NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Yang Di-Pertuan Agong boleh bubar Parlimen? Sultan boleh bubar Dewan Undangan Negeri?


Ketika ini bertiup kencang soal bubar Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Sekali gus persoalan sama ada Yang di-Pertuan Agong, atau Sultan bagi negeri mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen atau Dewan Rakyat menjadi tumpuan ramai.

Sebelum membincangkan isu ini dengan lebih lanjut, adalah perlu difahami bahawa pembubaran Parlimen bermaksud pembubaran Dewan Rakyat. Walaupun Perlembagaan Persekutuan menggunakan istilah pembubaran Parlimen, tetapi hakikatnya ialah ia merupakan pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak tertakluk kepada pembubaran.

Sesungguhnya persoalan ini amat besar untuk dibincangkan. Namun saya fikir sangat penting untuk rakyat terbanyak mendapat bahan bacaan untuk memahami hujah yang dikemukakan pelbagai pihak tentang perkara ini. Kita merakyatkan Perlembagaan. Celik mata dan insaf di dalam hati tentang peruntukan sebenar yang ada dalam Perlembagaan untuk menilai hujah-hujah yang biasanya memenuhi ruang media sosial berkaitan perkara ini.

Bagi tujuan paparan ini saya mahu membawa pembaca kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Membaca peruntukan berkaitan secara menyeluruh, dengan menggabungkan beberapa peruntukan bagi memberikan kefahaman yang menyeluruh tentang Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan, fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

PERUNTUKAN BERKAITAN YANG DI-PERTUAN AGONG DAN PARLIMEN

Kedudukan, fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan Parlimen dapat dilihat dalam empat Perkara utama yang dimuatkan dalam peruntukan Perlembagaan.

Perkara tersebut ialah Perkara 40(2)(b), berkaitan kuasa budi bicara yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenan permintaan membubarkan Parlimen; Perkara 44, Perkara 55 dan Perkara 66.

Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tentang keanggotaan Parlimen; Perkara 55 menyatakan tentang kuasa memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dan Perkara 66 adalah berkenaan peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam penjalanan kuasa perundangan. Saya akan cuba membincangkan semua peruntukan yang dinyatakan dan tidak menghuraikan Perkara 66 dalam tulisan ini kerana ia tidak berkaitan dengan isu yang sedang dibincangkan.

PERKARA 40 : YANG DI-PERTUAN AGONG HENDAKLAH BERTINDAK MENGIKUT NASIHAT DAN KUASA BUDI BICARA

Peruntukan Perkara 40 adalah seperti berikut:

Perkara 40 - Yang Di-Pertuan Agong Hendaklah Bertindak Mengikut Nasihat

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Perkara 40 dan Raja Berperlembagaan

Perkara 40 ini adalah antara perkara yang sering disebut berkaitan kedudukan sistem raja berperlembagaan. Hujah yang biasa dikemukakan ialah, sebagai raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri dan tidak ada orang atau pihak lain yang boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong kecuali terdapat Akta yang membenarkannya.

Tetapi, jika diperhatikan, Perkara 40 juga memberikan hak tertentu kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum baginda menerima nasihat. Hak tersebut, ialah hak untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara berkaitan negara. Hal ini dapat difahami daripada fras ini; “….tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri”.

Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong berhak untuk mendapatkan penjelasan sewajarnya dan dibekalkan dengan maklumat yang lengkap sebelum baginda bertindak atau memperkenan suatu nasihat. Dalam konteks ini, walaupun Yang di-Pertuan Agong adalah adalah raja berpelembagaan, baginda bukan patung atau boneka yang tiada apa-apa hak.

Berkaitan ini suka saya petik Laporan Suruhanjaya Perlembagaan (Suruhanjaya Reid) tentang sistem raja berperlembagaan yang dimaksudkan. Pada Perenggan 58 Laporan Suruhajaya Reid, dinyatakan seperti berikut:

….The Yang di-Pertuan Besar (later changed to Yang di-Pertuan Agong) will be the Head of the State, but he must be a constitutional Ruler. He must therefore act on the advice of his Ministers with regard to all executive action. ….The choice of the Prime Minister and the dissolution of Parliament should, we recommend, be his constitutional responsibility, and he will be entitled to be kept informed with regard to important public affairs and to make his views known to the Prime Minister.

Walaupun laporan Suruhanjaya Reid bukanlah mengikat keputusan mahkamah, sekiranya isu ini dibawa untuk pemerhatian mahkamah, namun, ia juga boleh menjadi panduan kepada mahkamah dalam menentukan maksud sesuatu peruntukan Perlembagaan. Malah adalah wajar atau perlu, untuk mahkamah merujuk kepada Laporan Suruhanjaya Reid serta dokumen sejarah yang lain berkaitan gubalan Perlembagaan untuk menentukan maksud atau tujuan peruntukan berkaitan.

Dalam hal prinsip dan ciri raja berperlembagaan ini cadangan Suruhanjaya Reid ini adalah jelas. Cadangan ini merangkum beberapa perkara, termasuk:

1. Bertindak atas nasihat atas semua tindakan eksekutif;

2. Memilih Perdana Menteri adalah tanggungjawab perlembagaan Yang di-Pertuan Agong

3. Membubar Parlimen adalah juga tanggungjawab perlembagaan Yang di-Pertuan Agong

4. Hak untuk mendapatkan maklumat penting berkaitan hal ehwal negara; dan

5. Menyampaikan pandangan kepada Perdana Menteri

Ini adalah prinsip atau ciri raja berperlembagaan di negara kita. Prinsip ini telah juga dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan untuk mengkaji draf pertama Perlembagaan Persekutuan yang telah dirangka atau dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid. Laporan Jawatankuasa Kerja (laporan ini juga dikenali sebagai Kertas Putih) yang disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi British, empat orang wakil Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, empat orang wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Ketua Setiausaha dan Peguam Negara, megesahkan cadangan Suruhanjaya Reid seperti yang saya petik di atas. Perenggan 18 Kertas Putih ini menyatakan:

In the exercise of his functions, the Yang di-Pertuan Agong will act in accordance with advice of the Cabinet except as otherwise provided by the Constitution, and he will be entitled, at his request, to any information concerning the Government of the Federation which is available to the Cabinet. He will act in his discretion in making the appointment of a Prime Minister (who must be a citizen otherwise than by naturalization or by registration under Article 17), in withholding his consent to a request for the dissolution of Parliament, and in requiring a meeting of the Conference of Rulers concerned solely with the privileges, position, honours and dignities of Their Highnesses

Ciri-ciri raja berperlembagaan telah diperjelaskan dalam peruntukan berkaitan yang dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya dalam Perkara 40(2). Bahkan, adalah jelas juga bahawa, Perkara 40 ini bukan semata-mata memperuntukkan tentang Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat dalam hal berkaitan menjalankan kuasa eksekutif, tetapi baginda berhak mendapat maklumat tentang perkara penting berkaitan hal ehwal negara.

Perkara 40, terutamanya dalam Perkara 40(2) dengan jelas menjamin kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Bagi tujuan perbincangan tentang pembubaran Parlimen, Perkara 40(2)(b) adalah amat berkaitan. Perkara 40(2)(b) ini menyebut tentang kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenan permintaan membubarkan Parlimen.

PEMBUBARAN PARLIMEN, YANG DI-PERTUAN AGONG BERTINDAK ATAS PERMINTAAN, BUKAN NASIHAT

Kita sering keliru atau sering dikelirukan dalam hal berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Parlimen. Ada pihak yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat. Kita perlu berHati-hati memilih perkataan yang digunakan. Kita hendaklah sentiasa merujuk atau menggunakan perkataan yang tepat. Ini kerana istialh atau perkataan itu akan memberikan implikasi besar dan mungkin juga salah.

Berkaitan pembubaran Parlimen ini, seperti yang saya nyatakan di atas, (atau di tempat lain juga) adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Apabila ia adalah kuasa budi bicara, maka ia sekali gus adalah kuasa mutlak baginda. Apabila dikatakan kuasa mutlak, maknanya ialah, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu beritndak atas nasihat Jemaah Menteri. Tetapi itu tidak bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak sesuka hati. Baginda perlu melaksana kuasa baginda tersebut dengan bijaksana bagi mempamerkan kewibawaan dan kebitaraan baginda. Pastinya baginda bertindak dengan sifat yang penuh hikmah, seperti yang telah dizahirkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah dalam pelantikan Perdana Menteri tempohari dan juga tindakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Berbalik kepada isu kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Parlimen, kita perhatikan peruntukan Perkara 40(2)(b). Adalah jelas bahawa, perkataan yang digunakan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Parlimen ini ialah permintaanatau dalam versi Bahasa Inggeris, perkataan yang digunakan ialah request. Perkara 40(2)(a) tidak menggunakan perkataan nasihat sepertimana yang digunakan dalam Perkara 40(1) dan (1A).

Penggunaan perkataan permintaan ini menunjukkan ia bukan bermaksud nasihat seperti dalam Perkara 40(1) dan (1A). Dengan ini ia membezakan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam pelaksanaan kuasa bukan budi bicara dan kuasa budi bicara baginda.

PERKARA 44: KEANGGOTAAN PARLIMEN

Perkara 44 menyatakan tentang keanggotaan Parlimen. Ia memperuntukkan:

Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Peruntukan ini memberikan implikasi jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah satu komponen atau satu anggota Parlimen.

PERKARA 55 : MEMANGGIL, MEMPROROG DAN MEMBUBARKAN PARLIMEN.

Perkara 55 menyatakan seperti berikut:

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan).

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.

Berkaitan pembubaran Parlimen, seperti yang dinyatakan pada Perkara 55(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. Jelas sekali persoalan yang timbul di sini ialah, adakah Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat? Jawapan saya adalah jelas, baginda tidak perlu bertindak atas nasihat. Adakah baginda perlu menunggu permintaan Perdana Menteri setelah Perdana Menteri berasakan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 43(4), yang memperuntukkan

Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sukar untuk menjawab persoalan mestikah ada permintaan daripada Perdana Menteri untuk Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa membubarkan Parlimen seperti yang disebut dalam Perkara 55(2) ini. Sekiranya dirujuk kepada Laporan Suruhanjaya Reid yang saya petik di atas, ia adalah tanggungjawab yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong, sama seperti pelantikan Perdana Menteri. Bagi pelantikan Perdana Menteri, walaupun ia adalah kuasa budi bicara, baginda tidak boleh melantik mana-mana orang. Adalah disyaratkan bahawa calon Perdana Menteri adalah seorang Ahli Dewan Rakyat dan seseorang yang pada hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti. Syarat ini jelas dalam dalam Perkara 43(2) yang memperuntukkan seperti berikut:

43 (2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan….

Namun dalam hal pembubaran Parlimen, tiada syarat lain yang dinyatakan secara jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan. Hanya Perkara 40(2)(b) yang menyatakan tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenan permintaan pembubaran Parlimen. Kemudiaannya kuasa berkenaan pembubaran Parlimen disebut dalam Perkara 55(2).

Justeru, justikasi bagi hujah untuk menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen tanpa permintaan boleh disandarkan kepada tiadanya peruntukan Perlembagaan yang meletakkan syarat bagi baginda membubarkan Parlimen, berbanding, secara analogi, dengan syarat lantikan Perdana Menteri. Hujah ini juga boleh disokong dengan kuasa budi bicara baginda untuk tidak memperkenan permintaan pembubaran Parlimen. Sekiranya baginda mempunyai kuasa untuk tidak memperkenan permintaan pembubaran Parlimen, maksudnya, secara analogi, baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen.

Kekuatan hujah yang menyatakan perlu adanya permintaan untuk pembubaran Parlimen sebelum baginda boleh melaksanakan kuasa di bawah Perkara 55(2) (Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen) boleh disandarkan kepada amalan demokrasi dan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengenai pembubaran Parlimen ini dengan bergantung kepada Perkara 43(4), iaitu, Perdana Menteri telah kehilangan kepercayaan majoriti dan beliau enggan meletakkan jawatan, tetapi meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Perlu juga diambil perhatian bahawa Perkara 40(2)(b) tidak menyebut siapa yang boleh membuat permintaan pembubaran Parlimen. Namun dalam amalannya ialah Perdana Menteri yang membuat permintaan, sama ada untuk pembubaran awal bagi tujuan diadakan Pilihan Raya atau pada keadaan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti. Bagi permintaan kerana kehilangan majoriti, keadaan ini belum berlaku pada peringkat Persekutuan, tetapi telah berlaku di negeri Perak.

KESIMPULAN

Boleh atau tidak Yang di-Pertuan Agong bubar Parlimen? Jawapan yang pasti ialah, sekiranya ada permintaan, Yang di-Pertuan Agong boleh memperkenan untuk membubarkan Parlimen. Sekiranya tiada permintaan, jawapannya tidak pasti, ada dua pandangan seperti yang saya huraikan di atas. Hujah yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen tanpa adanya permintaan ialah sifat umum kuasa baginda yang ada dalam Perkara 55(2) dan tiadanya syarat khusus yang dinyatakan oleh Perlembagaan seperti syarat mestinya ada “permintaan” untuk pembubaran Parlimen. Ia juga boleh disokong dengan dokumen sejarah seperti Laporan Suruhanjaya Reid yang menyatakan bahawa pembubaran Parlimen adalah tanggungjawab Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dalam kuasa raja berperlembagaan baginda.

Saya amat yakin, walau pun kuasa membubarkan Parlimen itu ada pada Yang di-Pertuan Agong, baginda akan berhati-hati melaksanakan kuasa baginda dan pastinya baginda akan melaksanakannya dengan bijaksana. Oleh kerana tanggungjawab ini sukar dan sulit, bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan terputus, tepung jangan berserak, Yang di-Pertuan Agong pastinya akan menjaga kedua-dua sistem amalan negara, iaitu raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen demi kedaulatan negara dan demi keadilan dalam negara sebagaimana wa’ad yang baginda angkat sebagai Kepala Utama Negara (Lihat Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

SULTAN BOLEH BUBAR DEWAN UNDANGAN NEGERI?

Bertubi-tubi soalan ini menerjah saya. Ada yang menelefon, ada yang bertanya di media sosial. Bagi menjawab soalan daripada ramai pembaca saya tentang titah Tuanku Sultan Johor berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor semalam, saya perturunkan di bawah peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (The Law of the Constitution of 1985)

Peruntukan-peruntukan berkaitan adalah sama dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kecuali Perkara 8 pada Bahagian III Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor. Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan mungkin berkaitan, tetapi Perkara 181 tidak menyatakan peruntukan yang khusus kepada Yang di-Pertuan Agong. Ia menyatakan tentang raja bagi negeri dan pembesar Negeri Sembilan.

Perkara berkaitan ialah Bahagian Kedua dan Bahagian Ketiga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Perkara-Perkara yang berkaitan di bawah Bahagian Kedua ialah Perkara 3; Perkara 4; Perkara 7; dan Perkara 23. Bahagian Ketiga pula melibatkan Perkara 8.

Oleh kerana peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor adalah sama dengan Perlembagan Persekutuan, maka perbincangan saya dalam perenggan-perenggan di atas adalah juga boleh diberikan perhatian dalam membincangkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Namun satu soalan berbangkit, yang saya tidak huraikan di atas. Adakah Perkara 8 pada Bahagian Ketiga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang berkaitan kuasa prerogatif Sultan, boleh mempengaruhi kuasa Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor tanpa adanya permintaan? Sekiranya pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor adalah sebahagian daripada prerogatif Sultan, maka baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan tanpa adanya permintaan. Tetapi sekiranya ia bukan kuasa prerogatif baginda, maka akan berbalik kepada persoalan adakah ia kuasa yang boleh dilaksanakan dengan syarat atau tanpa syarat adanya “permintaan” untuk pembubaran. Isu ini akan juga menjadi sama dengan isu yang saya sebut dalam hal berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Berikut adalah peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor:

Part II

3. Appointment of Menteri Besar

3. (1) The Ruler shall appoint, by Instrument under His Sign Manual and the State Seal, a Menteri Besar having the qualification referred to in paragraph (a) of Clause (2) of Article 4. Who shall be the Chief Minister and Senior Executive Officer in the State.

(2) Subject to the provisions of Clause (4) of Article 4 no person shall be appointed to be Menteri Besar unless he is of the Malay race and professes the religion of Islam.

4. The State Executive Council

4. (1) The Ruler shall appoint a State Executive Council

(2) The State Executive Council shall be appointed as follows that is to say

(a) the Ruler shall first appoint as Menteri Besar to preside over the State Executive Council a member of the Legislative Assembly who in His judgment is likely to command the confidence of the majority of the member of the Assembly, and

(b) He shall on the advice of the Menteri Besar appoint not more than ten nor less than four other members from among the members of the Legislative Assembly…

(6) If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Members of the Legislative Assembly, then, unless at his request the Ruler dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the State Executive Council.

7. Ruler to act on advice

7(1) ln the exercise of His functions under this Constitution or any law or as a member of the Conference of Rulers the Ruler shall act in accordance with the advice of the State Executive Council or of a member thereof acting under the general authority the Council, except as otherwise provided by the Federal Constitution or this Constitution, but shall be entitled at His request to any information concerning the Government of the State which is available to the State Executive Council.

2) The Ruler may act in His discretion in the performance of the following functions (in addition to those in the performance of which He may act in His discretion under the Federal Constitution)

that is to say

(a) the appointment of a Menteri Besar

(b) the withholding of consent to a request for the dissolution of the Legislative Assembly

(c) the making of a request for a meeting of the Conference of Rulers concerned solely with the privileges, position, honours and dignities of Their Highnesses or religious acts, observances or ceremonies;

(d) any function as Head of the religion of Islam or relation to the custom of the Malays;

(e) the appointment of an heir or heirs, Consort, Regent Council of Regency,

(f) the appointment of persons to Malay customary rank titles, honours and dignities and the designation of t functions appertaining thereto;

(g ) the regulation of royal courts and palaces….

23. Summoning, prorogation and dissolution of Legislative Assembly

23. (1) The Ruler shall from time to time summon the Legislative Assembly and shall not allow six months to elapse between the last sitting in one session and the date appointed for its first sitting in the next session.

(2) The Ruler may prorogue or dissolve the Legislative Assembly

(3) The Legislative Assembly unless sooner dissolved shall continue for five years from the date of its first sitting and shall then stand dissolved.

4) Whenever the legislative Assembly is dissolved a general election shall be held within sixty day from the date of the dissolution and the new Legislative Assembly shall be summoned to meet on date later than ninety days from the date

(5) A Casual vacancy shall be filled within sixty days from the date on which it is established by the Election Commission that is a vacancy:

Provided that if a casual vacancy is established on a date within two years of the date the Legislative Assembly shall, in accordance with Clause (3), stand dissolved, such casual vacancy shall not be filled unless the Speaker notifies the Election Commission in writing that the numerical strength of the party that constitutes a majority of all the members of the Legislative Assembly is being affected by such vacancy in which event such vacancy shall be filled within sixty days from the date of the receipt of that notification.

Part III

8. Prerogatives of the Ruler reserved

8. Except as expressed herein, this Constitution shall not affect the prerogatives, powers and jurisdiction of the Ruler

Perlembagaan Persekutuan

Perkara 181. Kecualian bagi kedaulatan, dsb., Raja-Raja.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.

(2) Tiada apa-apa jua prosiding pun boleh dibawa di dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

Sumber: https://www.facebook.com/112974777079782/posts/125619082482018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo