NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Proton Sasar Rampas Kedudukan No 1 Daripada Perodua

Tak dapat dinafikan, selepas menjadi sebahagian dari keluarga besar kumpulan automotif Geely, jenama automotif nasional milik DRB-Hicom mahu mengambil semula tempat mereka sebagai pengeluar nombor satu di Malaysia yang telah sekian lama dirampas oleh Perodua.

Bukan itu sahaja, Proton bukan sahaja sekadar mahu jadi ‘jaguh kampung’, malah mereka mahu memperbetulkan kesilapan lalu dengan memperkasakan lagi usaha untuk mengeksport produk mereka kepasaran luar negara. Menurut CEO Proton, Dr Li Chunrong dalam laporan The Edge, syarikatnya kini sudahpun mempunyai sumber yang cukup untuk meneroka kembali pasaran luar tetapi ia mesti dilakukan pada masa yang tepat.

“Untuk Proton, perkara yang paling penting [untuk dilakukan] adalah untuk berkembang terlebih dahulu di Malaysia. Bagaimana untuk menentukan hala tuju perniagaan kami untuk menjadi stabil adalah sangat penting. Sangat mudah untuk membelanjakan wang, tetapi sangat sukar untuk menghasilkan keuntunungan,” katanya.

“Bagi saya, saya mahu jadi nombor satu di Malaysia terlebih dahulu, dan kemudian ke pasaran ASEAN. Tetapi kami tidak mahu untuk berhenti [setakat itu]. Sekarang kami sudah pun berada di Brunei, bukan hanya model asas, X70 turut ditawarkan,” katanya.

Dr Li yang juga seorang jurutera lepasan Universiti Sains dan Teknologi Huanzhong tahu bahawa perkara utama yang perlu dilakukan untuk kekal mampan adalah bergantung kepada pasaran eksport. Proton perlu berusaha memasarkan model-model mereka pada pasaran antarabangsa untuk memastikan mereka terus hidup pada masa hadapan, dan bukan seperti dahulu bertahan dengan merisikokan berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Proton perlu bekerja keras untuk mencapai tahap berkenaan. Menurut bos Proton tersebut, kakitangannya kini bertungkus-lumus sehingga ada yang bekerja 14 jam sehari bagi memperbaiki semua aspek dalam perniagaan. Beliau menjelaskan inilah sebabnya Proton mampu melancarkan empat model dalam masa lapan bulan, dalam masa yang sama mempunyai pasukan berasingan untuk memperbaiki mutu servis selepas jualan serta memastikan pembangunan model yang paling ditunggu-tunggu, Proton X50 berjalan dengan lancar.

Kerja keras di belakang tabir ini sudahpun menampakkan hasilnya. Untuk kali pertama sejak 2015, Proton akhirnya berjaya menjual lebih dari 100,000 unit kereta setahun, dengan rekod jualan 100,821 unit pada 2019. Jika angka jualan tersebut digandingkan dengan unit yang telah dieksport, Proton merekodkan jumlah jualan keseluruhan lebih 55.7% pada 2019 berbanding tahun 2018.

Walau bagaimanapun, untuk mengatasi Perodua bukan satu perkara yang mudah. Pada Mei 2020 Proton telah menjual sebanyak 27,455 unit kenderaan dengan pegangan pasaran dalam negara sebanyak 21.2%. Perodua pula berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam tempoh sama dengan bahagian pasaran 40.8%. Fakta ini jelas dilihat oleh Dr.Li, dan beliau percaya pasukannya mampu untuk berada pada kedudukan nombor satu di Malaysia pada tahun ke-10 (2027) kerjasama Proton-Geely ini terjalin.

Li yang kini telah mendapat kepercayaan untuk menerajui syarikatnya dalam tempoh yang lebih lama menekankan bahawa Proton dan Geely akan mengunakan masa 10 tahun ini untuk memberi tumpuan kepada pembangunan produk. Beliau percaya Proton mampu untuk menghasilkan produk lebih baik serta meningkatkan mutu servis selepas jualan secara berterusan, dan pasaran akan beralih kepada jenama mereka secara semula jadi.

Contohnya, beliau mendakwa bahawa Persona telah mengatasi jualan Toyota Vios dan juga Honda City dalam pasaran sedan segmen-B tempatan, dan Proton kini mampu menjual Saga dalam jumlah dua kali ganda sebelum zaman kerjasama bersama Geely.

Menurutnya ini dapat dicapai kerana teknologi dan juga kualiti yang ditawarkan pada produk, dan menambah bahawa “pengguna di Malaysia adalah sangat bijak, mereka cakna dengan teknologi [dalam kereta Proton] dan harga yang ditawarkan adalah berpatutan,” kata Dr. Li.

Proton juga kini menerima sistem Global Customer Product Audit (GCPA) dari Volvo dalam proses produksi di kilang mereka memandangkan jenama kenderaan premium dari Sweden berkenaan juga kini di bawah naungan Geely. Berdasarkan audit tersebut, model asas Proton menerima markah demerit 6,388 poin ketika Dr. Li dilantik sebagai CEO pada 2017.

Dalam masa yang sama, Perodua mempunyai markah demerit 4,500 poin (lebih rendah lebih bagus), manakala Geely pula mencatatkan markah purata 1,200 markah untuk keseluruhan jenama di bawahnya.

Tetapi sekarang, Dr. Li menyatakan markah demerit yang dicatatkan Proton sudah berkurangan dengan mendadak, bermaksud kereta-kereta yang dihasilkan kurang mempunyai masalah dari sebelum ini. Untuk Saga, markah demerit yang dicatatkan sekarang adalah 1,100 poin, dan kadang-kala mencapai angka di bawah 1,000.

“Jadi kami telah jauh lebih baik dari sebelum ini. Saya percaya dengan produk asas kami sekarang, termasuk Saga, ia kini jauh lebih baik dari segi kualiti berbanding pesaing kami,” jelasnya.

Menurut Dr. Li lagi, bagi menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia menjelang 2027 nanti, Proton perlu untuk menjual sebanyak 175,000 kereta setahun, dan beliau percaya dengan penambahbaikkan produk yang dilakukan secara berterusan, sasaran tersebut akan dicapai dalam masa lebih awal. -

Sumber : https://paultan.org/2020/08/03/proton-sasar-rampas-kedudukan-no-1-dari-perodua-di-malaysia-sebelum-eksport-ke-asean-li-chunrong/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo