Pemimpin UMNO Perak Ditahan Disyaki Seleweng Dana OKU Ditahan SPRM


IPOH - Seorang Timbalan Ketua UMNO bahagian di Perak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menyeleweng dana sebuah persatuan orang kurang upaya (OKU) pada 3 September lalu.

Lelaki berusia 61 tahun yang merupakan ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan itu disiasat berhubung penyelewengan dana berjumlah RM800,000 milik persatuan berkenaan.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad yang mengesahkan perkara tersebut berkata, pihaknya menerima laporan bahawa individu tersebut didakwa memindahkan wang daripada akaun persatuan ke akaun peribadi miliknya.

"Individu terbabit kini sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana melakukan salah guna kuasa.

"Dia kini sedang direman sehingga esok untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, individu berkenaan juga merupakan bekas pengerusi persatuan tersebut namun kes berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti politik.

Dalam pada itu, sumber persatuan berkenaan memaklumkan suspek sudah meletakkan jawatan sebagai pengerusi tahun lalu selepas pihak persatuan membuat laporan kepada SPRM.

Menurut sumber berkenaan, individu berkenaan menjadi pengerusi sejak 2016 namun penyelewengan tersebut disedari berlaku pada tahun 2019. - SH   
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post