Struktur Bangunan Kilang Yang Menyebabkan Pencemaran Air Akan Dirobohkan

Amirudin mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Penuh Situasi Semasa Berhubung Isu Pencemaran Air di Bangunan Pengurusan Air Selangor, Kuala Lumpur hari ini. - Foto FB Amirudin Shari

###

KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil tindakan tegas termasuk merobohkan kilang di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan seramai 1.2 juta pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diarahkan untuk merobohkan struktur bangunan yang dibina pemilik kilang tersebut secara haram.

"Terdahulu, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak akan mengeluarkan Notis Pelanggaran Syarat (7A) supaya pihak kilang mengosongkan premis serta-merta setelah operasi mereka dihentikan sejak Khamis lalu.

"Kerajaan negeri sudah mengarahkan pemilik kilang untuk memulihkan dan mengosongkan tanah sehingga tempoh tertentu. Jika tidak, kita akan robohkan terus," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Penuh Situasi Semasa Berhubung Isu Pencemaran Air di Bangunan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di sini hari ini.

Amirudin berkata, hasil siasatan mendapati tanah berkenaan merupakan tanah persendirian dan dijadikan tempat penyelenggaraan jentera berat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga LRA sudah beroperasi semula

Menurutnya, kilang berkenaan telah diberi notis henti operasi pada Mac lalu, bagaimanapun pemiliknya berdegil dan kembali memulakan operasi pada Jun lalu.

"Kita dapati tanah ini tidak mempunyai kebenaran merancang daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kita akan tutup kawasan itu selama tiga hingga empat bulan untuk pastikan tempat berkenaan selamat. Kita akan semak segenap mungkin supaya kilang itu tidak beroperasi semula kerana mereka telah menyusahkan pengguna di seluruh negeri Selangor," katanya.

Amirudin mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Penuh Situasi Semasa Berhubung Isu Pencemaran Air di Bangunan Pengurusan Air Selangor, Kuala Lumpur hari ini. - Foto FB Amirudin Shari
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, Air Selangor menganggarkan sebanyak 50 peratus akaun di seluruh negeri akan pulih menjelang tengah malam esok.

"Hospital dan pusat dialisis antara yang menjadi keutamaan ketika ini supaya dalam tempoh pemulihan, kesan gangguan air dapat diminimumkan.

"Kita telah membincangkan langkah jangka masa panjang untuk menyelesaikan gangguan air ini bersama-sama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MPS dan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak," katanya.

Beliau berkata, selain tindakan menyita premis yang dilaksanakan MPS serta tangkapan oleh PDRM, LUAS dengan kerjasama JAS juga turut meluaskan pengesanan bau ke Sungai Sembah.

"Langkah ini dilaksanakan bagi melengkapi usaha yang sudah dilakukan di 53 premis sekitar Sungai Gong bagi mendepani jangkaan masalah yang sama berlaku pada masa hadapan," katanya.

#SinarHarian

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post