NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pencemaran air: 4 beradik disiasat melakukan khianat

Kuala Lumpur: Empat beradik yang direman selepas kilang milik disyaki menjadi punca pencemaran air dan bau di Sungai Gong, Rawang disiasat polis kerana melakukan khianat.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, siasatan akan tertumpu kepada perkara mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan akan memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.

Menurutnya, siasatan terhadap empat lelaki itu kini bermula selepas perintah tahanan reman ke atas mereka diterima hari ini.

Katanya, keempat beradik berkenaan berusia antara 50 hingga 60 tahun itu adalah pemilik sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera yang dipercayai beroperasi secara haram.

"Siasatan yang bakal dijalankan turut merangkumi laporan dan kenyataan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Air Selangor.

"Dalam masa reman ini segala laporan siasatan adalah penting untuk kita melengkapkannya sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, pada peringkat awal adalah penting untuk pihak polis meneliti semua laporan dan kajian terhadap pencemaran yang ditimbulkan oleh empat suspek terbabit.

Beliau berharap supaya semua pihak untuk memberikan ruang kepada polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang, membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak kelmarin selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

#HarianMetro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo