NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cikgu Samuel Antara 10 Calon Finalis Untuk Anugerah Global Teacher Prize 2020


Samuel Isaiah, yang mengundang perhatian ramai susulan khidmatnya terhadap masyarakat Orang Asli, dinamakan antara 10 finalis untuk anugerah Global Teacher Prize 2020.

Anugerah yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015 itu anjuran Yayasan Varkey dengan kerjasama Unesco.

Ia menawarkan hadiah utama AS$1 juta (RM4.4 juta) kepada guru "luar biasa" yang memberikan sumbangan besar dalam profesion mereka.

Mesra dipanggil Teacher Sam di kalangan muridnya, Samuel mula mendapat perhatian ramai selepas berperanan meningkatkan prestasi akademik murid Orang Asli di SK Runchang, di Muadzam Shah, Pahang.

Disebabkan itu dia diberikan Anugerah Guru Adiwira oleh Kementerian Pendidikan pada 2018.

Tahun lalu dia mengambil cuti untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepemimpinan di State University of New York di Albany.

Sebagai pemegang biasiswa Fulbright, dia juga berhasrat untuk memainkan peranan dalam dasar pendidik Orang Asli.

Pemuda berasal dari Kuantan itu telah kembali ke Malaysia susulan penularan pandemik Covid-19.

Dalam pengumuman barisan finalis anugerah, Yayasan Varkey menyampaikan kata-kata penghargaan kepada Samuel.

"Anda perlu melalui perjalanan sejauh 200km berulang alik ke sekolah setiap hari untuk bertemu dengan pelajar-pelajar anda, masyarakat Orang Asli di Malaysia yang tinggal di hutan.

"Anda menyediakan komputer riba dan tablet kepada pelajar anda melalui kempen mengumpul dana seluruh negara dan yang paling penting anda memberi inspirasi kepada pelajar untuk mempunyai impian yang tinggi dan berhubung dengan dunia luar.

“Ini telah menyebabkan kadar lulus di sekolah anda dalam subjek Bahasa Inggeris meningkat dari 30 peratus menjadi antara 80 hingga 85 peratus,” katanya.

'Kebolehan luar biasa'

Ketika dihubungi Malaysiakini mengenai pencalonan itu, Samuel menyifatkan pencalonannya bukan untuk Malaysia sahaja, tetapi untuk semua kanak-kanak kurang bernasib baik seluruh dunia, terutama anak-anak Orang Asli.

"Tumpuan utama saya adalah untuk mempromosikan apa yang kanak-kanak Orang Asli boleh lakukan, di mana mereka sebenarnya mempunyai kebolehan yang luar biasa.

“Dengan bentuk pendekatan dan perancangan yang betul dan mewujudkan persekitaran yang menyokong mereka, anak-anak Orang Asli dapat mencapai perkara yang hebat.

"Berada di 10 teratas adalah untuk mewakili anak-anak Orang Asli di mata dunia. Saya dengan rendah hati dan bersyukur dengan pengiktirafan ini," kata lelaki berusia 33 tahun itu lagi.

Guru-guru lain yang turut disenaraikan sebagai finalis adalah Ranjitsinh Disale (India), Olasunkanmi Opeifa (Nigeria), Jamie Frost (UK), Carlo Mazzone (Itali), Mokhudu Cynthia Machaba (Afrika Selatan), Leah Juelke (AS) dan Yun Jeong-hyun (Korea Selatan).

Dua lagi finalis akan diumumkan kemudian.

Acara anugerah buat julung kalinya diadakan secara dalam talian - susulan wabak Covid-19 - dan dijadual berlangsung di 3 Disember, dengan menampilkan pelakon terkenal Stephen Fry sebagai hos.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo