermaksud BN akan melawan dengan PH dan PN – tiga penjuru utama. Walaupun mungkin calon PN datangnya dari Bersatu dan mereka tiada sebarang cawangan atau jentera yang kuat di peringkat akar umbi, namun mereka masih ada Pas yang bersama dalam PN.

Jangan dilupa, Pas memiliki jumlah jentera yang kuat dan setia yang boleh menandinggi jentera Umno itu sendiri. Pasti atas nama gabungan PN, Pas akan membantu calon Bersatu menentang BN dan PH nanti.

Sepatutnya Umno harus lebih bersikap sabar, berjiwa besar dan membawa pengaruh melalui BN dalam menghadapi PRU15. Biarlah Pas dan Bersatu berada dalam PN sekiranya mereka ingin sedemikian rupa.

Pada PRU15 nanti, boleh saja BN dan PN bersama dalam melawan PH untuk menguburkan pengaruh PH yang masih berbaki. Di akhirnya, kita masih mampu membentuk kerajaan yang kuat berasaskan bangsa Melayu dan agama Islam.

Andai masing-masing mengikut emosi dan fikiran yang pendek, maka pasti Umno dan BN akan kembali berpecah dengan Pas dan Bersatu. Ketika menghadapi PRU15 akan datang, mungkin tidak dapat ditolak lagi rakyat bakal membaca talkin buat Umno sebagai tanda berkuburnya parti tertua di Malaysia yang tidak lagi relevan dengan masa dan rakyat.

Ternyata jatuhnya Umno kali ini, belum tentu mampu bangkit kembali.

– BebasNews

Sumber: https://bebasnews.my/?p=51392

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo