NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet setuju perluas teknologi CMB untuk bina, selenggara jalan raya


PUTRAJAYA, 3 Dis -- Kabinet pada Jumaat lepas bersetuju dengan cadangan untuk memperluaskan penggunaan teknologi penurapan jalan Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) bagi pembinaan dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negara yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata perluasan penggunaan teknologi CMB adalah antara usaha untuk mengurangkan impak kejatuhan harga terhadap pendapatan 500,000 pekebun kecil di negara ini khususnya, berikutan pandemik COVID-19 melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan getah domestik.

"Menjadi harapan KPPK (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dengan penggunaan CMB dapat mencapai matlamat berkenaan di samping menggalakkan golongan penoreh getah untuk terus menoreh bagi menjamin pengeluaran bekalan getah secara berterusan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mohd Khairuddin berkata penggunaan CMB dalam adunan untuk menghasilkan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dapat meningkatkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen melalui ciri-ciri kelikatan serta keanjalannya.

"Penambahbaikan ini meningkatkan daya tahan terhadap proses peredaran masa dan rintangan haba yang memberikan penjimatan terhadap keperluan menyenggara jalan akibat kerosakan seperti aluran, rekahan dan lubang dalam jangka masa panjang," katanya.

Menurutnya, anggaran penjimatan keseluruhan daripada aspek penyenggaraan bagi 1,000 kilometer jalan adalah sebanyak RM167 juta atau 40 peratus lebih rendah berbanding penggunaan bitumen konvensional, sekiranya jangka hayat jalan CMB menjangkau 10 tahun.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan CMB.

Beliau juga berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk memperbanyakkan turapan jalan raya mengunakan teknologi CMB, yang siap sepenuhnya pada Mei 2020 merangkumi jalan raya sepanjang 202.68 kilometer di 106 lokasi seluruh negara .

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo