NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Analisis PRK Slim: Kejayaan Muafakat Nasional



Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim diadakan selepas penyandang ahli dewan undangan negeri (Dun) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Sebelum itu, beliau membawa kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), apabila menang majoriti 2,183 undi.

Beliau mendapat 8.327 undi, manakala calon Bersatu Mohd AMran Ibrahim memperoleh 6,144 dan PAS pula diwakili Muhammad Zulfadli Zainal memperoleh 4,103 undi. Terdapat 85 peratus turun mengundi pada PRU yang lalu di DUN Slim.

PRK Slim ini membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional apabila memperoleh majoriti 5 kali ganda lebih besar daripada hanya 2,183 undi yang diperoleh pada PRU lalu. BN yang diwakili Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, menewaskan 2 calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi.

Amir Khusyairi mewakili kumpulan Dr Mahathir memperoleh hanya 2,115 undi manakala Santharasekaran meraih 276 undi atau 1.78 peratus undi yang menyebabkan beliau hilang depositnya.

Interpretasi Politik

Keputusan PRK ini menunjukkan kerjasama Muafakat Nasional sangat relevan dalam landskap politik khususnya apabila PRK Chini dilihat kurang memberangsangkan.

Parti Bersatu pula dilihat kurang menonjol dalam PRK ini.

Hayat politik Tun M semakin pudar apabila Pejuang yang cuba digerakkan dilihat tidak mendapat sambutan, malah cuma mampu memperoleh undi sekitar 13.69 peratus sahaja melebihi sedikit 12.5 peratus bagi mendapat semula wang deposit pilihan raya. Kemarahan pengundi terhadap tindak tanduk Tun M terserlah dalam PRK ini, sehingga pengundi Cina dan India turut beri sokongan kepada BN.FB Dr. Mahathir bin Mohamad

PRK ini telah memberikan impak negatif kepada parti baru Mahathir. Rakyat melihat parti Pejuang sekadar alat politik yang digunakan untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi PM. Tanpa gangguan parti Pejuang, rakyat lebih mahu melihat bahawa persaingan sebenar ialah di antara PN dan PH dalam medan politik. Buktinya, calon bebas kalah teruk di Felda Besout 2 yang dikunjungi Mahathir untuk berkempen menolak BN, tetapi kalah teruk dan calon BN menang majoriti besar.

Sentimen yang melihat Parti Pejuang lebih dilihat cuba memecahkan kesatuan dalam PH, ini terbukti jelas dalam penolakan terhadap calon proksi parti Pejuang. Swing pengundi india dan Cina menunjukkan mereka lebih rela memilih BN daripada mengundi calon yang disokong oleh Mahathir. Sebagaimana ditegaskan oleh Najib Razak pengundi meluat dengan kempen Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad, yang menurutnya dilihat “terlalu peribadi” dan “nak membalas dendam.”

Berdasarkan keputusan PRK ini, didapati Muafakat Nasional perlu dijadikan formula utama dalam hala tuju landskap politik terbaru dan ternyata ampuh. BN mendapat jumlah undi yang lebih besar berbanding gabungan undi PAS dan Umno pada PRU 2018.

BN mendapat 84.37 peratus undi dalam PRK Slim manakala gabungan undi yang diraih Umno dan PAS pada PRU lalu ialah 66.9 peratus. Ternyata MN mempunyai potensi politik tinggi, semakin mendapat tempat dan landasan yang betul dari segi percaturan politik. Ini juga mengukuhkan pandangan bahawa UMNO dan PAS mendominasi undi Melayu di luar bandar khususnya majoriti di kawasan Slim ialah petempatan Felda.

Isu-Isu Politik Berlegar

Dalam PRK Slim ini jumlah peratusan keluar mengundi ialah sebanyak 68.4 peratus. Ini berbeza dalam PRU lepas yang jumlah turun mengundi sebanyak 85 peratus. Hal ini bermakna hampir satu pertiga daripada jumlah 23,181 pengundi tidak mengundi. Sejumlah sekitar 7,300 tidak keluar mengundi. Malah didapati hampir 35 peratus pengundi muda tidak keluar mengundi.

Penurunan peratus mengundi disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu ramai pengundi berpendapat bahawa keputusan PRK Slim ini sama ada BN menang atau kalah, tetap tidak mengubah kerajaan di Putrajaya mahupun kerajaan negeri Perak sekurang-kurangnya ini merupakan sentimen anak muda.

Yang kedua, terdapat pengundi bekerja di luar dan agak sukar untuk balik untuk mengundi semata-mata kerana ia melibatkan kos minyak dan perbelanjaan lain, lebih-lebih lagi ramai sudah balik pada sambutan Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini.

Namun sejumlah 7,300 juga dijangka terdiri daripada penyokong Pakatan Harapan, bermakna, faktor ketiga ialah terdapat dilema pengundi yang menyokong Pakatan Harapan sebelum ini. Mereka menyokong PH namun parti Pejuang bukanlah dalam Pakatan Harapan.

Malah gerak politik Mahathir dilihat cuba memecahkan PH apabila tidak bersetuju mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri. Sikap dan pendirian Mahathir inilah ditolak dan diprotes oleh penyokong tegar Pakatan Harapan. Mereka mahu memberikan mesej kepada Mahathir bahawa tindak tanduk Mahathir yang membawa kepada tumbangnya Pakatan Harapan merupakan detik hitam dalam sejarah politik yang tidak akan dilupakan oleh penyokong PH.

Ini juga dapat dilihat daripada sejumlah 327 undi rosak yang merupakan manifestasi protes dan ketidakpuasan hati pengundi. Dalam keadaan proses mengundi yang mudah dilakukan tidak mungkin ratusan pengundi masih tidak tahu prosedur untuk mengundi.

Ternyata penyokong PH tidak menyokong bekas perdana menteri, Dr Mahathir dan parti Pejuang kurang mendapat tempat kerana mereka lebih mahukan fokus lebih kepada PH dan PN. Sudah tibanya Mahathir tidak cuba campur tangan dalam hal ehwal Pakatan Harapan. Politik personaliti atau tarikan peribadi terhadap Mahathir semakin pudar ditelan zaman. Percubaan mewujudkan kuasa ketiga melalui parti Pejuang tidak mendapat tempat, malah dilihat mengelirukan rakyat.

Ternyata apabila PKR dan DAP tidak terlibat banyak dalam PRK ini manakala segala perancangan, gerak kerja berkempen, mengatur strategi dilakukan sepenuhnya kumpulan parti Pejuang. Sekiranya menggunakan logo parti pun, elemen penolakan tetap berlaku kerana Pejuang dianggap sebagai pemecah undi Melayu dengan kewujudan parti baru yang sebelum ini Mahathir sendiri pernah menyatakan pembentukan parti baru Melayu akan memecahkan sokongan undi Melayu dalam berpolitik.

Jelas, dalam PRK Slim gerak kerja digerakkan oleh Pejuang ini tidak efisien walaupun Tun Mahathir dilihat disokong kempen di Slim oleh pemimpin Amanah seperti Mat Sabu, Khalid Samad, Mohd Nizar Jamaluddin dan Mahfuz Omar turun berkempen secara agresif untuk memenangkan bagi calon Pejuang akan tetapi gagal.

Seterusnya, orang akan melihat penglibatan Amanah ini sebagai kegagalan parti Amanah berkempen di Slim dan ini pengundi Slim juga memberikan mesej kepada Amanah agar lebih fokus kepada Pakatan Harapan dan bukannya parti Pejuang yang tidak ada kena mengena dengan Pakatan Harapan.

Keputusan Pusat Daerah Mengundi



Keputusan Pusat Daerah Mengundi sangat memberangsangkan hingga sasaran 8,000 majoriti melonjak ke 10,000 yang merupakan angka yang sangat besar dan dianggap sebagai di luar jangkaan.

Kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) menunjukkan peningkatan undi yang mempunyai 13 PDM. Sebelum ini kalah dalam 6 PDM kini semua kawasan tersebut menang. Dalam 6 PDM pada 2018, terdapat 70.35 peratus pengundi menyokong calon PH tetapi kali ini sejumlah 68.26 peratus pengundi memilih calon BN.

Perubahan ini menunjukkan peralihan sokongan yang signifikan. Perubahan sokongan jelas ialah h di Sungai Slim Utara, DPM dengan majoriti pengundi Cina (60.85 peratus).Pada PRU 2018, BN hanya mendapat 17.85 peratus undi namun kali ini menang dan meraih 61.28 peratus undi.

Ilham Centre yang membuat kajian intensif dalam PRK Slim merekodkan bahawa terdapat perubahan yang signifikan, iaitu BN memperoleh sekitar 91% undi orang Melayu berbanding 9% untuk Pejuang. Terdapat pola menunjukkan 68% pengundi Cina dan 61% pengundi India memilih BN. Sedangkan pada PRU14, 51% orang Melayu memilih BN sementara hanya 18% orang Cina dan 24% orang India mengundi BN. Kesemua ini menunjukkan bahawa BN dan PAS sebagai teras Muafakat Nasional mampu membawa perubahan dalam landskap politik negara.

Meskipun kemenangan besar dalam PRK Slim ini sesuatu yang dapat dibanggakan oleh penyokong BN dan Muafakat Nasional, namun ini bukanlah jaminan untuk memperoleh kemenangan besar dalam PRU ke-15 akan datang. Tambahan pula ia sekadar PRK, dan tidak boleh digunakan untuk mengukur prestasi sebenar kekuatan BN dalam konteks yang luas dan menyeluruh di seluruh negara.

**Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.






No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo