Islam Agama Yang Memerintah


ISLAM AGAMA YANG MEMERINTAH
Catatan awal sejarah Khilafah Islamiyah

Siri 1 (1 Muharram 1432)
Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Yathtib pada 26 Safar tahun ke-13 kerasulan bersamaan tahun 622M dan tiba di kota itu pada 12 Rabiul Awal adalah titik penting yang mengubah seluruh sejarah peradaban manusia. Bermula dari hijrah itulah Nabi SAW telah mendirikan negara Islam yang pertama dan akhirnya Islam disempurnakan oleh Allah SWT. Pada tahun 638M, Saidina Umar bin al-Khattab telah menjadikan tarikh hijrah ini sebagai permulaan kalendar Islam kerana peri penting dan besarnya erti peristiwa ini kepada manusia.
Asas utama yang menjadikan hijrah sebagai peristiwa terbesar dalam sejarah kemanusiaan ialah kerana Nabi SAW yang menjadi rahmat kepada suluruh alam itu telah berhasil menyatukan manusia di atas iman, menegakkan negara Islam, melaksanakan syariat Allah, mengeluarkan manusia dari pelbagai kegelapan kepada cahaya iman, menunjukan kepada manusia tentang Allah yang sepatutnya disembah, sehinggalah akhirnya seluruh syariat Islam telah disempurnakan. Manusia sebagai hamba Allah telah ditunjukkan oleh Rasul SAW tentang fungsinya sebagai khalifah yang menanggung amanah untuk memakmurkan bumi ini.
Era Kepemimpinan Rasulullah SAW (1-10H / 622-632M)
Rasulullah SAW setelah berhijrah ke Madinah, telah menjadikan kota bercahaya ini sebagai pusat kebangkitan Islam. Baginda SAW telah menyatukan kaum Aus dan Khazraj untuk membentuk kaum Ansar, yang kemudiannya disatukan pula dengan kaum Muhajirin dari Mekah. Rasulullah SAW menjadi ketua negara Islam yang pertama. Kemudian, Sahifah Madinah iaitu perlembagaan bertulis yang pertama telah dibentuk dengan penyertaan kaum Yahudi. Negara Islam telah berkembang pesat sehingga menguasai seluruh Semenanjung Arab. Kota Mekah sendiri jatuh ke tangan Islam pada tahun kelapan Hijrah iaitu dalam peristiwa Fath al-Makkah.
Kerajaan Islam Madinah yang dipimpin oleh Nabi SAW ini berlangsung selama 10 tahun sehingga wafatnya Nabi SAW pada 13 Rabiul Awal 10H. Baginda SAW telah membentuk asas sebuah kerajaan Islam yang menunjukkan bahawa Islam tidak pernah memisahkan dirinya dari persoalan politik, kepemimpinan, Perundangan, kenegaraan dan kedaulatan. Islam yang ditunjukkan secara Sunnah itu adalah Islam yang memerintah. Model kenegaraan Islam inilah yang dilanjutkan oleh para Sahabat RA dan generasi berikutnya sehingga Islam dapat membentuk tamadun yang besar dan menguasai politik dunia.
Era Khulafa' ar-Rasyidin (10-41H / 632-661M)
Selepas kewafatan Nabi SAW, para Sahabat RA telah mengangkat Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA menjadi pengganti Nabi SAW (khalifah) dalam menjaga agama dan mentadbir dunia menggunakan agama. Bermula dari tahun 10H ini, umat dipandu oleh para khalifah yang terpimpin (Khulafa' ar-Rasyidin) selama 30 tahun. Seramai empat orang khalifah telah memimpin umat berdasarkan petunjuk sunnah. Mereka ialah:
I. Saidina Abu Bakar as-Siddiq (10-12H)
II. Saidina Umar bin al-Khattab (12-22H)
III. Saidina Othman bin Affan (22-35H)
IV. Saidina Ali bin Abi Talib (35-40H)
Sepanjang era Khulafa' ar-Rasyidin ini, Islam telah berkembang pesat sehingga dapat mengalahkan Empayar Rom Timur dan Empayar Parsi, meluaskan wilayah Islam hingga ke Asia Tengah (Transoxania) di timur dan Qairuwan (Tunisia) di barat. Walau bagaimanapun, sejak tahun 28H telah berlaku krisis yang menyebabkan negara Islam bergolak. Pada tahun 40H, selepas beberapa siri perang saudara, Saidina Ali telah dibunuh di Basrah, iaitu ibu negara Islam baru sejak 35H. Ekoran pembunuhan ini, Saidina al-Hassan bin Ali bin Abi Talib, cucu Rasulullah SAW telah dibai'ah sebagai khalifah. Tetapi baginda hanya memerintah selama enam bulan dan menyerahkan kerajaan kepada Muawiyah bin Abu Sufyan pada tahun 41H. Tindakan ini dibuat untuk menyatukan semula umat Islam, lalu tahun 41H dikenali sebagai Amul Jamaah (Tahun Perpaduan).
Era Daulah Umayyah (41-132H / 661-750M)
Kepemimpinan umat telah diambil alih oleh Muawiyah bin Abu Sufyan bin Harb bin Umayyah bin Abd as-Syam bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab dari keturunan Bani Umayyah. Pemerintahan beliau berpusat di Damsyik dan kerajaan Islam menjadi semakin membesar. Pada tahun 64H /685M, Kerajaan ini telah diambil alih oleh seorang Sahabat Nabi SAW, Marwan bin al-Hakam bin Abi al-'As bin Umayyah bin Abd as-Syam, iaitu sepupu Saidina Othman bin Affan bin Abd al-'As, dan sejak itu kerajaan dikuasai oleh keturunannya. Daulah Umayyah ini memerintah umat Islam selama 99 tahun sehingga 661H. Antara pemimpin terkemuka Bani Umayyah yang menjadi khalifah ialah Abdul Malik bin Marwan, Al-Walid bin Abdul Malik, Umar bin Abdul Aziz dan Hisham bin Abdul Malik.
Pada tahun 91H, umat Islam telah berjaya membuka Andalusia di barat Eropah dan berjaya menguasai Semenanjung Iberia itu selama lebih 700 tahun. Bani Ummayah sendiri, selepas kejatuhan mereka di Damsyik, menguasai Andalusia mulai 138H / 756M bermula dengan Abdul Rahman ad-Dakhili. Selain itu juga, Daulah Umayyah turut meluaskan wilayah Islam di sebelah timur hingga ke Sindhi (India) pada zaman Yazid I. Selepas zaman Hisham bin Abdul Malik, Daulah Umayyah mengalami pergolakan dan kesempatan diambil oleh musuh politik mereka menyebabkan khalifah terakhir Bani Umayyah, Marwan II bin Mohammad telah dibunuh pada 132H dan Kerajaan Bani Umayyah berakhir.
Era Daulah Abbasiyah (132-923H / 750-1517M)
Kejatuhan Daulah Umayyah pada 132H telah menyebabkan berlakunya persaingan di antara Bani Abbasiyah (keturunan Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutallib) dan Bani Alawiyin (keturunan Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutallib) dalam menguasai kekhalifahan umat. Walau bagaimanapun, pemimpin Bani Abbasiyah, Abu Abbas Abdullah as-Saffah telah berjaya mengambil alih kerajaan dari Daulah Umayyah dan membentuk Daulah Abbasiyah pada tahun 132H / 750M. Abu Abbas Abdullah as-Saffah bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutallib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab menjadi khalifah pertama Daulah Abbasiyah, sebelum diganti oleh adiknya, Abu Jaafar al-Mansur pada 136H / 754M.
Pada asasnya, Daulah Abbasiyah adalah khilafah yang paling lama menerintah dalam sejarah Islam iaitu sehingga 923H / 1517M, selama 791 tahun. Secara umumnya, Khilafah Abbasiyah terbahagi kepada enam fasa, iaitu:
I. Zaman khalifah berkuasa mutlak (132-323H)
II. Zaman pengaruh Turki (232-334H)
III. Zaman Bani Buwaih (334-476H)
IV. Zaman Bani Saljuk (476-530H)
V. Zaman khalifah menguasai Baghdad (530-656)
VI. Zaman Mamalik di Mesir (661-923)
Daulah Abbasiyah terkenal kerana berkembangnya tamadun ilmu yang sangat pesat. Tetapi Daulah Abbasiyah juga menghadapi krisis kerana kemunculan kerajaan-kerajaan kecil pada abad ketiga Hijrah dan akhirnya membawa kepada kumunculan beberapa khalifah di barat pada abad keenam. Dalam zaman ini juga, umat Islam terpaksa berhadapan dengan gerakan Tentera Salib dari Eropah dan serangan Monghul dari timur. Peranan kesultanan-kesultanan Islam dalam mengembangkan dakwah dan pengaruh politik Islam juga sangat penting sehingga Islam telah berkembang di Nusantara selepas abad ketujuh Hijrah. Pada 656H / 1258M, Baghdad telah diserang oleh Hulagu Khan dari Monghul dan mereka berjaya membunuh Khalifah al-Musta'sim. Walau bagaimanapun, khalifah dapat dilantik semula pada 661H apabila Kesulatanan Mamalik di Mesir menabalkan al-Mustansir menjadi khalifah yang baru.
Pada awal abad ke-15M (10H), keadaan Kesultanan Mamalik sangat lemah yang menyebabkan Bani Shafawi yang bermazhab Syiah telah bangkit dan bersekutu dengan orang Portugis. Melihat keadaan ini, Sultan Salim II dari Kesultanan Othmaniyah di Istanbul telah bertindak menghapuskan Bani Shafawi dan menguasai Kesultanan Mamalik. Di atas kekalahan Mamalik ini, kekhalifahan umat Islam telah beralih tangan dari Bani Abbasiyah apabila khalifah terakhirnya, al-Mutawakkil III menyerahkan kepemimpinan umat kepada Sultan Salim II dari Bani Othmaniyah pada 923H / 1517M.
Era Daulah Othmaniyah (923-1342H / 1517-1924M)
Kesultanan Othmaniyah yang berbangsa Oghuz Turki dari puak Kayi, telah ditubuhkan oleh Othman bin Ertugrul bin Sulaiman pada 698H / 1299M. Kesultanan Othmaniyah telah bangkit sebagai kuasa politik di Eropah apabila Kota Edirne jatuh ke tangan Sultan Murad pada 763H / 1362M dan akhirnya Sultan Mohamad al-Fateh berjaya membuka Constantinople pada 857H / 1453M. Pembukaan Constantinople (Istanbul) ini telah membuatkan Kesultanan Othmaniyah dipandang sebagai pemimpin baru umat Islam. Memasuki abad ke-10H, gerakan penjajahan Barat telah berlaku ke atas bumi umat Islam, bermula dengan kejatuhan Granada pada 897H / 1492M.
Untuk membendung pendudukan Portugis di Hijaz yang didukung oleh Kerajaan Shafawi, Sultan Salim II telah menyerang Shafawi dan mengambil alih kekhalifahan dari Daulah Abbasiyah pada 923H. Sejak itu, Daulah Othmaniyah menjadi khalifah yang baru selama 419 tahun. Daulah Othmaniyah terkenal kerana kejayaan mereka menguasai Eropah Timur hingga ke Geneva. Walau bagaimanapun, pada era ini umat Islam terpaksa berhadapan dengan penjajahan Barat selepas kejatuhan Granada (897H / 1492M), Goa (916H / 1510M) dan Melaka (917H / 1511M). Penjajahan ini telah menyebabkan tersebarnya ideologi-ideologi barat kepada umat Islam.
Pada awal abad ke-13H / 19M, Sultan Mahmud yang menjadi khalifah Daulah Othmaniyah telah memperkenalkan dasar pembaratan yang menyebabkan pemikiran sekular berkembang di dalam Daulah Islam. Lebih teruk lagi, apabila faham kebangsaan (nasionalisme) telah memecahkan umat Islam mengikut bangsa, yang memaksa Sultan Abdul Hamid II melancarkan gerakan Wehadatul Islamiyah (Kesatuan Islam) pada awal abad ke-14H / akhir abad ke-19M. Namun gerakan ini gagal membendung perpecahan umat, sebaliknya golongan sekular telah menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II pada 1327H / 1909M. Selepas itu, para khalifah tidak lagi berkuasa dan Daulah Islam mulai berpecah, sehingga akhirnya Khilafah Othmaniyah dibubarkan pada 27 Rajab 1342H / 3 Mac 1924. Dengan itu, berakhirlah kekhalifahan Islam.
Era Tanpa khalifah (1342-1442H / 1924-2020M)
Kejatuhan khalifah di Istanbul pada 1342H / 1924M telah membuka era baru sejarah Islam. Buat pertama kali umat Islam sebagai bangsa yang dijajah tidak mempunyai pemimpin. Seluruh kekuatan Islam dicabut dan syariat dimandulkan. Pemikiran sekular yang memisahkan agama dan politik telah berkembang dan umat Islam berada di persimpangan. Mereka tersepit di antara ideologi penjajah yang berasaskan liberal-kapitalisme-demokrat dan ideologi sosialis-komunis yang anti imperialisme Barat. Islam sudah tidak dipandang oleh umatnya.
Dalam keadaan yang tersepit ini, para ulamak telah membangunkan gerakan politik Islam bermula dengan kemunculan Sarekat Islam di Jawa pada 1323H (1905M) dan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 1347H (1928). Setelah itu muncul pula Hizbul Istiqlal (1355H) di Moroko, Masyumi (1364H) di Indonesia, Jamaat Islami (1360H) di India, Hizbul Muslimin (1367H) di Tanah Melayu dan lain-lain. Hari ini PAS yang ditubuhkan pada 1371H (1951M) telah melanjutkan perjuangan menegakkan Islam di Malaysia.
Sejak bermulanya era kemerdekaan bangsa-bangsa Islam selepas Perang Dunia Kedua, pertembungan berlaku di antara umat Islam yang mendukung faham nasionalis-sekular dengan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Pada era 1390-an H (1970-an M), telah berlaku kesedaran besar di kalangan umat Islam, terutama apabila berlaku peralihan abad Hijrah pada tahun 1400H (1980M). Kesedaran ini telah memberi nafas baru kepada gerakan Islam apabila mereka dapat menguasai beberapa kerajaan melalui jalan demokrasi. Untuk membendung kesedaran ini, Barat mula menaja gerakan Islam liberal, Islam demokrat dan juga pemikiran post Islamism, selain turut menaja aliran keras yang menolak demokrasi dan mengambil pendekatan terorisme.
Selepas 100 Tahun, Islam Akan Ditajdidkan
Memasuki tahun baru 1442H pada hari ini, bermakna umat Islam telah tiba pada tahun ke-100 mereka kehilangan khalifah. Mereka telah dijanjikan bahawa umat Islam ini akan ditajdidkan pada setiap 100 tahun. Tajdid siyasi pasti akan berlaku dalam yang terdekat ini, yang boleh dilihat dengan beberapa tanda, seperti:
I. Berlakunya pembukaan semula Aya Sofia sebagai masjid umat Islam di Istanbul.
II. Penguasaan Pakistan ke atas Kashmir yang selama ini dijajah oleh India.
III. Gerakan penyatuan umat Islam melalui penyatuan parti-parti politik Melayu Islam di Malaysia.
IV. Berlakunya usaha besar-besaran untuk menyekat pengaruh Islam di dunia Arab seperti sekatan ke atas Qatar, pengiktirafan UAE ke atas Israel, dan peranan Mohamad bin Salman dalam hubungan dengan Amerika Syarikat.
Perkembangan-perkembangan terbaru yang berlaku menjelang 1342H ini menunjukkan dengan jelas tentang tanda-tanda kebangkitan Islam politik, sekali gus membolehkan umat Islam berperanan semula untuk mengatur pentadbiran dunia berasaskan agama. Tanda-tanda kejatuhan tamadun Barat sudah begitu jelas selepas berakhirnya zaman Barack Obama pada 2017, sedangkan kemunculan kuasa politik Islam sudah disedari oleh Barat sejak jatuhnya Soviet Union pada 1991. Telah lama Barat menganggap bahawa 'Beruang Hijau' (Islam) telah bangkit menggantikan 'Beruang Merah' (Komunis). Inilah yang dimaksudkan oleh Samuel P Huntington tentang 'The Clash of Civilization' (Pembenturan Peradaban) - iaitu kebangkitan Islam untuk meruntuhkan tamadun Barat.
Islam akan ditajdidkan dalam masa yang terdekat ini, bermula dengan tajdid siyasi untuk membolehkan Islam menjadi kuasa baru politik dunia. Islam pasti akan kembali berdaulat!
Saya akan memperkenalkan para khalifah Islam dalam siri-siri berikutnya.
7

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post