Kerajaan PN selamatkan negara daripada PH



KUALA LUMPUR: Pencapaian Perikatan Nasional dalam masa enam bulan menunjukkan perbezaan berbanding Pakatan Harapan yang apabila Menteri mereka disoal dalam Parlimen asyik menyalahkan kerajaan terdahulu dari itu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

“Bila kita ambil alih, alhamdulillah, pencapaian dalam masa yang singkat ini, sangat positif, mendapat dukungan rakyat. Kemudian kita menghadapi COVID19 yang sangat mencabar di seluruh dunia.

“Kita negara yang termasuk dalam paling berjaya menangani wabak ini. Alhamdulillah. Ini satu pencapaian,” ujarnya pada program anjuran Pertubuhan Intelektual Negara itu.

Jelas beliau, perubahan dibuat secara demokrasi berparlimen dan bukannya pintu belakang atau tebuk atap melalui Ahli-ahli Parlimen yang dipilih rakyat dengan jumlah mencukupi mengikut prinsip Perlembagaan, serta melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Tegasnya, ia proses demokrasi yang betul di mana secara langsung adalah melalui pilihan raya, manakala secara tidak langsung dilaksanakan dengan peranan para wakil rakyat.

“Ada orang kata lompat parti. Lompat ini ada lompat yang baik, ada lompat yang tak baik. Lompat menghadapi bahaya nak selamat, itu baik. Lompat terjun dalam bahaya, itu tak baik.

“Ini lompat untuk menyelamatkan negara, dan berlaku satu perubahan. Sementara waktu kita mendapat dukungan rakyat, melalui PRK satu demi satu. Kaji selidik yang dibuat, graf kita makin naik.

“Dan kita memerlukan mandat rakyat secara langsung, memerlukan pilihan raya umum. Bila pilihan raya? PM Saja tahu. Apakah cabaran, cabaran yang kita hadapi ialah kefahaman rakyat terhadap perubahan. Ini sangat penting,” ujarnya.

Perubahan tersebut juga menurutnya, perlu difahami rakyat secara tafaqquh fiddin yang bukan sahaja ada ilmu dan ilmuwan, tetapi juga mengolah ilmu di mana adanya Feqah Awlawiyyat dan Feqah Muwazanat.

Jelasnya, ia melibatkan kefahaman terhadap keutamaan dan perimbangan untuk menilai sesuatu perkembangan yang sangat penting di mana secara sains politik bukan sahaja ilmu dalam buku, tetapi termasuk dalam lapangan.

“Memahami nak menterjemahkan ilmu itu dari segi praktikal kepada masyarakat, ini sangat penting. Kita memerlukan cabaran kefahaman kepimpinan dan rakyat. Kepimpinan perlu faham.

“Sebagai Perdana Menteri, ada strateginya. Strategi tidak boleh disyarah kepada orang ramai. Ada kalangan kita nak tahu detail,” ujarnya menyentuh strategi operasi Perang Khaybar dengan situasi politik itu.

Katanya, strategi tidak boleh diketahui musuh apatah lagi adanya ‘hantu-hantu’ yang akan merosakkan agenda selain cabaran luar bersifat penjajahan mesti dihadapi sebagaimana pengajaran dari Arab Spring melibatkan proksi-proksi.

Arab Spring jelasnya, walaupun mencetuskan kesedaran untuk membuat perubahan, tetapi berubah kepada perang proksi dan perang sama sendiri, yang menjadi wakil kepada kuasa-kuasa besar.

“Kita tak mahu itu berlaku di Malaysia. Oleh sebab itulah Malaysia tak ada Malaysia Spring. Tak ada spring di negara kita. Sebab itu, BERSIH 1 kita ikut. BERSIH 2 kita ikut. Ada BERSIH kita tak ikut. Kerana perlu hati-hati dalam gar kita jangan lebih laju daripada lajak, kalau laju daripada lajak kita tersungkur.

“Cabaran bukan di dalaman, termasuk luaran. Kita bukan sebuah negara besar, kita negara yang kecil tapi paling strategik dalam dunia, tempat laluan Timur dan Barat, pertembungan kuasa besar. Dengan sebab itu ini cabaran yang perlu kita tangani dengan bijak,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2020


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post