Bersatu Terengganu ‘tuntut’ dua kerusi Parlimen, lapan DUN


KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu akan ‘menuntut’ dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, hasrat itu telah disuarakan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu untuk dipertimbangkan bagi agihan kerusi antara parti di bawah Perikatan Nasional (PN) nanti.

Beliau yang juga Ahli MPT Bersatu berkata, tuntutan itu munasabah memandangkan Terengganu mempunyai lapan Parlimen dan 32 DUN.

“Sebagai rakan sekutu dalam PN, kita mempunyai alasan kukuh untuk menuntutnya. Buat masa ini kita sudah ada satu kerusi Parlimen iaitu Hulu Terengganu. Kita hanya minta tambah satu kerusi sahaja lagi.

“Begitu juga di peringkat DUN, setiap Parlimen mempunyai empat DUN. Kita hanya minta satu kerusi DUN di setiap Parlimen. Jadi terpulang kepada Pas dan UMNO bagaimana caranya nak bincang dan beri secara saksama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Bersatu akan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan satu kerusi Parlimen yang akan diputuskan kemudian.

Beliau juga melihat tuntutan itu munasabah dan tidak melampau kerana ia hanyalah sejumlah kecil daripada kerusi yang ada.

“Setakat ini masih belum ada perbincangan tentang agihan kerusi antara pimpinan PN di Terengganu, bagaimanapun kita akan menyuarakan hasrat itu, seterusnya menawarkan diri dan bersedia untuk bertanding.

“Dalam fasa pertama ini, kita akan fokus kepada perbincangan berkaitan agihan kerusi dan apabila sudah diputuskan, kita akan letakkan calon. Kita ada ‘winnable candidate’ yang akan kita cadangkan dan memang sudah adapun.

“Kita tak kan melampau dan tuntut lebih daripada itu. Cuma apa yang paling penting adalah memastikan pembahagian kerusi yang adil, itu yang paling penting,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pemimpin dan ahli UMNO yang dilihat sinis dan tidak bersetuju dengan tuntutannya setelah memuat naik status berkaitan perkara itu di laman facebook, Razali berkata, ahli parti lain tidak harus mempertikaikannya.

“Kita mempunyai cukup cawangan dan 15,000 ahli, malah kita sudah biasa bertanding. Calon kita juga bukan orang yang calang-calang.

“Kita nak cari wakil rakyat, maksudnya parti lain tidak perlu nak pertikai. Memang kita hasilkan calon yang layak dan sesuai serta mampu untuk mentadbir DUN atau Parlimen sekiranya diberi peluang.

“Soal ada kalangan orang UMNO yang nak protes dan sebagainya, mereka boleh cakap sahaja, tetapi yang memutuskannya adalah kepimpinan di atas. Cuma kita di peringkat bawah, di peringkat negeri mesti mencadang dan cadangan kita adalah munasabah,” katanya.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen, dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

UMNO memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu, namun kerusi Hulu Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah Datuk Rosol Wahid isytihar keluar parti dan menyertai Bersatu.

Manakala bagi kerusi DUN, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN dalam PRU14 - SH

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post