Selami, fahami titah Sultan Johor, henti berbalah - MB Johor

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pada Rabu menyeru agar semua pemimpin politik di negeri ini berhenti berbalah, sebaliknya bersama-sama membangunkan negeri terutama ketika berdepan pandemik COVID-19.

Beliau berkata pintu sentiasa terbuka kepada semua pihak untuk memberi idea dan pandangan bagi memulihkan ekonomi negeri, sekali gus membantu rakyat yang amat memerlukan perhatian dan bantuan daripada kerajaan.

"Apa yang amat saya harapkan daripada semua pemimpin, sama ada dalam blok kerajaan atau pembangkang ialah berganding bahu bersama-sama saya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini yang menzahirkan rasa kecewa berikutan masih berlaku kemelut politik di negeri ini yang menyaksikan terdapat pemimpin-pemimpin gila kuasa dan terus mahu merebut jawatan, bagi kepentingan diri mereka.

Justeru, bagi mengelakkan Johor daripada menjadi kucar-kacir, dan untuk menjaga dan membela nasib rakyat, baginda memberi amaran akan membubarkan Dewan Undangan Negeri, jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, berkata semua pemimpin diharap menyelami, memahami serta mematuhi titah Sultan Johor itu dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

-- BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post