Responsive Ad Slot

Henti kemelut politik, usah dikenang sebagai pengkhianat



PADA 16 dan 17 Januari depan, Kongres Perpaduan Nasional bertemakan 'Perpaduan Bangsa Asas Kesejahteraan Negara' akan berlangsung di ibu negara.

Kongres ini anjuran bersama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Ramai ilmuwan dan tokoh tempatan dijangka berhimpun atas satu platform iiatu untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan negara, dengan hasrat menjadikan Islam sebagai sumber perpaduan dan kemajuan negara.

Lebih membanggakan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin al-Mustafa Billah Shah, dijangka menyampaikan titah perasmian diraja.

Sesungguhnya komitmen Seri Paduka dalam memastikan perpaduan negara tercapai sedia terzahir secara konsisten dalam pelbagai titah dan tindakan baginda.

Di saat suasana politik negara sentiasa panas sejak kebelakangan ini, Malaysia sangat bernasib baik kerana mempunyai seorang pemerintah yang tidak jemu mengingatkan semua pihak - baik ahli politik mahupun rakyat jelata - mengenai peri pentingnya menegakkan perpaduan negara.

Waktu negara bergelut dengan usaha pihak tertentu mempertikaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada awal pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu contohnya, titah Yang di-Pertuan Agong ketika Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 cukup menenangkan.

"Kepada kerajaan beta di bawah kepimpinan mamanda Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin, beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan," demikian titah baginda.

Turut diingatkan Yang di-Pertuan Agong supaya ahli-ahli yang berhormat sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik, selain seruan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.

Begitu juga tatkala timbulnya desas desus bahawa ada pihak tertentu yang mahu menggagalkan Belanjawan 2021, seterusnya menggulingkan kerajaan PN.

Yang di-Pertuan Agong sekali lagi mengeluarkan titah mendamaikan pada 28 Oktober lalu.

Baginda buat kesekian kalinya menzahirkan keyakinan penuh terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepemimpinan negara pada saat kita sedang diuji dengan pelbagai krisis.

Begitu juga seruan supaya anggota Dewan Rakyat menghentikan segera segala perbalahan politik, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Bagainda juga mengingatkan anggota Dewan bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19.

Berkat seruan dan ingatan berterusan Yang di-Pertuan Agong, Belanjawan 2021 diluluskan sekali gus mendatangkan kelegaan kepada rakyat jelata yang rata-ratanya sudah jemu dengan kemelut politik yang seperti tidak berkesudahan melanda negara ini.

Begitupun, tatkala sidang Parlimen sudah ditangguhkan dan suasana politik sudah semakin reda, tiba-tiba sahaja timbul kemelut politik baharu susulan berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan parti-parti politik tertentu.

Melaluinya, masing-masing mengambil kesempatan melalui pentas berkenaan untuk menyuarakan hasrat mahukan kehendak mereka dipenuhi.

Namun, yang cukup menyedihkan timbul kembali desakan supaya Parlimen dibubarkan segera bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilangsungkan dalam waktu terdekat, sedangkan semua tahu ancaman wabak COVID-19 semakin merebak lebih luas berbanding biasa.

Kepada pihak berkenaan, eloklah direnung balik keutamaan masing-masing dalam berpolitik seperti yang terkandung di dalam tujuan dan matlamat penubuhan parti masing-masing. Tentunya adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Di saat bilangan penghidap wabak COVID-19 semakin bertambah dengan jumlah kes melingkari angka 2,000 sehari, pastinya rakyat jelata sangat bimbang untuk bergerak ke mana-mana dan terkesan kehidupan mereka kerana sukar mencari nafkah untuk hidup seperti biasa.

Walaupun vaksin untuk wabak COVID-19 sudah ditemui dan sedang dalam proses untuk dibawa ke Malaysia, ia bukanlah penentu bahawa wabak ini akan segera berakhir lantas membolehkan kehidupan dijalankan secara normal kerana usaha pencegahan tetap perlu diperkasakan.

Setiap agama mengajar umatnya supaya menjauhi perkara yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa mereka.

Berdasarkan pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah pada 26 September lalu, melangsungkan pilihan raya dalam suasana wabak COVID-19 ternyata amat memudaratkan.

Oleh itu, kepada semua ahli politik, mohon diingati selalu titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.

Hentikanlah segera segala perbalahan politik untuk kepentingan peribadi masing-masing yang akan merugikan negara.

Kepada ilmuwan dan cendekiawan yang ada di seluruh pelosok negara pula, carilah apa-apa formula sekalipun asalkan ia boleh membantu menyatukan pelbagai golongan politik yang bertikai, sekurang-kurangnya sehingga wabak COVID-19 sudah berada pada tahap paling minimum.

Ingatlah, sesiapa sahaja daripada parti mana sekalipun yang mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu atas apa-apa sebab sekalipun di saat negara sedang bergelut dengan wabak COVID-19, akan sentiasa dikenang generasi akan datang sebagai pengkhianat.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo