NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perihal Penangguhan Pilihan Raya

Menarik sekali bila Ahli Parlimen Padang Terap, Dato' Seri Mahdzir Bin Khalid, membayangkan bahawa beliau mahu pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik COVID-19 bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kes bagi menjamin kepentingan umum.

Perkara ini amat menarik sekali kerana Dato' Seri Mahdzir Bin Khalid adalah Naib Presiden UMNO, jadi bila beliau memberi bayangan sebegini ia boleh menghapuskan persepsi umum bahawa UMNO adalah antara pihak yang beria-ia mahukan pilihan raya dilangsungkan segera.

Pandangan Dato' Seri Mahdzir Bin Khalid ini sebenarnya adalah satu pandangan yang cukup rasional sekali tatkala sebelum ini pun sudah ramai tokoh akademik, tokoh masyarakat, pemimpin politik malah pegawai tinggi kerajaan yang menyuarakan pandangan yang sama.

Contohnya ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, yang dilaporkan pada 13 Oktober lalu “memohon kalau boleh tiada pilihan raya ketika ini" kerana pilihan raya tidak sesuai diadakan pada masa ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Begitu juga dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang turut dilaporkan menyarankan pada 27 Oktober lalu supaya kerajaan tidak melangsungkan sebarang pilihan raya buat masa ini bagi mengelakkan berlakunya peningkatan penularan Covid-19.

Hanyasanya, apa yang menjadi perbincangan hangat di kalangan pelbagai pihak ialah apakah cara yang boleh diambil oleh kerajaan mengikut peruntukan undang-undang untuk memastikan bahawa pilihan raya tidak perlu dilangsungkan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Di dalam sidang Parlimen semalam, Dato' Seri Mahdzir Bin Khalid bertanya adakah kerajaan bercadang untuk meminda perlembagaan atau mewujudkan rang undang-undang khusus bagi membolehkan suatu pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Di dalam jawapan beliau, Dato’ Takiyuddin Bin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), berkata:

(1) Pengwujudan rang undang-undang khusus bagi membolehkan suatu pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini “adalah tidak bersesuaian dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan”.

(2) Pemindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini “memerlukan sokongan 2/3 Ahli Parlimen”.

(3) Penangguhan pilihan raya boleh dilakukan “sekiranya pandemik ini difikirkan boleh diisytiharkan darurat seperti yang diperuntukkan dibawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan”.

Meneliti jawapan yang diberikan oleh Dato’ Takiyuddin Bin Hassan ini, kelihatannya seperti darurat di kawasan-kawasan pilihan raya tertentu seperti di Batu Sapi atau di Sarawak adalah cara paling munasabah untuk mengelakkan pilihan raya daripada terpaksa dilangsungkan.

Malah, beberapa orang pakar perlembagaan seperti Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Universiti Malaysia Pahang menyebut darurat hanya di peringkat negeri tertentu boleh diisytiharkan jika situasi amat bahaya atau mencemaskan dijangka atau sedang menghampiri.

Begitupun, cadangan Dato' Seri Mahdzir Bin Khalid supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda juga memerlukan penelitian lanjut termasuklah perkara-perkara yang membabitkan:

(1) Peruntukan mana satukah di dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini?

(2) Apakah dalam suasana yang ada sekarang tidak mungkin untuk “sokongan 2/3 Ahli Parlimen” diperolehi bagi meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu?

Sebenarnya, jika semua pihak benar-benar ikhlas, tidak perlu menjadi satu kekecohan besar pun isu cadangan perisytiharan darurat ini kerana di dalam fikiran kebanyakan orang ia adalah cara paling munasabah bagi mengelakkan berlakunya peningkatan penularan Covid-19.

Melainkan jika terbukti ada cara lain yang boleh digunakan bagi mencapai maksud sama.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo