Ada pihak cuba hancurkan Muafakat Nasional - Tuan Ibrahim



SLIM RIVER: PAS mendakwa ada pihak sedang mencari jalan untuk menghancurkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk hasil usaha parti itu dan UMNO yang bermatlamat untuk melihat ummah bersatu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS dan UMNO mesti berjaga-jaga dengan musuh seperti ini, kerana jika tersilap langkah, jalan penyatuan yang sudah dibina akan runtuh.

"Musuh kita tak senang dengan muafakat PAS dan UMNO. Ada pihak tidak senang PAS dan UMNO duduk bersatu. Ini akan membina kekuatan suara Melayu, Islam di Malaysia.

"Walaupun kita memberi jaminan Muafakat Nasional bukan nak mengetepikan bukan Islam. 60 tahun BN memerintah, PAS memerintah 30 tahun di Kelantan, kita tidak mengetepikan, bahkan nak tengok patung Buddha terbesar, ada di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Semai Bakti, FELDA Trolak Selatan, malam tadi.

Program itu turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tuan Ibrahim berkata, penubuhan MN tidak bermatlamat mengetepikan bukan Islam, sebaliknya ia dibina untuk memastikan teras politik negara kukuh.

"Dalam politik mesti ada teras. Apa teras? macam tubuh kita, mesti ada kerangka, tulang belakanglah terasnya. Kalau tulang belakang tak kuat maka robohlah kita.

"Maka penyatuan ini bukan untuk menimbulkan rasis, perkauman, tetapi untuk membina ketenteraman. Teras yang kita bina penyatuan, kita tahu mereka tidak suka PAS dan UMNO gabung, maka kita diserang," katanya.

Katanya, PAS dan UMNO bergabung di bawah MN bukan untuk menyokong kebatilan dan penyelewengan.

"Di sana ada orang yang salah, ambil tindakan perundangan. Kita ada hala tuju yang perlu disepakati, yang perlu bersama," katanya.



Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post