NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH Perak Gesa Siasat Isu Pemberian Tanah Terpilih Di Perak


AMANAH Perak menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera individu dan syarikat yang didakwa terlibat dalam isu pemberian tanah secara terpilih kepada pihak tertentu.

Pengarah Komunikasinya, Azhar Rahman berkata, beliau yakin wujudnya kepentingan politik dalam pemberian projek berkenaan kerana ianya didapati tidak melalui proses yang sepatutnya.
 
Menurutnya lagi, nama individu dan syarikat yang terkandung dalam dokumen yang tular ketika ini perlu disiasat kerana kedudukan mereka dikatakan mempunyai akses kepada maklumat dan Hal Ehwal tanah kerajaan Negeri Perak.

“Selain itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga harus bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan tersebut memandangkan beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Sumber Asli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

“AMANAH Perak berharap SPRM dapat menyegerakan siasatan dan dibuat secara telus.

“Sekiranya kes ini mempunyai bukti yang kukuh, mereka yang telibat wajar diheret ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman membuat laporan kepada SPRM berhubung pemberian tanah seluas 1,200 hektar di negeri Perak untuk pembangunan ladang hutan yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Hamidah berkata, laporan itu dibuat susulan tular surat bertajuk ‘surat karam’ dalam media sosial memaparkan beberapa projek penerokaan hutan melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.

Dakwanya, terdapat tiga kelulusan melibatkan 1,200 hektar, tetapi difahamkan banyak lagi kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan ladang hutan kepada individu berkepentingan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo