NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jenayah libat pelajar di Johor membimbangkan

Oleh Luqman Haziq Abdullah

ISKANDAR PUTERI — Trend jenayah melibatkan kanak-kanak di negeri ini semakin membimbangkan.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, situasi itu sama ada golongan tersebut menjadi mangsa atau pelaku jenayah.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, antara kesalahan indeks jenayah melibatkan pelajar paling tinggi adalah kes curi motosikal, lain-lain kecurian, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun.

“Biarpun statistik menunjukkan tangkapan membabitkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah menurun, ia masih membimbangkan.

“Bagi tahun 2018, tangkapan membabitkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah sebanyak 1,388 kes, manakala 2019 mencatatkan 1,230 kes. Sementara itu, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 538 kes dilaporkan.

“Sebanyak 95 peratus pelaku jenayah dalam kalangan pelajar adalah lelaki, berbanding lima peratus pelajar perempuan. Pelajar perempuan paling banyak menjadi mangsa, iaitu 58 peratus berbanding pelajar lelaki menunjukkan 42 peratus,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (MEKAR) PDRM Kontijen Johor bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Horizon Hill Golf and Country Club, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua JPJKK Johor, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM yang sedang menjalankan fungsi Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari.

Ayob Khan berkata, hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa dalam kalangan pelajar sekolah adalah berusia antara 13 hingga 18 tahun, iaitu di peringkat sekolah menengah.

Bagi pembabitan dalam kes narkotik pada tahun 2018, sebanyak 38 kes dilaporkan yang membabitkan 67 pelajar.

Pada 2019 pula terdapat 33 kes yang membabitkan 43 pelajar, manakala dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, menunjukkan 30 kes dan membabitkan 36 pelajar, katanya.

“Semua kes jenayah narkotik adalah membabitkan pelajar sekolah menengah iaitu kesalahan memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam badan dan penyalahgunaan alkaloid ketum.

“Walaupun bilangan kes membabitkan pelajar bagi kes narkotik dalam tempoh tiga tahun menurun, langkah pencegahan perlu diambil supaya pembabitan pelajar dalam kes jenayah dapat ditangan,” katanya.

MEKAR adalah modul interaktif yang dibangunkan mengikut tahap usia pelajar dari sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Modul ini mempunyai tiga fokus utama, iaitu modul narkotik, modul gangguan seksual dan modul jenayah sosial.

– BebasNews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo