NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hidup bersama alam hindar risiko bencana

Banjir besar 2021 mendapat banyak liputan kerana impaknya lebih meluas membabitkan hampir semua sungai utama di Malaysia khususnya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak.

Walaupun tidak meragut banyak nyawa, kerosakan harta awam dan persendirian di luar dugaan. Bencana banjir juga meninggalkan kesan psikologi khususnya rasa kekecewaan, kehampaan dan kehilangan dalam kalangan penduduk di pesisir sungai yang terjejas teruk.

Bencana banjir sudah lama berlaku, tetapi pendekatan kita untuk menyelesaikan isu ini masih tidak berubah.

Saya terbabit dalam menjalankan kajian ketika banjir besar 2014. Selain dialog dan seminar dengan pelbagai pihak berkepentingan, kami turut menyediakan 'Kertas Pengaruh Dasar' menggariskan beberapa tindakan jangka panjang yang memerlukan sokongan kerajaan untuk menjayakannya.
Satu daripada dapatan penting daripada bencana 2014 ialah banjir disusuli dengan ribuan tanah runtuh, aliran debris dan hakisan tebing menyebabkan air naik mendadak, kandungan lodak, pasir dan debris sangat tinggi serta kuasa pemusnahnya amat luar biasa.

Semua ini berpunca daripada kerja pembersihan tanah, khususnya kawasan perhutanan di hulu lembangan bagi tujuan pertanian dan pembalakan.

Kerja pembersihan tanah dan pembalakan mengakibatkan kadar hakisan meningkat serta kestabilan cerun perbukitan terganggu.

Hujan lebat hanya menjadi faktor pencetus, akhirnya menyebabkan bencana banjir yang dahsyat.

Banjir besar 2021 menunjukkan fenomena sama. Air naik dengan sangat pantas, kandungan lodak yang pekat dan kuasa pemusnah yang tinggi menggambarkan berlaku hakisan serta runtuhan tebing secara meluas ketika hujan lebat, sekali gus mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi.

Polemik antara penyelidik dan pelaksana dasar agak melucukan. Pada satu pihak, pengkaji menegaskan banjir besar berpunca daripada kerja pembersihan dan penggondolan hutan, manakala pada pihak lain mereka menyatakan banjir berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

Walaupun kedua-dua pihak mempunyai separuh kebenaran, polemik begini kurang membantu dan sering mengelirukan masyarakat.

Bencana alam, dalam kes banjir lazimnya dicetus oleh hujan lebat luar biasa atau dalam keadaan khas empangan pecah. Begitupun, kuantiti air, kuasa pemusnah dan impaknya banyak bergantung kepada interaksi antara alam dan manusia.

Sebagai contoh, jika permukaan lembangan diturap, air hujan tidak boleh masuk ke dalam tanah serta terpaksa mengalir dengan pantas di permukaan dan terus disalurkan ke sungai.

Sungai akan mengumpul air dengan banyak dalam masa singkat dan pasti mudah berlaku banjir. Banjir kilat di kawasan perbandaran lazimnya disebabkan fenomena begini.

Di kawasan lembangan sungai yang besar, apa sahaja aktiviti manusia akan mempengaruhi sungai dan keupayaan sungai mengalirkan air ke laut. Jika dahulu, kebanyakan sungai jernih dan tidak mempunyai banyak bahan ampaian, kini hampir semua sungai berwarna kuning kerana kandungan lodak yang tinggi.

Pembalakan dan pembersihan tanah menyebabkan kadar hakisan meningkat ratusan kali ganda, pasir serta lodak diangkut ke sungai dengan banyaknya dan sebahagian besar bahan ini diendapkan di dasar sungai.

Sungai menjadi semakin cetek dan keupayaannya untuk mengalirkan air ke laut semakin berkurangan. Dalam keadaan begini, setiap kali hujan lebat pasti akan disusuli dengan banjir.

Satu lagi fenomena yang kurang disedari ialah kehidupan masyarakat di tebing sungai dan dataran banjir. Masyarakat dahulu memahami setiap kali hujan lebat luar biasa, tebing dan dataran banjir akan dinaiki air.

Mereka membuat persediaan rapi seperti membina rumah di atas tetiang, menyediakan tempat menyimpan barang berharga ketika banjir serta mempunyai perahu untuk bergerak dan menyelamatkan diri.

Masyarakat hari ini membuat rumah di dataran banjir tanpa sebarang persediaan dan mengharapkan tidak akan berlaku banjir. Jika ia berlaku dan merosakkan harta benda, mereka salahkan alam dan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Bukan kita tidak boleh mengurus bencana banjir dan menjalankan kehidupan biasa, walaupun berumah di dataran banjir. Kita perlu memahami fenomena banjir, belajar daripada peristiwa lalu dan mengambil tindakan untuk mengurangkan atau menyingkir risiko banjir.

Tindakan boleh dilakukan secara jangka panjang dan amalan pendekatan berasaskan maklumat. Cara terbaik dan termurah ialah mengamal falsafah 'hidup bersama alam' berasaskan pendekatan perancangan guna tanah.

Jika tiada yang tinggal di tebing sungai dan dataran banjir, kita tidak berhadapan dengan bencana banjir!

Tentunya jika pekan dan bandar dibangunkan di kawasan dataran banjir, kita tiada pilihan kecuali usaha mengurangkan risiko banjir. Ini dapat dilakukan dengan pelbagai cara, antaranya menyediakan saluran tambahan (longkang dan parit besar) untuk menampung air ketika hujan lebat luar biasa.

Ada negara yang meninggikan paras tebing sungai sehingga air sungai tidak lagi melimpah ke dataran banjir.

Penyediaan takungan sementara untuk memperlahankan aliran air ke sungai juga sering diamalkan. Semua ini usaha berasaskan teknologi yang memerlukan perbelanjaan besar bagi mengurangkan risiko bencana banjir.

Sebetulnya, Malaysia sangat bernasib baik. Negara kita hampir bebas daripada risiko bencana alam besar. Kedudukan di kawasan tropika lembap menyebabkan kita berhadapan dengan hujan lebat dan kuasa aliran air serta hakisan tanah yang tinggi.

Bencana utama yang sering kita hadapi ialah banjir dan tanah runtuh. Banjir dan tanah runtuh tabii jarang meragut nyawa atau merosakkan harta. Kebanyakan yang menyebabkan bencana ialah hasil interaksi manusia dengan alam. Lebih 90 peratus tanah runtuh berlaku pada cerun buatan (potongan atau tambakan), jarang yang berlaku pada cerun tabii.

Bencana banjir yang membawa mudarat juga kelihatannya berpunca tindak tanduk rakus manusia yang tidak menghormati alam.

Masanya sudah tiba untuk kita memberikan perhatian kepada alam sekitar. Negara perlu bangunkan alam sekitar seperti kita bangunkan masyarakat dan ekonomi negara.

Pembangunan alam sekitar ialah asas kehidupan. Bukan sahaja manusia memerlukan alam sekitar - udara dan air bersih serta bebas daripada bencana alam.

Kesejahteraan masyarakat, keutuhan politik dan pertumbuhan ekonomi juga banyak bergantung kepada usaha kita menjaga alam sekitar. Hormatilah sumber kehidupan ini.

Penulis adalah Ketua Kluster, Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo