NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Intipati Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)



PUTRAJAYA, 5 Jun -- Berikut adalah antara intipati Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini.

Bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’, pakej itu bertujuan memperkukuh ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak awal tahun ini:

Tiga teras utama di bawah PENJANA iaitu Memperkasa Rakyat (Empower People); Melonjakkan Perniagaan (Propel Businesses); dan Merangsang Ekonomi (Stimulate the economy).

Terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA dan daripada jumlah itu, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Peruntukan hampir RM9 bilion untuk tangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat, yang akan memanfaatkan tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif, antaranya Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion dan Program Insentif Pengambilan Pekerja (RM1.5 bilion).

Bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 boleh dituntut daripada PERKESO oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.

Insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan sebagai menangani isu kadar pengangguran belia serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Sebanyak RM75 juta diperuntukkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja sektor itu.

Peruntukan sebanyak RM25 juta kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) untuk membimbing rakyat menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa.
Insentif percukaian dan perlindungan insurans pekerjaan diberi khusus kepada PKS untuk melaksanakan konsep bekerja dari rumah atau ‘work from home’.

Geran diberikan kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan antaranya penyediaan e-Baucar bagi perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian.

Program MY30 diperkenalkan dengan bayaran RM30 sebulan untuk pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang yang terbuka kepada semua warganegara berkuatkuasa 15 Jun hingga hujung 2020.

Lebih 300,000 orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat layak menerima bantuan one-off RM300 bagi mengurangkan beban, yang akan disalur sebelum Hari Raya Aidiladha.

Geran padanan RM140 juta diperuntukkan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan bagi mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau atas talian.
Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion ditawarkan untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.

Pembiayaan Mikro PENJANA dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional bagi pembiayaan sebanyak RM400 juta dengan RM50 juta akan dikhususkan kepada usahawan wanita.

Sebanyak RM300 juta akan disalur kepada MARA di mana usahawan Bumiputera termasuk institut kemahiran yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan untuk modal kerja.

Insentif cukai dalam pelbagai bentuk termasuklah potongan cukai berkait dengan perbelanjaan untuk operasi dalam kebiasaan baharu seperti pembelian PPE dan kos ujian saringan diberikan.

Sebanyak RM100 juta bagi menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox yang diperuntukkan bagi usaha digitalisasi diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan pembayaran tanpa sentuh melalui Program ePenjana bernilai RM750 juta, bermula Julai ini yang akan memanfaatkan 15 juta rakyat.

Pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta, terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman.

Pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50 peratus bagi kereta penumpang yang diimport bagi tempoh 15 Jun hingga 31 Dis 2020, bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif.

Waktu operasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara dilanjut dan diseragamkan di luar waktu pejabat untuk memudahkan urusan dengan agensi kerajaan berkuatkuasa 1 Julai.
Cukai pelancongan dikecualikan sepenuhnya bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021, bagi mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan.

Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif yang berjumlah RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC dan pihak swasta.

Bagi industri pertanian dan makanan, kemudahan pinjaman Dana Agrofood sebanyak RM350 juta akan diperuntukkan untuk memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi.
Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) akan digubal, dan dijangka dibentang pada sesi Parlimen Julai.

Menerbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta pada suku ketiga tahun ini, yang mana dana terkumpul akan disalur untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro terutamanya usahawan wanita, penambahbaikan liputan internet jalur lebar di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan geran penyelidikan penyakit berjangkit.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo