PRN Sabah : Semua 741 Pusat Mengundi Di Buka Jam 7.30 pagi

Kota Kinabalu: Sebanyak 741 pusat mengundi yang membabitkan 2,540 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dibuka bermula7.30 pagi ini.

Bagi PRN kali ini, sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan seramai 476 calon bakal mengetahui nasib masing-masing.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata semua pusat mengundi ditutup secara berperingkat berdasarkan jumlah pengundi yang ada di kawasan berkenaan dengan waktu terakhir penutupan jam 5 petang.

"Bagi kawasan yang jauh, ada yang menggunakan helikopter untuk menghantar dan membawa balik kotak undi. Biasanya kawasan ini ditutup awal, ada yang jam 2 atau jam 3 petang sudah ditutup," katanya.

Sejajar dengan peningkatan kerusi DUN Sabah kali ini berbanding 60 kerusi sebelum ini, SPR melantik seramai 30,540 petugas bagi mengendalikan proses PRN Sabah ke-16.

SPR menganggarkan antara 70 peratus hingga 75 peratus pengundi akan turun menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRN kali ini.

Pada hari pengundian hari ini, seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa yang berdaftar di Sabah layak mengundi untuk memilih 73 wakil DUN, manakala sebanyak 14,935 pengundi lagi mengundi secara pos.

DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu bagi memberi laluan kepada PRN untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

SPR sebelum ini mengumumkan sebanyak RM186 juta digunakan untuk mengendalikan proses pilihan raya berkenaan. - Metro

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post